Sabtu, 23 Mei 2020 | 8:30am
Filem Ada Apa Dengan Dosa kali pertama menggandingkan Wanna Ali dan PU Riz. - Foto Pencil Pictures & Records
Filem Ada Apa Dengan Dosa kali pertama menggandingkan Wanna Ali dan PU Riz. - Foto Pencil Pictures & Records

Tonton filem Ada Apa Dengan Dosa di rumah

KUALA LUMPUR: Kebanyakan produser filem terpaksa beralih arah pada platform lain untuk menayangkan karya terbitan mereka apabila pawagam masih ditutup.

Ini termasuklah filem bergenre drama Islamik, Ada Apa Dengan Dosa arahan Rahila Ali yang sepatutnya menemui penonton di pawagam pada 24 September depan, akhirnya memilih ditayangkan di Astro First.

Filem terbitan Pencil Pictures & Records yang menjalani penggambaran di Scotland pada 2018 itu dibintangi pelakon, Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi. Ia akan mula ditayangkan pada 4 Jun ini.

Penerbitnya, Datuk Normashayu Puteh berkata, dia percaya peminat kini beralih kepada normal baharu dengan menonton filem di rumah.

"Saya percaya apabila Astro Shaw memperkenalkan konsep 'Pawagam Di Rumah Anda' menerusi Astro First, penonton lebih selesa menonton di rumah demi keselamatan. Lagi pun, pawagam masih ditutup.

"Filem Ada Apa Dengan Dosa sudah mendapat tarikh wajib tayang pada September. Bagaimanapun, saya merasakan kita perlu mengutamakan keselamatan penonton melihat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Selaku penerbit filem, saya tidak mahu melengahkan tayangan filem yang sarat dengan mesej pengajaran untuk dipertontonkan.

"Manusia zaman ini sering alpa dan hanyut dengan keindahan dunia hingga lupa pahala, dosa dan tanggungjawab. Filem ini bukanlah untuk menghakimi sesiapa, tetapi saya berharap ia mampu menjentik hati penonton," katanya.

Katanya, inilah masa yang sesuai untuk menayangkan naskhah tulisan Iman Imran untuk tontonan seisi keluarga supaya terus berada di rumah.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, peminat mula menerima normal baharu apabila menanti tayangan filem di Astro First sejak Astro Shaw memperkenalkan konsep 'Pawagam Di Rumah Anda' pada April lalu.

"Ia terbukti menerusi kejayaan filem Manap Karaoke yang mendominasi tangga nombor satu carta Astro First selama 14 hari dan treler filem raya, Syif Malam Raya yang tersenarai dalam 'trending' di laman YouTube.

"Susulan itu, Astro Shaw dengan usaha strategiknya terus aktif membuka ruang buat penerbit untuk membawa filem mereka ke Astro First. Astro Shaw akan membantu dari segi pemasaran secara kreatif bagi membuat hebahan secara meluas mengenai filem ini.

"Dengan meletakkan kepuasan penonton sebagai keutamaan, kami cuba membawakan jalan cerita yang segar dan berbeza melalui genre yang bukan tertumpu satu genre popular sahaja," katanya.

Raja Jastina berkata, filem Ada Apa Dengan Dosa AADD mempunyai isu dan mesej yang jarang dibincangkan secara terbuka menerusi filem mahupun drama, tetapi berlaku dalam masyarakat.

"Kami melihat inti pati yang diselitkan dalam filem ini bukan sahaja mampu menghiburkan penonton, malah berkongsi pemahaman dan mesej baharu," katanya.

Ada Apa Dengan Dosa mengangkat kisah seorang ustaz menghadapi dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah. Lebih menakutkan, anak itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.

Ia mengisahkan Aurora berusia 19 tahun yang juga anak luar nikah dan dibesarkan di Eropah oleh keluarga bukan Islam, sejak kecil. Keadaan berubah apabila Aurora mendapat tahu asal usulnya.

Aurora rasa tertipu dan cuba membunuh diri. Namun, kehadiran Khaliq memberi sinar baharu dan mereka pergi ke Malaysia untuk mencari ibu bapa kandungnya.

Sepanjang pencariannya, Aurora ingin tahu erti Islam yang sebenar memandangkan tidak mempraktikkan ajaran Islam. Ibu kandung Aurora, Siti Zahrah pula hidup dihantui dengan dosa silam. Manakala, ayah kandungnya pula Ustaz Aariz yang cuba lari daripada dosa silam. Dia tidak mengakui Aurora adalah anak kandung kerana takut maruah tercalar.

Memilik lokasi penggambaran yang menarik di Scotland, babak utama filem Ada Apa Dengan Dosa diiringi

lagu tema berjudul Hakikat Jiwa, nyanyian Datin Alyah. Lagu dan lirik dicipta Omar K, Ikhwan Fatanna dan Alyah. Ia juga lagu ketuhanan pertama nyanyian penyanyi berkenaan.

Berita Harian X