Selasa, 8 Oktober 2019 | 10:45pm
Penerbit Eksekutif M For Malaysia, Marina Mahathir (tengah); Penerbit, Dian Lee (kiri) Penerbit Kreatif, Ruby Yang (dua dari kanan) Pengarah, Ineza Roussille (dua dari kiri) dan komposer, Rendra Zawawi pada tayangan dokumentari M for Malaysia di ibu negara pada 10 September lalu. Foto NSTP Mahzir Mat Isa

M For Malaysia bersaing di Anugerah Akademi Ke-92

KUALA LUMPUR: Dokumentari berkisar pembentukan Malaysia Baharu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), M For Malaysia diumumkan mewakili negara dalam kategori filem cereka antarabangsa pada Anugerah Akademi Ke-92.

Astro dalam kenyataan menyebut, kejayaan M For Malaysia yang diterbitkan Project M Media dengan Astro Shaw mengendalikan urusan pemasaran dan pengedarannya, dianggap anjakan paradigma bagi industri perfileman tempatan.

“Dokumentari mengenai pembentukan Malaysia baharu ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 10 September lalu dan mendapat sambutan positif.

“Rata-rata penonton tertarik dengan perjalanan dan semangat perjuangan diketuai lelaki berusia 93 tahun yang kini bergelar Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata kenyataan itu.

Pengarah dan penerbit M For Malaysia, Dian Lee berkata, pihaknya berbangga hasil kerja bakat tempatan diangkat ke tahap antarabangsa.

“Kami tidak pernah menjangka usaha menghasilkan dokumentari ini mampu pergi sejauh itu. Kejayaan ini tidak akan sempurna tanpa kerjasama dengan Astro Shaw,” katanya.

Pengarah dan penerbit bersama M For Malaysia, Ineza Roussille menganggap kejayaan dokumentari itu bersaing dengan filem asing pada acara berprestij terbabit, sebagai suatu pengalaman hebat.

“Saya berbesar hati kerana M For Malaysia akan mewakili negara. Saya harap kejayaan ini akan memberi lebih banyak ruang buat dokumentari tempatan untuk terus berkembang merentasi sempadan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden merangkap Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menganggap kejayaan M For Malaysia bersaing pada Anugerah Akademi ke-92 sebagai suatu penghormatan.

“Kejayaan bermakna ini adalah suatu penghormatan. Ini membuktikan naskhah tempatan mampu bersaing di persada dunia.

“Ini juga meletakkan industri filem Malaysia ke tahap lebih tinggi. Bagi kami, ia membuka pintu untuk naskhah tempatan diketengahkan dan lebih dikenali ramai,” katanya.

Kenyataan itu menambah, dokumentari M For Malaysia mendapat sambutan menggalakkan di pelbagai lokasi antarabangsa selepas tayangan perdana di CAAMFest di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) dan DocEdge di New Zealand.

Berita Harian X