Rabu, 23 Oktober 2019 | 7:00pm
Ahmad Izham Omar (dua kiri) dan Usamah Zaid (empat kiri) bersama penyumbang suara karakter filem Ejen Ali The Movie pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

Ejen Ali ditayang di tiga negara serentak

KUALA LUMPUR: Primeworks Studios dan Wau Animation mengumumkan filem Ejen Ali The Movie akan ditayangkan serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei, mulai 28 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, kejayaan dicapai Ejen Ali mendorong pihaknya membawa filem berkenaan ke tiga negara serentak.

“Ejen Ali menjadi salah satu jenama animasi popular Asia. Karakter ini meraih lebih dua juta tontonan di TV3. Semestinya kami menyimpan harapan tinggi untuk menayangkan filem Ejen Ali ini ke Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Tidak tertakluk kepada satu peringkat umur, filem animasi ini diharap dapat menarik perhatian semua golongan ke pawagam.

“Sokongan dan semangat yang diberi mendorong kami mencapai penanda aras yang tinggi bagi filem ini,” katanya pada sidang media pelancaran Ejen Ali The Movie di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Filem Ejen Ali membabitkan kos RM6.5 juta dan menyasarkan kutipan tiket sebanyak RM20 juta.

Usamah Zaid yang juga pencipta Ejen Ali berkata, pihaknya mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan filem berkenaan.

“Kami berharap usaha dan keringat yang dicurahkan dapat menjangkau harapan peminat tegar animasi Ejen Ali,” katanya.

Filem animasi berdurasi 97 minit itu menjadikan single Bukalah Matamu nyanyian Aisyah Aziz dan Bunga yang dilancarkan pada 20 September lalu, sebagai runut bunyi. Lagu ciptaan Altimet, Cuurley dan Malik Abdullah berjudul Kita Jaga Kita juga digunakan dalam filem berkenaan.

Pada majlis itu, Primeworks Studios dan Wau Animation mengumumkan kerjasama dengan penaja utama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta penaja bersama, Mydin dan Pediasure.

Ejen Ali The Movie berkisar kanak-kanak berusia 12 tahun dikenali sebagai Ali. Dia dipilih menjadi penyiasat sebuah agensi perisikan, Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Konflik timbul apabila Ali mendapat tahu bukan dia sahaja yang mengawal gajet istimewa dikenali sebagai Infinity Retinal Intelligence System atau IRIS.

Berita Harian X