Khamis, 12 September 2019 | 4:41pm
Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal diangkat sebagai Filem Cetera Terbaik, Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (ANIMAZE) di Montreal, Kanada. Foto IG Les’ Copaque

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal diiktiraf di Kanada

KUALA LUMPUR: Filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal melakar sejarah tersendiri apabila diangkat sebagai Filem Cetera Terbaik, Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (ANIMAZE) di Montreal, Kanada.

Kejayaan filem yang ditayangkan di negara ini pada Mac lalu dikongsi penerbitnya, Les’ Copaque Production menerusi satu status di Twitter, semalam.

“Alhamdulillah, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal meraih pengiktirafan antarabangsa apabila dipilih sebagai pemenang di ANIMAZE 2019 bagi kategori Filem Certera,” tulisnya dalam perkongsian ringkas itu.

ANIMAZE adalah majlis perhimpunan membabitkan wakil pengeluar filem dari seluruh dunia dan turut memberi pengiktirafan kepada karya animasi.

Festival empat hari yang bermula pada 29 Ogos lalu padat dengan pelbagai pengisian, termasuk aktiviti seperti bengkel, seminar, pertemuan pengkarya dan diakhiri malam kemuncak anugerah ANIMAZE.

Filem arahan bersama Adame Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim dan Ahmad Razuri Roseli itu antara 65 filem dari seluruh dunia yang dipertandingkan.

Terdahulu, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mencatat kutipan RM25 juta selepas 21 hari ditayangkan dengan mencecah dua juta penonton di Malaysia.

Selain menembusi pawagam di China, filem yang berkisar kisah dongeng masyarakat tempatan turut menembusi pasaran Indonesia, Vietnam, Uzbekistan dan India.

Berita Harian X