X
Rabu, 1 Julai 2020 | 3:00pm
Faezah menjelaskan gaya percakapan kasar loghat Utara yang sering disalah erti netizen, malah mengaitkannya dengan imej tudung labuh yang dikatakan tidak sepadan. Foto IG Faezah Elai
Faezah menjelaskan gaya percakapan kasar loghat Utara yang sering disalah erti netizen, malah mengaitkannya dengan imej tudung labuh yang dikatakan tidak sepadan. Foto IG Faezah Elai

Tudung labuh, cakap kasar?

KUALA LUMPUR: Gaya percakapan kasar yang dipertontonkan Faezah Elai dalam perkongsian video di laman sosial menjadi topik perbualan netizen.

Bertudung labuh, ada peminat mempertikaikan penampilan pelakon ini dengan perwatakannya yang dikatakan bertentangan dengan imej diri.

Mengulas perkara itu, isteri pengarah Heykal Hanifah ini mengaku percakapan yang dilihat kasar itu bukan dibuat-buat dan tiada kaitan dengan pemakaiannya.

"Saya berasal dari Pulau Pinang dan pernah menetap di Flat Taman Tun Sardon. Loghat Utara yang digunakan memang kedengaran kasar hingga ada yang melabel seperti 'setan'.

"Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya minta maaf jika ada perkataan digunakan mengguris hati sesiapa selama ini.

"Pada masa sama, sesiapa pun bebas untuk tidak mengikuti saya di media sosial," katanya kepada BH Online.

Faezah berkata, gaya penampilan dirinya termasuk mengenakan tudung labuh, bukan untuk memuaskan hati sesiapa.

"Saya selesa bertudung labuh dan cuba menjadi insan yang lebih baik, Saya perlu jelaskan perihal tudung ini kerana tidak mahu ada yang salah faham dan menjadi fitnah.

"Sudah dua tahun saya bertudung labuh. Saya tidak pernah mencuba menjadi ikon muslimah atau berdakwah dalam media sosial, sebaliknya, masih cuba memperbaiki diri," katanya.

Faezah merakam kenangan berpakaian sedondon dengan dua anak perempuannya. Foto IG Faezah Elai
Faezah merakam kenangan berpakaian sedondon dengan dua anak perempuannya. Foto IG Faezah Elai

Faezah atau nama sebenar, Noor Faezah Md Elai berkata, dia menggunakan media sosial seperti Instagram untuk berkongsi perkembangan diri selain memberi ulasan produk.

"Saya tidak bercakap atau menjadikan sesuatu perkara tular dan membuka aib orang lain. Ada personaliti terkenal jika tidak berpuas hati akan berkongsi di media sosial... Saya bukan begitu.

"Sebelum bercakap mengenai orang lain, saya tengok anak sendiri dahulu. Saya tidak mahu cakap sembarangan kerana nasib anak sendiri pun kita tidak tahu.

"Daripada sibuk menegur orang, baik kita tengok keluarga sendiri dahulu," katanya.

Berita Harian X