Rabu, 1 Julai 2020 | 10:38am
Memberi jawapan kepada desas-desus bertebaran, Bella mengaku sudah berpisah dengan Engku Emran ketika ditemuramah Insertlive.com. Foto IG Laudya Cynthia Bella
Memberi jawapan kepada desas-desus bertebaran, Bella mengaku sudah berpisah dengan Engku Emran ketika ditemuramah Insertlive.com. Foto IG Laudya Cynthia Bella

Kami berpisah secara baik-baik - Laudya Cynthia Bella

KUALA LUMPUR: Desas-desus keretakan rumah tangga Engku Emran Engku Zainal Abidin dan Laudya Cynthia Bella akhirnya terjawab selepas bintang Indonesia itu mengaku mereka sudah berpisah.

Memetik laporan agensi berita Indonesia, Laudya membuat pengakuan bercerai dengan Engku Emran ketika ditemuramah portal berita, Insertlive.com di republik itu.

Kompas.com melaporkan, Bella mengaku bercerai secara baik-baik dengan Engku Emran.

"Terkait pemberitaan saat ini tentang rumah tangga saya, saya ingin menjelaskan bahawa kami berdua sudah sama-sama sepakat untuk berpisah secara baik-baik," kata Bella kepada Insertlive, dipetik Kompas.com, hari ini.

Bagaimanapun, Bella tidak menyatakan tarikh perceraian mereka.

Sebelum ini, peminat berteka-teki mengenai status perkahwinan Bella dan Engku Emran apabila mereka dikatakan tidak lagi mengikuti akaun Instagram (IG) masing-masing.

Bella dilaporkan berkata, dia dan bekas suami berusaha mempertahankan rumah tangga mereka, namun, gagal, lapor agensi.

Kenangan Engku Emran dan Bella selepas dinikahkan di Kuala Lumpur pada 8 September 2017.
Kenangan Engku Emran dan Bella selepas dinikahkan di Kuala Lumpur pada 8 September 2017.

"Sudah berbagai usaha yang kami lakukan dan ini adalah takdir Allah. Rumah tangga kami hanya sampai di sini dan sudah segala proses kami lalui. Saat ini, semuanya sudah selesai," kata Bella kepada Insertlive.

Biarpun pahit untuk menerima suratan takdir, bintang filem Surga Yang Tak Dirindukan ini reda.

"Dua tahun beliau menjadi suami, banyak sekali kebaikan, hikmah dan pembelajaran yang saya dapat.

"Insya-Allah hikmah, pembelajaran, semua yang saya dapat ini bisa saya jadikan bekal, bisa saya simpan untuk menjadi wanita yang Insya-Allah boleh jauh lebih baik lagi," katanya.

Engku Emran dan Bella bernikah di Kuala Lumpur pada 8 September 2017.

Berita Harian X