Sabtu, 23 Mei 2020 | 1:00pm
Amyra Rosli dan Amar Baharin banyak menghabiskan masa bersama dua cahaya mata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Instagram Amyra Rosli
Amyra Rosli dan Amar Baharin banyak menghabiskan masa bersama dua cahaya mata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Instagram Amyra Rosli

Amyra tak ziarah raya demi keselamatan anak

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amyra Rosli, 28, memilih tidak menziarahi sanak saudara mahupun kenalan pada Aidilfitri demi keselamatan dan kesihatan dua cahaya matanya.

Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli itu berkata, dia hanya akan pulang ke rumah orang tuanya dan mentua di Kajang, Selangor untuk Syawal kali ini.

"Kami hanya akan beraya di rumah ibu bapa sahaja. Anak kedua, Ayra Aryssa baru berusia tiga bulan, jadi saya takut untuk membawanya keluar.

"Usahkan menziarah, saya tidak keluar membeli ataupun menempah baju raya untuk Ayra. Pakai mana yang ada sahaja. Jika mahu membeli pun, saya dan suami, Amar Baharin akan menggunakan kemudahan menerusi atas talian.

"Disebabkan itu, saya dan suami menyambut Syawal dalam keadaan cukup sederhana, tahun ini. Mujur saya, Amar dan Aqeef Anaqi dipilih duta Prima Valet, jadi kami pakai baju yang diberikan," katanya kepada BH Online.

Sejak melahirkan Ayra pada 1 Februari lalu, Amyra berkata, dia lebih banyak duduk di rumah memberi perhatian pada anak-anaknya.

"Selepas bersalin, berpantang dan kebetulan bersambung pula dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya banyak menghabiskan masa dengan anak-anak.

"Jika diikutkan ketika melahirkan Aqeef, saya hanya kembali bekerja selepas dia berusia lebih lima bulan, jadi tindakan yang sama diambil untuk Ayra.

"Alhamdulillah, tempoh PKPB ini memberi peluang untuk saya memberi perhatian pada anak-anak. Aqeef pun seronok apabila saya dan suami sentiasa berada di rumah. Peluang ini juga digunakan untuk melihat anak-anak membesar depan mata," katanya.

Mengulas drama rantaian Nur sekali lagi menjadi buah mulut ramai, Amyra berkata, dia terharu drama Nur masih menjadi perhatian, biarpun siaran ulangan.

"Mungkin juga ketika disiarkan dua tahun lalu orang ramai sibuk menunaikan ibadat terawih. Sekarang, penonton duduk di rumah, jadi mereka boleh fokus menonton drama Nur.

"Bukan sahaja penonton, saya juga terjebak menonton ulangan drama Nur. Alhamdulillah, ini adalah rezeki drama Nur apabila menjadi satu karya malar segar.

"Saya berfikir juga tampil dengan drama baharu disebabkan tiada produk sejak bersalin. Bagaimanapun, saya lega apabila drama Nur diulang siar. Sekarang, saya boleh berehat dan fokus pada anak-anak," katanya.

Berita Harian X