Jumaat, 10 April 2020 | 1:42pm
Keadaan kediaman rumah abang ipar Roy Azman yang terbakar, tiada apa yang dapat diselamatkan. - Foto Instagram Rafidah Razali
Keadaan kediaman rumah abang ipar Roy Azman yang terbakar, tiada apa yang dapat diselamatkan. - Foto Instagram Rafidah Razali

Rumah abang ipar Roy Azman terbakar

KUALA LUMPUR: Ketika rakyat Malaysia sedang diuji penularan virus COVID-19, keluarga abang ipar pelakon, Roy Azman berdepan musibah lain apabila kediaman di Skudai Kiri, Johor Bahru terbakar, petang semalam.

Isteri Roy, Rafidah Razali sayu mengenangkan nasib keluarga abangnya yang kini hanya tinggal sehelai sepinggang. Perkongsiannya dimuat naik dalam laman Instagram, malam tadi.

“Kejadian kebakaran berlaku pada jam 6.30 petang semalam.

“Selain abang, rumahnya dihuni sembilan orang termasuk isteri, anak, cucu dan ibu mentuanya. Anak dan cucunya ada yang masih kecil.

“Alhamdulillah, nasib baik tiada kemalangan jiwa kerana sempat melarikan diri sebelum api marak,” katanya kepada BH Online.

Rafidah berkata, keluarga abangnya kini hanya tinggal sehelai sepinggang, tiada apa yang dapat diselamatkan.

“Nyawa lebih utama, jadi tiada dokumen penting dan barang keperluan rumah yang dapat diambil. Syukurlah, tiada yang tercedera.

“Tindakan pantas pihak bomba juga menyelamatkan rumah lain dijilat api.

“Saya sedih tak dapat pulang kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya hanya berhubung menerusi telefon. Kasihan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Rafidah berkata, dua anak saudara terpaksa berputih mata apabila kerja yang dilakukan di rumah terhenti akibat kejadian kebakaran.

“Salah seorang membuat kerja mengambil upah menjahit baju, manakala seorang lagi kerja sebagai mekanik. Tiga motosikal sedang diperbaiki rentung dijilat api. Musnah sekelip mata.

“Mereka bukannya orang senang, tetapi kena terima takdir dengan lapang dada,” katanya.

Rafidah berkata, orang kampung banyak membantu pada saat keluarga abangnya berdepan situasi sukar itu.

“Saya mohon pertolongan sekiranya ada yang mahu membantu menghilangkan beban mereka.

“Boleh ikuti laman IG, @fyda_princess untuk butiran lanjut,” katanya.

Berita Harian X