Selasa, 5 September 2017 | 7:52pm

Usah bimbang cari makanan halal di Taiwan

TAIPEI: Sepuluh tahun lalu, adalah sukar untuk mendapatkan makanan halal di Taiwan namun hari ini, negara itu semakin terbuka mengatur program untuk pelancong pelbagai negara termasuk mereka yang beragama Islam.

Pengusaha hotel dan restoran yang dahulunya janggal dengan perkataan 'halal' kini semakin berusaha ke arah itu dan walaupun tidak sepenuhnya mengamalkan sumber halal, mereka mereka dilihat sudah menunjukkan sikap 'mesra Muslim'.

SEBAHAGIAN menu yang boleh dinikmati pelancong Muslim apabila berkunjung ke Taiwan. - Foto Ilah Hafiz Aziz

Sebagai contoh di Tsai Food Restaurant di bandar Puli, Taichung, Taiwan mereka sudah mengorak langkah sejak dua tahun lalu untuk menarik pelancong Islam berkunjung ke premis mereka.

Pemiliknya, Micheal berkata, mereka adalah satu-satunya restoran ketika itu yang menitik beratkan terhadap pemakanan halal meskipun tidak menerima banyak pelanggan dari kalangan pelancong Islam.

"Kami lihat kehadiran pelancong Muslim adalah satu industri di masa hadapan lebih-lebih lagi ketika ini ramai pengunjung ke negara ini datang dari negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia.

"Kami lihat pelancong Muslim sangat cerewet tentang pemakanan mereka sehinggakan mereka bertanya mengenai dari mana kami memperoleh sumber makanan itu. Tetapi rupa-rupanya ia adalah salah satu cara untuk status halal itu," katanya ketika ditemui BH di restorannya.

PEMANDANGAN di Yehliu Geopark di Taiwan. - Foto Ilah Hafiz Aziz

Mengulas lanjut, Micheal berkata, pengurusan restoran turut mendapat khidmat dari Persatuan Cina Muslim Taiwan bagi memastikan mereka mampu menyajikan makanan yang dijamin halal.

"Isu utama adalah sumber makanan, oleh itu kami hanya mengimport bahan makanan seperti ayam, daging dan kambing dari luar negara yang mendapat pengiktirafan daripada badan Muslim negara itu seperti Australia.

"Penggunaan sos juga amat dititik-beratkan dan kami hanya akan menggunakan sumber yang bertanda halal sahaja dan adanya dari diimport dari Malaysia," katanya.

Selain restoran, hotel-hotel di sekitar Taiwan juga turut sama memainkan peranan dalam menjayakan pemakanan halal untuk pelancong Taiwan.

SUASANA di Pasar Shilin di Taipei. - Foto Ilah Hafiz Aziz

Antara hotel yang mengambil langkah itu adalah City Suites Hotel,  U Hotel , Tai Yi Red Maple Resort,  Atami Hotel, Toucheng Leisure Farm, Amba Hotel dan Chateau de Chine Hotel.

Bagi Timbalan Pengurus Besar City Suites Hotel, James Hsieh, mereka juga sudah mula mengasingkan dapur untuk memasak segala masakan halal dengan diteliti oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan.

"Kami mempunyai set makanan penuh juadah Cina-Taiwan yang terdiri daripada sembilan jenis makanan termasuk sup untuk dipilih oleh pelancong Islam.

"Sumber makanan seperti daging dan kambing juga diperoleh dalam negara ini namun ia mendapat pengiktirafan halal daripada badan Muslim," katanya yang berkata, pelancong Islam ke hotel itu meningkat sehingga 400 orang sejak tahun lalu.

RESTORAN di Taiwan menggunakan pinggan khusus yang tertulis Halal untuk pelancong Muslim. - Foto Ilah Hafiz Aziz

Selain produk makanan halal, beberapa hotel di negara ini juga dilihat mengambil berat mengenai isu ibadat pelancong Islam sehingga ada dikalangan premis itu memperuntukkan surau kecil dan meletakkan sejadah, penanda arah kiblat dan penunjuk waktu solat di bilik yang dihuni pelancong.

Bagi pelancong yang mahu merasai juadah yang disediakan oleh penduduk Muslim Taiwan, sebenarnya pelbagai restoran halal sudah lama bertapak di situ sama ada yang didirikan sendiri oleh masyarakat Taiwan atau penduduk luar negara yang sudah mendapat kerakyatan di situ.

Antara yang menjadi perhatian adalah Restoran Bismilla, Restoran Halal Chinese Beef Noodle, Restoran Tajin, Restoran Thai Yunus Halal, Restoran Halal Kunming, Mayor Indian Kitchen dan Fatima Halal Foods.

MASJID Besar Taipei yang terletak di tengah ibu negara Taiwan. - Foto Ilah Hafiz Aziz

Paling mencuri perhatian di sekitar Taipei adalah Restoran Bismilla yang diusahakan oleh penduduk tempatan beragama Islam yang menyajikan segala macam juadah Indo-China yang pastinya dijamin halal.

Menariknya untuk menjengah ke lokasi ini anda tidak perlu bersusah payah kerana, Restoran Bismilla hanya  terletak bersebelahan stadium Arena Taipei di  Jalan Beining, Daerah Songshan.

Bagi pelancong yang sukakan juadah asli masyarakat tempatan, boleh rasai sendiri mi daging yang disediakan Halal Chinese Beef Noodle Restaurant yang terletak di Jalan Yanji, Daerah Da'an, Taipei.

Tidak sukar untuk mencari kedai kecil yang tidak ubah seperti warung ini kerana ia terletak di sebalik lorong-lorong berhadapan bangunan Pelancongan Taiwan dan jika ia tidak ditemui, tanya sahaja pada mereka yang lalu lalang di situ dan jika bernasib baik, pasti ada yang membawa terus ke hadapan kedai itu.

Selain mi daging di situ,  menu pilihan adalah sejenis roti yang diuli nipis dan kenyal, sekurang-kurangnya boleh menghilangkan kerinduan terhadap roti canai.

Bagi yang masih ragu-ragu atau mahu mencuba kelainan, cuba datang ke restoran Tajin di Jalan Jilong di Daerah Da'an dan merasai pelbagai juadah berasal dari Maghribi.

Berita Harian X