Selasa, 16 April 2019 | 7:13pm
Khidmat 40 animator atau pelukis animasi digunakan untuk menghasilkan filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Eksklusif: Siri Akhir Insan Kreatif Di Sebalik Filem Animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal

KUALA LUMPUR: Pujian diterima kumpulan kreatif belakang tabir pembikinan filem animasi, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal dianggap hadiah tak ternilai, hasil kerja keras mereka selama lima tahun.

Keringat yang dicurahkan bukan didorong wang ringgit, jauh sekali mahu dikenali sebaliknya minat mendalam dalam bidang animasi yang menjadi periuk nasi mereka.

Itu yang menjadi sandaran Abdul Wafi Mohamad Naguib, 31, dan Mohd Nazuan Hakim Masrul, 34, dalam mengendalikan tugas sebagai ‘animator’ dalam projek filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal.

Filem yang mengaut kutipan RM25 juta selepas tiga minggu tayangan ini membabitkan kos bukan calang-calang, iaitu RM20 juta yang dilaburkan Syarikat Les’ Copaque Production Sdn Bhd.

Wafi memberitahu, dia dan teman-teman sangat gembira apabila penonton memberi reaksi positif atas usaha mereka memastikan filem terbaru Upin & Ipin bermutu.

“Kami sangat gembira... Tidak rugi kami mengambil masa lima tahun untuk menghasilkan filem ini. Kami rasakan usaha ini sangat berbaloi walaupun ada kes ‘curi rakam’ ketika mula ditayangkan.

“Hakikatnya, mereka yang melakukan perkara itu, tidak tahu pengorbanan kami selama lima tahun. Namun, kami berbangga dengan maklum balas penonton.

“Ini adalah sesuatu yang kami tak sangka selepas lima tahun berhempas pulas,” katanya kepada BH Online.

Wafi tidak menolak kerja kumpulan animator atau pelukis animasi sangat mencabar dan kadang kala memberi tekanan.

“Bayangkanlah, satu adegan sahaja boleh mengambil masa sebulan. Apabila sudah siap, kami akan tengok berulang kali. Jadi, disebabkan proses itulah, filem ini mengambil masa yang panjang,” katanya.

Wafi teringat pengalaman setiap kali membuat pembentangan hasil kerja kepada Penerbit dan Pengarah Urusan, Burhanuddin Md Radzi.

“Apabila kami membuat pembentangan atau ‘presentation’ kepada Tuan Haji Burhanuddin, kadang-kadang ada rasa rendah diri.

“Namun, teman-teman beri semangat... Kami semua sudah seperti keluarga,” katanya.

Seorang lagi animator, Mohd Nazuan menjelaskan, kerja di sebalik tabir filem ini memerlukan kesabaran tinggi. Ini kerana tanggungjawab mereka bukanlah mudah disangka.

“Sama seperti karier lain, kami bekerja mengikut waktu pejabat. Namun, bergantung kepada projek. Kalau sesuatu projek perlu disiapkan cepat, kami bekerja lebih masa.

“Tapi syarikat tidak menetapkan kami perlu bekerja sehingga lewat malam. Ia bergantung usaha kepada seseorang untuk menyiapkan kerja dalam tempoh masa diberi,” katanya.

Namun, tambah graduan bidang kreatif multimedia dari Universiti Teknikal Melaka (UTEM) ini, andai mahu mengejar wang ringgit, tempat ini, bukanlah ‘lubuk’.

“Namun, andai mahu mencari ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berbeza, Les’ Copaque adalah tempatnya,” katanya.

Sebagai pembantu pengarah produksi, Nazuan perlu memastikan setiap kerja diagihkan dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

“Daripada peringkat penghasilan skrip, kami sudah tetapkan tempohnya. Setiap proses perlu mengikut durasi yang diberi.

“Ketika kami fokus menghasikan filem, kami juga perlu meneruskan produksi siri televisyen (TV) Upin & Ipin.

“Antara kami, ada yang buat semua, ada juga yang memberi tumpuan kepada filem dan projek lain,” katanya.

Namun, tidak kira tugas apa sekalipun, cabaran utama di Les’ Copaque adalah untuk menghasilkan filem yang lebih berkualiti berbanding siri TV.

“Ini kerana penonton sasaran kami bukanlah sekadar kanak-kanak, sebaliknya seluruh lapisan masyarakat.

“Jadi, kami mengetengahkan cerita Melayu lama, kisah lagenda seperti Mat Jenin serta Bawang Putih dan Bawang Merah supaya semua watak ini dapat mengembalikan nostalgia penonton dewasa,” katanya.

Tambah Wafi, dalam menghidupkan kisah fantasi yang realistik, bukanlah mudah. Mereka perlu menghasilkan karya yang mampu menarik perhatian kanak-kanak dan penonton dewasa.

“Kami mahu menghasilkan kartun yang nampak hidup. Contohnya, Upin dan Ipin adalah budak nakal.

“Jadi karakter kena realistik dan itulah paling susah hendak disampaikan. Selain itu, kami perlu buat sesuatu watak, contohnya, haiwan tampak hidup.

“Dalam hal ini, kami perlu membuat uji kaji dahulu. Jadi, semua proses ini mengambil masa sehingga lima tahun untuk disiapkan,” katanya.

Wafi brkata, proses tontonan dan perbincangan dibuat secara kerap sehingga semua pihak berpuas hati.

“Dalam proses animasi, kamu banyak berbincang. Ini kerana kami mahu menghasilkan kualiti animasi berbeza daripada siri TV Upin & Ipin.

“Kami mahukan standard seperti karya antarabangsa keluaran Pixar, Sony Animation dan Disney. Kami tak mahu orang cakap kualiti filem sama macam siri TV... Semua ini bukanlah proses mudah.

“Untuk filem ini, kami menggunakan 40 animator. Jumlah ini berbeza dengan siri TV di mana kami yang hanya bergantung kepada 15 animator termasuk pengarah,” katanya.

Berita Harian X