Rabu, 27 Mei 2020 | 6:24pm
Adam Lee meluahkan cabaran golongan artis ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Instagram Adam Lee
Adam Lee meluahkan cabaran golongan artis ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Instagram Adam Lee

'Bukit ditarah setiap hari pasti akan rata'

KUALA LUMPUR: Realiti sebenar kehidupan golongan selebriti tidak seperti dilihat di kaca televisyen. Masih ramai kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang.

Hanya segelintir golongan selebriti sahaja yang hidup mewah dengan hasil kerja seni.

Pelakon, Adam Lee, 26, berpendapat, ramai salah faham dan fikir golongan selebriti sentiasa berduit, malah rakannya turut melemparkan persespsi yang sama.

"Jika tidak bekerja, mana datang duit? Cabaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, hanya golongan berpendapatan macam kami, ada kerja, ada gaji sahaja yang tahu.

"Saya akui pendapatan terjejas selepas lebih dua bulan tidak menjalani penggambaran. Bagaimanapun, saya bersyukur ada simpanan dan mendapat tawaran ulasan produk dalam aman sosial, jadi bernafas sikit.

"Saya juga seperti orang lain mempunyai komitmen bulanan seperti kereta dan rumah, selain menanggung orang tua. Sebenarnya, kesukaran golongan selebriti sama sahaja seperti orang lain, kena bekerja barulah ada duit," katanya kepada BH Online.

Pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Adam Chempaka dan Budak Tebing itu berkata, dia bukannya lahir daripada keluarga senang.

"Saya bukan anak orang kaya. Jika tidak bekerja, saya tiada duit. Jujurnya, pendapatan terkesan, tetapi saya bersyukur ada simpanan. Bagaimanapun, bukit jika ditarah setiap hari pasti akan rata juga. Begitulah kehidupan, saya kena bekerja kuat untuk cari duit," katanya.

Sebelum tempoh PKP dilaksanakan, Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 itu berkata, dia Adam bakal menjalani penggambaran drama berjudul Kanvas terbitan RTM, tetapi terpaksa ditunda.

"Penggambaran masih ditunda, tetapi saya mendapat tahu syarikat produksi mahu kembali memulakan penggambaran pada Jun. Semuanya masih dalam perbincangan.

"Drama Kanvas belum ada tarikh tayangan, jadi kami tidak terkejar untuk menyiapkannya. Namun, kerja yang tertunggak harus diselesaikan terlebih dahulu. Setakat ini, saya mahu selesaikan penggambaran drama Kanvas sebelum terikat dengan komitmen lain.

"Jujurnya, saya takut mahu kembali bekerja kerana virus COVID-19 tak nampak dengan mata. Jadi, saya mengharapkan artis dan kru akur dengan prosedur operasi standard (SOP) supaya tiada kes jangkitan di lokasi penggambaran," katanya.

Dalam pada itu, selepas lapan tahun membina nama, Adam berkata, dia dapat mengekalkan momentum baik dalam kerjaya seninya.

"Alhamdulillah dari dulu sampai sekarang, nama saya tidak terlalu hangat dan sunyi daripada radar seni. Saya percaya sekiranya bekerja seikhlas hati, ia akan nampak melalui hasil kerja. Itu yang saya inginkan selama ini," katanya.

Seperti lakonan menerusi drama Budak Tebing yang mendapat maklum balas positif, Adam bersyukur dapat memberikan naskhah berkualiti buat penonton dalam tempoh PKP ini.

"Saya terkejut drama Budak Tebing berjaya. Kami tidak meletakkan harapan tinggi dan hanya melakukan kerja dengan baik ketika penggambaran.

"Saya percaya ini semua rezeki Allah, apatah lagi drama ini dihasilkan penerbit, Jalena Rejab yang dikenali dengan kualiti kerja. Saya bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada mereka," katanya.

Berita Harian X