Selasa, 3 September 2019 | 4:51pm
BOBOIBOY Movie 2 mencatat kutipan RM27.7 juta selepas 26 hari tayangan, sekali gus melakar sejarah sebagai filem animasi tempatan terlaris. Foto IG Astro Shaw

Boboiboy Movie 2 filem animasi tempatan terlaris

KUALA LUMPUR: Filem animasi, Boboiboy Movie 2 (BBBM2) meraih kutipan RM27.7juta sepanjang 26 hari tayangan, sekali gus melakar sejarah sebagai produksi animasi tempatan paling laris.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios yang juga pengarah BBBM2, Nizam Abdul Razak, berkata mereka begitu teruja dengan pencapaian produksi itu yang memecah rekod kutipan tertinggi untuk filem animasi tempatan.

Kejayaan itu juga katanya, secara tidak langsung membuktikan hasil usaha mereka merangka siri promosi dan pemasaran memberikan impak yang sangat positif.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton pelbagai bangsa dan lapisan umur yang menyokong BBBM2.

“Penerimaan positif ini memperlihatkan perkembangan yang sangat baik kepada industri filem tempatan, sekali gus membuktikan produksi animasi kita mampu bersaing dengan filem antarabangsa.

“Ternyata rangka promosi dan pemasaran yang dibuat memberi kesan yang maksimum terhadap hasil kutipan BBBM2,” katanya.

Ditayangkan sejak 8 Ogos lalu, BBBM2 masih memberi persaingan sengit apabila kekal dalam carta Top 5 kutipan mingguan pawagam.

Berita Harian X