Jumaat, 10 Januari 2020 | 9:44pm
Filem animasi Ejen Ali mencatat kutipan RM30 juta selepas enam minggu menemui penonton di pawagam. - Foto ihsan Primeworks Studios
Filem animasi Ejen Ali mencatat kutipan RM30 juta selepas enam minggu menemui penonton di pawagam. - Foto ihsan Primeworks Studios

Ejen Ali pungut RM30 juta

KUALA LUMPUR: Filem animasi, Ejen Ali The Movie, membuka tirai 2020 dengan penuh bergaya apabila meraih kutipan sebanyak RM30 juta dalam tempoh enam minggu tayangan.

Mula menemui penonton di pawagam pada 28 November tahun lalu, produksi terbitan bersama Primeworks Studios dan WAU Animation itu turut menduduki carta teratas filem pecah panggung tempatan 2019.

Malah, karya arahan Usamah Zaid Yassin itu juga disenaraikan sebagai antara tiga filem tempatan yang mencatat pungutan terbanyak sepanjang zaman.

Filem berkenaan berkisar mengenai kanak-kanak berusia 12, Ali, direkrut menjadi perisik di Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa dikenali sebagai IRIS atau Infinity Retinal Intelligence System.

Inovasi baharu itu dipersoalkan Ali apabila dia berasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Selain Malaysia, Ejen Ali The Movie turut ditayangkan di Singapura dan Brunei. Di Indonesia pula, ia menjengah pawagam negara itu mulai 1 Januari lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X