X
Isnin, 2 April 2018 | 12:01am
PENGAWAS Hutan, Baizura Bostaman (kiri) memberi penerangan berkenaan periuk kera spesies nepenthes khasiana kepada pengunjung yang datang ke Taman Nepenthes Kledang Saiong. - Foto Balqis Jazimah Zahari
PENGAWAS Hutan, Baizura Bostaman (kiri) memberi penerangan berkenaan periuk kera spesies nepenthes khasiana kepada pengunjung yang datang ke Taman Nepenthes Kledang Saiong. - Foto Balqis Jazimah Zahari
TAMAN Nepenthes Kledang Saiong terletak dalam Taman Eko-Rimba Kledang Saiong (TERKS). - Foto Balqis Jazimah Zahari
TAMAN Nepenthes Kledang Saiong terletak dalam Taman Eko-Rimba Kledang Saiong (TERKS). - Foto Balqis Jazimah Zahari
SPESIES nepenthes bicalcarata. - Foto Balqis Jazimah Zahari
SPESIES nepenthes bicalcarata. - Foto Balqis Jazimah Zahari
SPESIES nepenthes rafflesiana. - Foto Balqis Jazimah Zahari
SPESIES nepenthes rafflesiana. - Foto Balqis Jazimah Zahari
PENGAWAS Hutan, Shahridan Sahaban (kiri) bersama Pembantu Awam Hutan Lipur, Nursyahidatul Husna Abdul Razak menunjukkan spesies nepenthes ampullaria yang ditanam di Taman Nepenthes Kledang Saiong. - Foto Balqis Jazimah Zahari
PENGAWAS Hutan, Shahridan Sahaban (kiri) bersama Pembantu Awam Hutan Lipur, Nursyahidatul Husna Abdul Razak menunjukkan spesies nepenthes ampullaria yang ditanam di Taman Nepenthes Kledang Saiong. - Foto Balqis Jazimah Zahari

TERKS 'syurga' pengkaji periuk kera

IPOH: Periuk kera atau nama saintifiknya 'nepenthes', diketahui umum cukup unik berikutan statusnya sebagai tumbuhan liar yang bersifat karnivor.

Dengan variasi 150 spesies di seluruh dunia, tidak hairanlah periuk kera mempunyai peminatnya tersendiri khususnya dalam kalangan penggemar serta pengkaji flora dan fauna.

Mengambil kira keunikan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) menyediakan taman nepenthes di Taman Eko-Rimba Kledang Saiong (TERKS) di Bandar Meru Raya di sini.

Dibangunkan sejak lima tahun lalu, taman itu menempatkan 70 spesies periuk kera membabitkan 55 spesies endemik, manakala selebihnya hibrid.

Antara spesies menarik di taman berkenaan adalah 'nepenthes clipeata', 'nepenthes sumatrana', 'nepenthes bicalcarata', 'nepenthes rowane', 'nepenthes khasiana', 'nepenthes longifolia', 'nepenthes northiana' dan 'nepenthes rafflesiana'.

Guna kaedah semula jadi

Walaupun terdapat tiga taman periuk kera diwujudkan sebelum ini, iaitu di Britain, Jerman dan Australia, taman di TERKS dianggap mempunyai tarikan tersendiri kerana yang pertama menanam pelbagai spesies tumbuhan itu menggunakan kaedah semula jadi.

SPESIES nepenthes rafflesiana. - Foto Balqis Jazimah Zahari
SPESIES nepenthes rafflesiana. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Tidak hairanlah taman nepenthes di TERKS mampu menarik pengunjung luar seperti dari Britain, Jepun, Kanada, China, Thailand, Indonesia dan Singapura, termasuk bagi tujuan rujukan dan pembelajaran.

Keistimewaan taman ini turut menggamit tetamu diraja dan kenamaan lain, dengan pengunjung biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga jam bagi menghayati rupa bentuk dan ciri-ciri setiap periuk kera.

Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop, berkata penubuhan taman nepenthes itu antara usaha dan inisiatif JPNPk dalam memupuk dan mendidik orang awam untuk memelihara dan mencintai alam sekitar.

"Taman nepenthes ini adalah taman pertama dalam negara yang mengumpul dan menempatkan spesies periuk kera terbanyak secara berpusat iaitu lebih 55 spesies endemik.

"Tumbuhan itu berasal dari negara seperti Madagascar, Australia, China, Kepulauan Borneo, India, Thailand, Singapura dan Papua New Guinea. Selain itu, ada 15 spesies hibrid secara hortikultur dan semula jadi.

Daun satu meter

Katanya, difahamkan taman itu adalah yang keempat dibangunkan di dunia selepas Jerman, Australia dan Britain, tetapi yang menariknya ia satu-satunya ditanam secara semula jadi berbanding tiga negara lagi yang ditanam secara teknik rumah kaca.

SPESIES 'nepenthes clipeata' yang berasal dari Kalimantan adalah antara spesies termahal kerana amat sukar untuk diambil di lokasi asal spesies. - Foto Balqis Jazimah Zahari
SPESIES 'nepenthes clipeata' yang berasal dari Kalimantan adalah antara spesies termahal kerana amat sukar untuk diambil di lokasi asal spesies. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Mohamed Zin berkata, semua spesies nepenthes yang ditanam secara semula jadi di kawasan itu dilihat mampu untuk tumbuh dan membesar dengan baik.

"Antara spesies menarik yang terdapat di sini adalah 'nepenthes bicalcarata' iaitu spesies endemik dari Kepulauan Borneo. Ia mudah ditemui di kawasan paya gambut di bahagian persisiran pantai barat Borneo yang merangkumi Sarawak, Sabah, Kalimantan dan Brunei.

"Spesies ini mempunyai taburan populasi di kawasan berketinggian kosong hingga 300 meter atas paras laut. Ia adalah spesies nepenthes yang terbesar dan tanaman dewasa boleh menghasilkan daun sehingga satu meter panjang," katanya.

JPNPk bercadang mengadakan majlis perasmian taman itu yang dijangka disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya 2019 sempena ulang tahun Pertabalan Sultan Perak dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) JPNPk, Ramli Mat, pula berkata pihaknya menggalakkan penyelidik terutama dari institusi pengajian tinggi (IPT) dalam atau luar negara, datang membuat kajian mengenai spesies nepenthes yang ada di taman itu.

"Penubuhan taman nepenthes ini adalah satu aktiviti baharu berasaskan eko-pelancongan yang cuba diketengahkan jabatan. Ia mampu menyumbang kepada hasil negeri selain hanya bergantung kepada kayu kayan," katanya.

Katanya, JPNPk hanya mengenakan bayaran RM5 bagi dewasa dan RM2 bagi pelajar sekolah untuk memasuki taman itu dan kutipan berkenaan digunakan untuk tugas memelihara dan menyelenggara kemudahan yang ada di situ.

SPESIES nepenthes longifolia. - Foto Balqis Jazimah Zahari
SPESIES nepenthes longifolia. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Spesies bernilai tinggi

Penolong Pengarah Seksyen Hutan Lipur dan Eko Pelancongan JPNPk, Safiah Aimi Md Isa, berkata pihaknya menempatkan dua kakitangan di taman itu bagi menjaga dan mengendalikan pengurusan taman dan pertumbuhan periuk kera.

Selain itu, katanya kakitangan terbabit turut bertindak sebagai penyampai maklumat dan memberi penerangan kepada pengunjung.

"Kakitangan yang dilantik diberi pendedahan, kursus serta latihan berkaitan tatacara penjagaan dan pengendalian periuk kera. Ini kerana ia sejenis tumbuhan yang sensitif dan memerlukan perhatian dari aspek suhu dan kelembapan berikutan ia berasal dari habitat tanah tinggi," katanya

Dalam perkembangan berkaitan, Pengawas Hutan, Shahridan Sahaban, berkata semua spesies yang ditanam dan dipelihara di taman nepenthes itu terdiri daripada spesies bernilai tinggi dan terkawal.

"Setakat ini, spesies 'nepenthes clipeata' yang berasal dari Kalimantan adalah antara spesies termahal kerana amat sukar untuk diambil di lokasi asal spesies.

"Bagi sesetengah spesies di situ, air di dalam kantungnya boleh diminum untuk dijadikan sebagai herba ubat-ubatan bagi mengubat penyakit kulit dan merawat mata," katanya.

SPESIES nepenthes northiana. - Foto Balqis Jazimah Zahari
SPESIES nepenthes northiana. - Foto Balqis Jazimah Zahari

INFO
Taman Nepenthes Kledang Saiong

  • Terletak dalam Taman Eko-Rimba Kledang Saiong (TERKS)
  • Dibuka jam 8 pagi-6 petang setiap hari

Nepenthes

  • Tumbuhan karnivor hidup melata terutama di tanah tinggi
  • Biasanya tumbuh di tanah berasid, tidak subur, kurang nitrogen
  • Pokok maging memerangkap serangga dalam periuknya
  • Serangga untuk membekalkan sebahagian daripada nitrogen diperlukan
  • Bermula sebagai pokok rosette, matang sebagai pokok memanjat bersulur paut (tendril climbers)
Berita Harian X