Jumaat, 22 Mei 2020 | 1:00pm
Gabungan penyanyi baharu dan lama, Bob Yusof, Asmidar, MeeyoJoe, Fadhli Zaihan dan Siti Mariam Saim dalam single Inilah Hari Raya. - Foto Werkit Records
Gabungan penyanyi baharu dan lama, Bob Yusof, Asmidar, MeeyoJoe, Fadhli Zaihan dan Siti Mariam Saim dalam single Inilah Hari Raya. - Foto Werkit Records

Single Inilah Hari Raya sempena normal baharu

KUALA LUMPUR: Pengalaman normal baharu yang perlu ditempuhi rakyat Malaysia ketika menyambut Syawal kali ini mencetuskan idea lima penyanyi menerusi single berjudul Inilah Hari Raya.

Gabungan penyanyi baharu dan lama mendendangkan single ciptaan komposer, Sharon Paul yang bergabung dengan komposer muda, Rushdan Ashri, Farez Asmadi, Muhammad Haikal, Joe dan Najmi.

Single Inilah Hari Raya paduan suara penyanyi, Bob Yusof, Asmidar, MeeyoJoe dan dua penyanyi baharu, Fadhli Zaihan dan Siti Mariam Saim. Lagu berkenaan terbitan dan edaran Werkit Records sudah berada di pasaran digital sejak 18 Mei lalu.

Sharon berkata, dia menghasilkan single Inilah Hari Raya untuk didendangkan Bob secara solo.

"Saya cipta lagu ini khas buat Bob. Bagaimanapun, Bob mahukan kelainan dalam lagu raya ini.

"Jadi, saya bergabung dengan penulis lirik muda yang juga graduan universiti bagi memperoleh gabungan irama dan melodi tradisional yang lebih segar," kata Sharon yang juga pemilik syarikat rakaman Werkit Records. Ia ditubuhkan pada Jun, tahun lalu.

Sharon berkata, dia memilih konsep moden tradisional untuk dipadankan dengan lirik tulisan Fedtri Yahya dan MeeyoJoe.

"Lagu ini amat bersesuaian untuk menaikkan semangat sambutan Aidilfitri pada Ahad ini. Walaupun terpaksa meraikan Syawal secara sederhana, tiada kunjung mengunjungi atau pulang ke kampung halaman berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Syawal tetap dirayakan," katanya.

Berita Harian X