Sabtu, 11 April 2020 | 11:09am
Wajah terbaru Puteri Aishah ketika menjalani tempoh kuarantin dan rawatan di HSB selepas disahkan positif COVID-19. - Foto Puteri Aishah
Wajah terbaru Puteri Aishah ketika menjalani tempoh kuarantin dan rawatan di HSB selepas disahkan positif COVID-19. - Foto Puteri Aishah

Puteri Aishah insaf

KUALA LUMPUR: Melihat keadaan petugas barisan hadapan mengendalikan pandemik COVID-19 menimbulkan perasaan keinsafan buat pelakon, Puteri Aishah.

Pelakon filem Pulang itu disahkan positif COVID-19 pada Selasa lalu, sebaik pulang menjalani penggambaran drama Demi di Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu.

Puteri Aishah kini menjalani rawatan dan kuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB), sejak tiga hari lalu.

“Saya kagum dengan komitmen yang ditunjukkan petugas barisan hadapan. Mereka bersungguh membendung penularan virus ini. Bayangkan, kita pakai topeng muka pun rimas, apatah lagi mereka yang terpaksa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) untuk tempoh lama.

“Bukan itu sahaja, mereka juga mempertaruhkan nyawa dengan tugas berbahaya itu. Saya melihat mereka di depan mata, rasa insaf dalam diri. Jadi, patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasa kerajaan.

“Kasihanilah petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membendung pandemik ini,” katanya secara eksklusif kepada BH Online.

Mengambil contoh pengalamannya, Puteri Aishah menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak takut menjalani ujian saringan COVID-19 jika pernah mempunyai kontak dengan individu yang dijangkiti.

“Saya tahu ramai takut menjalani ujian saringan kerana bimbang tak mampu terima kenyataan sekiranya disahkan positif. Lebih baik, kita melakukan pemeriksaan awal daripada menyesal pada kemudian hari.

“Jangan mementingkan diri. Fikirkan juga keselamatan orang sekeliling,” pesannya.

Mengulas keadaannya, Puteri Aishah berkata, dia mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, tetapi tidak begitu serius.

“Saya dibawa ke HSB untuk dirawat sejak Rabu lalu. Ambulans mengambil saya di rumah.

“Selepas urusan pendaftaran selesai, saya dibawa ke sebuah bilik yang di dalamnya ada empat katil. Bagaimanapun, kami dipisahkan menerusi tirai yang sentiasa ditutup.

"Keadaan saya sekarang stabil. Saya tak demam, batuk, sesak nafas atau mengalami sebarang gejala lain. Cuma, doktor memberitahu saya mengalami jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Katanya, dia juga sudah menjalani pemeriksaan jantung.

“Jika dilihat dari segi fizikal, saya nampak okay sahaja,” ujar Puteri Aishah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X