Sabtu, 23 Mei 2020 | 5:00pm
Normala bersyukur pendarahan dalam otak suami semakin berkurangan. Foto NSTP Rosela Ismail
Normala bersyukur pendarahan dalam otak suami semakin berkurangan. Foto NSTP Rosela Ismail

Zulkifli, Normala bahagia cucu depan mata

KUALA LUMPUR: Tiada apa yang lebih menggembirakan selain meraikan Ramadan dan Syawal bersama keluarga tersayang.

Begitu bersyukur masih diberi kesempatan merasai nikmatnya, pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 74, dan isteri, Datin Normala Omar, 63, jelas kedengaran gembira menerusi perbualan ketika berkongsi sambutan Aidilfitri kali ini.

Normala memberitahu, dia dan suami tinggal bersama anak sulungnya, Norzizi Zulkifli sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Jadi, saya dan keluarga akan berkumpul di rumah Zizi untuk menyambut 1 Syawal.

"Kami bernasib baik tinggal di sini sebelum penularan virus COVID-19, jadi tidak sunyi tinggal berdua di rumah.

"Alhamdulillah, ia lebih memudahkan anak-anak mengambil giliran menjaga bapa mereka. Siang Zizi sibuk bekerja, jadi dia mengambil giliran sebelah malam.

"Begitu cantik aturan Allah, ini semua sudah ditetapkan, kami seronok berkampung di rumah Zizi bersama cucu-cucu. Tak dapat balik kampung beraya pun tak mengapa, sebab ada anak dan cucu ada depan mata," katanya kepada BH Online.

Diperkenalkan menerusi filem Tiada Esok Bagimu, Normala berkata, kebiasaannya, dia pulang ke kampung di Kedah dan Pulau Pinang untuk menyambut Syawal.

Bagaimanapun, Normala akur tidak boleh merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Tidak mengapa tak dapat pulang, bukan kami sahaja, seluruh rakyat Malaysia pun begitu. Aidilfitri kali ini, kami sekeluarga menyambutnya secara sederhana, baju pun pakai sahaja apa yang ada," katanya.

Berkongsi perkembangan kesihatan suaminya, Normala memanjat kesyukuran apabila pendarahan dalam otak suaminya beransur pulih.

"Alhamdulillah, lega apabila mendapat tahu pendarahan di otak semakin baik. Doktor mengesahkan pendarahan dalam otak sudah berkurangan ketika melakukan pemeriksaan, baru-baru ini.

"Bagaimanapun, sekarang suami masih perlu memakai tiub kerana tidak boleh membuang air kecil sendiri, memandangkan penyakit buah pinggang sudah berada pada tahap empat.

"Disebabkan itu, suami berpuasa dan ada masa tidak. Ini kerana jika berpuasa bimbang buah pinggangnya kering.

"Saya juga sama mengalami penyakit buah pinggang tahap tiga. Jika larat, saya berpuasa," katanya.

Sementara itu, meskipun belum sihat sepenuhnya, Zulkifli tetap bersemangat berkongsi perasaannya.

Luahnya, biarpun tidak dapat pulang ke kampung halaman seperti tahun sebelumnya, dia bersyukur mempunyai anak dan cucu bersama untuk menghilangkan rasa rindu pada kampung halaman.

"Sedih juga tak dapat balik kampung seperti selalu. Saya mahu menziarahi kubur arwah orang tua dan bertemu sanak saudara, tetapi tidak mengapa, anak dan sunyi jadi pengubat rindu.

"Alhamdulillah, saya cukup seronok anak dan cucu depan mata, tambah kami dapat solat berjemaah dan mengaji bersama pada Ramadan.

"Meskipun saya tidak larat, tetapi apabila ada mereka, saya jadi bersemangat," katanya.

Pelakon filem Jiwa Remaja dan Sayang Anakku Sayang itu bersyukur kesihatannya beransur pulih selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak, awal Mac lalu.

Bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu dirawat di Hospital UiTM Sungai Buloh selama hampir tiga minggu.

Sebelum ini, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu dikejarkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang.

Berita Harian X