Jumaat, 24 Januari 2020 | 10:58am
Penerbit filem animasi Boonie Bears : The Wild Life enggan mengambil risiko penularan wabak coronavirus dengan menangguhkan tayangan filem berkenaan yang sepatutnya dianjurkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, esok.

China tangguh tayang tujuh filem akibat coronavirus

KUALA LUMPUR: Wabak coronavirus yang kali pertama dikesan di Wuhan, China hingga angka kematian dikhuatiri meningkat kepada 25 orang, turut menjejaskan industri perfileman di negara itu.

Wabak yang menular ke Beijing, Shanghai dan Guangdong itu menyebabkan tayangan tujuh filem besar sempena sambutan Tahun Baharu Cina, esok, terpaksa ditangguhkan bagi mengelak wabak berkenaan terus tersebar, lapor portal Variety.

Tujuh filem yang sepatutnya ditayangkan hujung minggu ini dengan sasaran kutipan lebih RM4 bilion itu adalah Leap, The Rescue, Lost In Russia, Detective Chinatown 3, Vanguar, Boonie Bears : The Wild Life dan Jiang Ziya: Legend of Deification.

Pengumuman mengenai pembatalan tayangan filem itu dibuat syarikat produksi menerusi akaun media sosial mereka, Weibo.

Semua syarikat produksi yang sepakat membanteras wabak coronavirus daripada terus menular, memohon maaf kepada pawagam atas pembatalan itu.

Anggota paramedik mengusung mangsa coronavirus di Hospital Elizabeth, di Hong Kong. Wabak ini mendorong China untuk melakukan kuarantin terhadap 20 juta penduduknya tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengatakan penyakit itu belum menjadi kecemasan kesihatan global. - Foto Reuters

Pengumuman pertama pembatalan itu dibuat penerbit filem animasi Boonie Bears : The Wild Life. Menurut penerbitnya, pihaknya tidak mahu peminat menanggung risiko apabila keluar menonton filem berkenaan.

“Dalam keadaan negara sedang ‘berperang’ melawan virus baharu ini, kami tidak mahu penonton mengambil risiko hingga menyebabkan virus itu tersebar dengan lebih meluas.

“Bagi pihak Boonie Bears, tiada yang lebih penting berbanding keselamatan anda sekeluarga dan anak-anak,” kata jurucakapnya.

Platform jualan tiket Maoyan dan Taopiaopiao pula berjanji untuk membayar ganti rugi tiket tanpa syarat. Proses berkenaan dijangka akan mengambil masa seminggu.

Manakala pihak pempamer atau pawagam dilaporkan menerima banyak panggilan daripada pelanggan yang meminta wang dikembalikan akibat pembatalan tayangan itu.

Sementara itu, pengarah Dante Lam dan pelakon utama filem The Rescue, Eddie Peng dan Candy Leung yang sepatutnya mempromosikan filem berkenaan di Kuala Lumpur, Selasa ini, turut dilaporkan membatalkan rancangan itu. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X