Sabtu, 15 Ogos 2020 | 7:28pm
Allahyarham Abu Bakar Juah bersama isterinya, Rusidah Mohd Yassin. - Foto Zarith Abu Bakar
Allahyarham Abu Bakar Juah bersama isterinya, Rusidah Mohd Yassin. - Foto Zarith Abu Bakar

Abu Bakar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Abu Bakar Juah, 72, yang dilaporkan tenat menghembuskan nafas terakhir akibat kanser hati di kediamannya di Alam Damai Cheras, jam 6.35 petang ini.

Berita pemergiannya disahkan anak keduanya, Zarith Abu Bakar kepada BH Online.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah, Allah SWT lebih menyayanginya.

"Ibu, adik beradik dan menantu berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir. Hanya menantu yang bertugas di Kemboja sahaja tiada.

"Arwah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, jam 10 pagi, esok," kata Zarith dengan tenang.

Zarith Abu Bakar ketika menjaga arwah bapanya, Abu Bakar Juah di hospital. - Foto Zarith Abu Bakar
Zarith Abu Bakar ketika menjaga arwah bapanya, Abu Bakar Juah di hospital. - Foto Zarith Abu Bakar

Aktor berasal dari Taiping, Perak itu menderita penyakit kanser hati sejak 2016. Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan pelakon filem Matinya Seorang Patriot itu bebas cengkaman kanser.

Selepas disahkan bebas kanser, arwah mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam. Bagaimanapun, awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit menyerang semula, malah lebih agresif hingga sudah merebak ke hati.

Abu Bakar Juah mendirikan rumah tangga dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980 meninggalkan seorang balu, empat anak dan seorang cucu. Drama terakhir lakonannya Mr Grey pada 2018.

Berita Harian X