Ahad, 17 Jun 2018 | 8:06pm
MASJID Terapung yang dibina di atas permukaan Tasik dekat Lagoon Kuala Ibai bukan sahaja dijadikan sebagai tempat beribadah malah popular sebagai pusat pelancongan. - Foto Aslina Abu Bakar
KEADAAN cuaca yang cerah dan berawan di sekitar Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali dengan nama Masjid Terapung , Kuala Ibai. - Foto Rozainah Zakarias

Lagun Kuala Ibai yang menggamit kenangan

SERING kali pengunjung ke Kuala Terengganu, Terengganu rata-rata di antara mereka terlepas pandang atau tidak mengetahui ada lokasi menarik, yang terletak kira-kira dua kilometer dari ibu negeri Penyu berkenaan.

Lagun Kuala Ibai mungkin jarang dikenali ramai, tetapi apabila ditanya Masjid Tengku Tengah Zaharah semua mengetahui keunikan masjid seperti terapung pembinaannya.

Kawasan itu terbentuk ketika kerja-kerja pembinaan masjid berkenaan bermula pada 1991 dan menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan di Terengganu.

Mungkin namanya tidak terkenal seperti pantai Batu Buruk (Kuala Terengganu), Teluk Ketapang (Mengabang Telipot), Pandak (Cendering), Bukit Keluang dan Air Tawar (Besut), Rhu Sepuloh/Penarik dan Kelulut (Marang), Teluk Lipat dan Teluk Gadong (Dungun),Teluk Bidara (Tanjung Jara) serta Teluk Mak Nik @ Monica Bay (Kemaman) menyebabkan ia kurang mendapat perhatian.

Namun, sebaik sahaja masjid terapung ini siap pada 1994, kawasan tebing sungai dan hutan paya di sekitarnya, membentuk lagun yang indah.

Selain turut membentuk landskap kawasan taman rekreasi menarik dan terkini wujud pula kawasan hotel dan pusat aktiviti berkuda serta bowling.

Boleh mandi-manda

Terletak kira-kira lima kilometer dari bandar Kuala Terengganu, Lagun Kuala Ibai kini menjadi tempat paling tenang untuk beristirehat bersama keluarga dan melakukan aktiviti air.

Pengunjung boleh bermandi-manda kerana airnya agak tenang, tetapi tidak dibenarkan memasuki air laut pada jarak yang jauh daripada pantai dan air pasang kerana dikhuatiri terdapat arus menarik.

Selain boleh mengadakan majlis kecil-kecilan di laman lagun berkenaan, sambil beriadah.

Jika bernasib baik, pengunjung boleh menikmati pemandangan indah matahari naik di sebelah bagi. Manakala petang pula, melihat balikan cahaya matahari menurun di sebelah barat.

Tidak hairan di sebelah petang, penduduk tempatan mengunjungi lagun ini untuk melihat bayangan cahaya matahari bagaikan kilauan emas.

Deretan kedai keropok lekor

Bagi peminat keropok lekor, deretan kedai di sepanjang Jalan Batu Burok pasti membuatkan mereka tidak menang tangan untuk merasainya.

Pengunjung yang ingin bercuti banyak homestay, chalet dan hotel di sekitarnya menawarkan harga serendah RM50 sehingga RM230 semalam.

Bagi penggemar ikan bakar, sotong goreng tepung dan makanan laut, di sini tempatnya kerana hasil laut yang segar menjaminkan keenakan rasanya.

Untuk ke sini, orang ramai boleh melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) atau jalan pantai Kuantan - Kuala Terengganu.

Bagi pencinta alam sekitar, anda dinasihatkan melalui jalan pantai kerana banyak pemandangan menarik dapat dilihat sebelum sampai ke Kuala Ibai.

Berita Harian X