Khamis, 16 Julai 2020 | 6:10pm
Mira Filzah akan berkongsi hari bersejarah jika tarikh perkahwinan sudah ditetapkan. - Foto IG Mira Filzah
Mira Filzah akan berkongsi hari bersejarah jika tarikh perkahwinan sudah ditetapkan. - Foto IG Mira Filzah

Mira bergelar tunangan Wan Emir

KUALA LUMPUR: Teka-teki status pelakon, Mira Filzah dengan anak kenamaan, Wan Emir Astar terjawab apabila mengesahkan sudah bergelar tunangan orang.

Bagaimanapun, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2019 itu enggan mendedahkan tarikh rasmi dirinya disunting.

"Buat masa ini, saya diminta untuk tidak mendedahkan lagi. Insya-Allah, jika semuanya sudah ditetapkan, saya akan umumkan dan tidak melupakan media," katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar, The Nurflix Initiative di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas khabar angin mendakwanya bakal disatukan pada Oktober ini, Mira hanya melemparkan senyuman penuh makna.

"Alhamdulillah, apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kapasiti majlis perkahwinan boleh melebihi 250 orang, jadi insya-Allah. Jika, sudah ada tarikh saya akan berkongsi nanti," katanya.

Ditanya mengenai persiapan perkahwinan, Mira tidak menafikan sedang membuat persiapan.

"Persiapan sedang dilakukan, tetapi setakat ini, saya tidak pasti berapa peratus sudah bermula," katanya.

Sebelum ini, Mira dan Wan Emir yang juga anak Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid dilaporkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada Oktober depan.

Difahamkan, Wan Emir yang juga ahli perniagaan memiliki firma seni bina dan perusahaan perniagaan sudah menghantar rombongan meminang Mira, baru-baru ini.

Berita Harian X