Khamis, 9 April 2020 | 1:00pm
Setiap Sabtu, Aida yang menyertai APM sejak lima tahun lalu, memasak untuk petugas barisan hadapan. Foto Ihsan A Aida
Setiap Sabtu, Aida yang menyertai APM sejak lima tahun lalu, memasak untuk petugas barisan hadapan. Foto Ihsan A Aida

COVID-19 : A Aida masak untuk petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR: “Petugas barisan hadapan berpanas dan berhujan untuk kita, takkan kita tak boleh buat benda sama?”

Itu pandangan penerbit drama, Datuk A Aida berkongsi kesediaan memasak untuk petugas barisan hadapan, selain memastikan bekalan makanan disimpan dalam kereta untuk diserah kepada anggota keselamatan setiap kali berhadapan sekatan jalan raya.

Menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak lima tahun lalu, Aida atau nama penuhnya, Zaidah Awang terpanggil menyertai misi diatur selepas melihat komitmen dan kerja keras ditunjukkan petugas barisan hadapan.

“Kalau kita menyertai badan beruniform, tetapi tidak membantu, baiklah kita gantung dan pulangkan balik pakaian seragam kita.

“Negara memerlukan kita dalam keadaan begini, jadi doakanlah saya diberi kesihatan yang baik untuk membantu,” katanya kepada BH Online.

Biarpun anak­anak risau asyik keluar rumah menyertai misi APM, Aida meyakinkan mereka niat murninya itu.

Mengambil langkah berjaga­jaga setiap kali menyertai misi badan beruniform itu, Aida terpanggil menghulurkan keringat ketika rakyat bergantung harap kepada petugas barisan hadapan.

“Pada awalnya, anak­anak sedih dan bertanya kenapa saya perlu keluar rumah. Namun, saya beritahu mereka, kalau Allah hendak tarik nyawa, dalam tidur pun boleh.

“Sekarang rakyat memerlukan kami. Pada masa ini, kita yang menyertai badan beruniform boleh berganding bahu menghulurkan bantuan,” katanya.

Sebagai anggota APM Cawangan Kuala Lumpur, Aida menyertai misi bantuan tiga kali seminggu.

“Setiap Sabtu saya memasak untuk anggota barisan hadapan. Saya juga melawat pusat kuarantin seminggu sekali bagi menghulurkan bantuan atau melakukan apa yang patut,” katanya.

Aida berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia sentiasa memastikan di dalam kereta tersedia bekalan makanan untuk diberi kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas.

“Jika saya lalu sekatan jalan raya, saya agih makanan seperti biskut, kuih dan sebagainya untuk mereka. Kasihan melihat mereka berpanas dan berhujan, jadi dengan makanan ini, diharapkan meringankan beban mereka,” katanya.

Berita Harian X