Jumaat, 5 Julai 2019 | 5:02pm
PELAKON, Syafiq Kyle dan Amyra Rosli bakal bergandingan sekali lagi menerusi filem Nur, tahun depan. - NSTP/Azhar Ramli

Nur diangkat ke filem tahun depan

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohameddin, mengesahkan drama rantaian popular, Nur, bakal diangkat ke layar perak, tahun depan.

Katanya, filem terbabit akan diterbitkan oleh syarikat produksi miliknya, Radius One Sdn Bhd, dengan kerjasama Primeworks Studios.

“Selepas sekian lama mengarahkan drama untuk siaran televisyen, saya kini bersedia menyahut cabaran menduduki kerusi sutradara filem pula.

“Saya berasakan, inilah masa yang tepat untuk saya berbuat demikian, apatah lagi minat orang ramai terhadap drama yang menemui penonton TV3 selama dua tahun berturut-turut itu masih kuat,” katanya kepada BH Online.

Menurut Shahrulezad, penggambaran filem itu dijangka bermula pada Mac tahun depan berikutan pelakon utamanya, Amyra Rosli, baru sahaja mengumumkan dirinya hamil anak kedua.

“Jika boleh, kami memang ingin memulakan penggambarannya secepat mungkin. Namun, kami juga perlu mengambil kira keadaan Amyra kerana dia antara tunjang utama filem ini.

“Bagi versi layar perak, saya akan mengembangkan cerita daripada kesinambungan drama Nur musim kedua, yang menemui penonton baru-baru ini. Tentunya kami berdepan dilema, saat ini, memikirkan cara untuk menghidupkan semula watak Ustaz Hamadi yang mati dalam Nur 2.

“Selain Amyra dan Azhan Rani, kami juga akan mengekalkan barisan pelakon asal seperti Syafiq Kyle, Noorkhiriah dan Azar Azmi,” katanya sambil memaklumkan, penggambaran filem berkenaan akan dilakukan di dalam negara.


PENGARAH dan penerbit drama Nur, Shahrulezad Mohameddin. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Kata pengarah itu juga, dia sekali lagi menyerahkan tanggungjawab menyempurnakan skor muzik untuk filem terbabit kepada Amylea Azizan dan Farouk Roman.

Sebelum ini, mereka menghasilkan beberapa lagu popular seperti Tak Pernah Hilang, Pudar, Tetap Kamu dan Bimbang untuk melatari drama berkenaan.

“Saya selesa bekerjasama dengan mereka dan saya yakin, kedua-duanya akan terus menghasilkan muzik yang mampu menghidupkan ‘mood’ dan emosi dalam Nur,” katanya.

Ditanya mengenai pelawaan Istana Budaya untuk mementaskan drama terbabit di gelanggang seni cukup berprestij itu, dia berkata, sehingga kini belum ada perkembangan terkini mengenai perkara berkenaan.

Berita Harian X