Jumaat, 31 Mei 2019 | 2:00pm
PELAKON, Pekin Ibrahim, menggalas watak utama sebagai guru sukan dalam Adiwiraku 2. - Foto Aziah Azmee

Watak guru sukan dalam Adiwiraku 2 milik Pekin

KUALA LUMPUR: Watak guru sukan dalam filem Adiwiraku 2 menjadi milik Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-28, Pekin Ibrahim.

Menurut penerbitnya, Sangeeta Krishnasamy, pemilihan aktor berusia 37 tahun itu dilihat bertepatan bagi menjayakan watak Cikgu Azman dalam naskhah arahan Jason Chong dan Eric Ong itu.

“Kami melihat pemilihan Pekin cukup tepat untuk menjayakan watak guru sukan dalam Adiwiraku 2 yang kini masih dalam proses penggambaran. Ia dijangka berakhir pada bulan depan.

“Saya juga tidak berlakon dalam filem yang dihasilkan berdasarkan skrip tulisan Jason dan seorang lagi penulis itu. Sebaliknya, kali ini saya lebih selesa bekerja di belakang tabir membantu produksi,” katanya kepada BH Online.

Jika filem lakonannya yang ditayangkan pada Mac 2017 itu mengangkat kisah guru bahasa Inggeris, Cheryl Ann Fernando, yang berjasa di sekolah SMK Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah, judul kedua pula mengetengahkan cerita guru sukan di sebuah sekolah di Gemencheh, Negeri Sembilan.


SANGEETA memilih untuk berada di belakang tabir bagi pembikinan filem Adiwiraku 2. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

“Adiwiraku 2 berdiri dengan sendiri dan bukannya kesinambungan daripada filem pertama. Bagaimanapun, ia masih mengangkat peranan dan kehebatan warga pendidik.

“Melihat pada sambutan diberikan kepada Adiwiraku di Malaysia dan luar negara, termasuk diangkat sebagai Filem Terbaik pada FFM 29 serta Anugerah Skrin 2017, kami yakin naskhah dalam genre sebegini boleh membawa impak kepada masyarakat.

“Sekalipun berdepan masalah kekurangan bajet dan kurang tontonan di pawagam, ia bukan penghalang untuk kami meneruskan penghasilan Adiwiraku 2,” kata Pelakon Wanita Terbaik FFM 29 itu sambil memaklumkan, projek pembikinannya turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan.

462 dibaca
Berita Harian X