X
Khamis, 12 Disember 2019 | 3:33pm
YEN enggan lagi membintangi filem kung fu selepas Ip Man 4: The Finale. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
YEN enggan lagi membintangi filem kung fu selepas Ip Man 4: The Finale. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Tiada lagi filem kung fu - Donnie Yen

KUALA LUMPUR: Pelakon popular Hong Kong, Donnie Yen, 56, menegaskan hanya berhenti membintangi filem kung fu, tetapi masih bersedia menerima tawaran berlakon produksi genre aksi lain.

Yen berkata, ramai yang salah faham mengenai kenyataannya ketika menjayakan siri jelajah filem Ip Man 4: The Finale, baru-baru ini, hingga mengundang kesedihan peminat.

“Selepas 30 tahun terbabit dalam filem seni mempertahankan diri kung fu, sudah tiba masa saya tumpukan perhatian penuh terhadap produksi aksi lain.

“Saya berharap, jangan lagi ada salah faham. Ia bukan bermakna saya berhenti berlakon filem aksi, walaupun pernah mengumumkan Ip Man 4: The Finale sebagai produksi kung fu terakhir.

“Filem aksi bukan semestinya hanya berlegar mengenai kung fu. Konsep itu perlu difahami supaya tiada kekeliruan kerana komitmen untuk filem kung fu sangat besar.

“Begitu juga kos penerbitan kerana ia membabitkan budaya dan skil tinggi. Apa pun, saya sudah puas dan cukup setakat ini,” katanya pada sesi promosi filem Ip Man 4: The Finale, di sini.

YEN (tengah) bersama Raymond Wong (kiri) dan Danny Chan pada sidang media Ip Man 4: The Finale. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
YEN (tengah) bersama Raymond Wong (kiri) dan Danny Chan pada sidang media Ip Man 4: The Finale. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Yen yang pernah berkunjung ke ibu negara, beberapa tahun lalu, mengakui teruja dapat kembali bertemu penonton yang memberikan sokongan padu terhadap karakter Ip Man sejak 12 tahun lalu.

Selain Yen, hadir sama Denny Chan yang membawa watak Bruce Lee, selain penerbit filem itu, Raymond Wong dan penulis skrip, Edmond Wong.

Terdahulu, Ip Man 3 yang ditayangkan pada 2016 meraih kutipan pecah panggung di negara ini dengan RM12 juta dalam tempoh empat hari ditayangkan.

Ip Man 4: The Finale yang diedarkan Lotus Five Star bersama rakan pemasaran RAM Entertainment akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 20 Disember ini.

Berita Harian X