Rabu, 19 Jun 2019 | 9:00am
FILEM Liza the Fox Fairy akan menemui penonton sempena penganjuran Festival Filem Hungary 2.0. - Foto ihsan GSC

Tayangan empat filem percuma sempena FFH 2.0

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan edisi sulung Fiesta Filem Hungary (FFH), tahun lalu, orang ramai sekali lagi berpeluang mengenali filem, budaya dan negara terbabit dengan lebih dekat menerusi penganjuran keduanya, mulai 21 Jun ini.

Dianjurkan oleh Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC) dan Cinema Online, filem yang menghiasi acara kali ini turut dibawa ke Pulau Pinang dan Sarawak, selain tayangannya di ibu negara.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, FFH 2.0 juga adalah antara acara tumpuan bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Hungary dan Malaysia.

Bagi fiesta kali ini, sebanyak empat judul yang pernah memenangi anugerah dengan 16 tayangan percuma bakal dinikmati penggemar filem.

Bagi mereka yang ingin menonton filem terbabit, masing-masing hanya perlu membawa keratan artikel mengenai FFH 2.0 atau paparan skrin artikel mahupun logo acara ke mana-mana pawagam GSC yang mengambil bahagian.

Setiap artikel atau paparan skrin itu membolehkan mereka menebus dua tiket bagi filem yang sama, dengan setiap seorang boleh mendapatkan empat tiket maksimum. Mereka boleh membuat penebusan di GSC Pavilion Kuala Lumpur (KL), GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang dan GSC CityOne Megamall, Kuching.

Tayangan percuma terbabit akan diadakan di GSC Pavilion KL pada 21 hingga 23 Jun; GSC Gurney Plaza (29 dan 30 Jun); serta GSC CityOne Megamall, Kuching (6 dan 7 Julai).

Empat filem yang dipilih untuk tayangan sempena fiesta berkenaan ialah Liza the Fox-Fairy, The Troupe, Think of Me dan Pappa Pia.

Liza the Fox-Fairy berkisar pada seorang jururawat yang mencari cinta. Bagaimanapun, semua lelaki yang mendambakan cintanya akan mati dengan penuh tragik. Filem ini pernah memenangi tujuh trofi, termasuk Filem Terbaik, Anugerah Cesar 2019. Ia juga menerima 23 pencalonan pada pelbagai anugerah termasuk dalam kategori Pengarah Terbaik, Silver Lion International Film Festival of Venice.

The Troupe pula bercerita mengenai sekumpulan pelakon bergerak dan seorang askar yang terpaksa melarikan diri bersama mereka. Kumpulan itu mengembara dari satu tempat ke tempat lain untuk ke Budapest. Perjalanan mereka juga dipenuhi dengan pelbagai konflik termasuk pertelagahan, percintaan dan godaan.

Sementara itu, Think of Me mengetengahkan kisah pakar bedah yang menjalani kehidupan sempurna, sehinggalah dia mendapati dirinya hanya mempunyai beberapa bulan untuk hidup. Bagi mengurangkan penderitaan mereka yang bakal kehilangannya, dia bertindak menjauhkan semua orang daripada dirinya.

Akhir sekali, muzikal Pappa Pia mengangkat kisah sebuah komuniti yang mengubah rumah bot menjadi pub bagi mengumpul wang untuk membolehkan masing-masing meneruskan kehidupan.

Berita Harian X