Ahad, 14 Oktober 2018 | 12:10pm
PENYELAM skuba ‘menjinakkan jerung ganas di Aquaria KLCC. - Nurul Syazana Rose Razman
PENYELAM skuba ‘menjinakkan jerung ganas di Aquaria KLCC. - Nurul Syazana Rose Razman

Jerung jinak dalam akuarium gergasi

Oleh Zubir Mohd Yunus

[email protected]

Berenang, menyelam dan memberi makan ikan jerung yang mampu membaham manusia. Bunyinya pelik.

Tetapi, semua itu mampu direalisasikan apabila menerokai akuarium terbesar yang terletak di bandar raya Kuala Lumpur, di Aquaria KLCC.

Boleh dilihat penyelam skuba ‘menjinakkan’ empat ekor jerung ganas dan sangat ekstrem, jangan risau dan dijamin selamat.

Bagi pengunjung berjiwa kental, selain memiliki lesen selam skuba, mereka boleh menyertai program menyelam bersama jerung dan memberinya makan, dinamakan dive with shark.

PEMANDANGAN dalam akuarium gergerasi - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PEMANDANGAN dalam akuarium gergerasi - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Penulis memiliki lesen selam skuba, tetapi masih belum tergamak menggadai keberanian menyelam bersama jerung harimau yang sangat agresif terhadap manusia itu.

Pengunjung juga boleh mencabar keberanian dengan berenang bersama jerung, tetapi berada di dalam sangkar besi.

Aktiviti berkenaan dinamakan cage rage. Tidak terlalu ekstrem, namun penulis menolak pelawaan daripada jurulatih turun bersamanya ke akuarium masuk ke dalam sangkar. Jantung tetap berdegup kencang melihat gigi jerung.

Melihat jerung yang terdapat di akuarium ini pasti teruja. Malah pengunjung ada kalanya melihat bagaimana ikan paling digeruni itu membaham ikan kecil seperti tilapia dan rohu.

Jerung daripada spesies sand tiger shark hanya makan tiga kali seminggu.

 PENGUNJUNG pasti berpuas hati melihat secara dekat pelbagai spesis ikan di AQuaria KLCC. Foto Nurul Syazana Rose Razma
PENGUNJUNG pasti berpuas hati melihat secara dekat pelbagai spesis ikan di AQuaria KLCC. Foto Nurul Syazana Rose Razma

Fakta menarik mengenainya, jerung berkenaan hanya makan dua peratus sahaja daripada berat badannya.

Justeru, sepanjang pemerhatian, jerung berkenaan tidak bergaduh sesama mereka berebut makanan yang diberikan penyelam.

Ada sesetengah jerung langsung tidak mempedulikan makanan yang disaji di depan mata.

Di sini juga jangan lepaskan peluang menyaksikan ikan piranha meratah makanannya. Purata jangka hayat piranha sekitar 25 tahun.

Piranha dewasa berupaya menghabiskan makanannya dalam tempoh 60 saat sahaja.

Justeru, sebaik umpan diturunkan ke dalam kolam, pengunjung terus berpusu-pusu di depan akuarium untuk melihat piranha makan di depan mata mereka, bukan lagi menonton di televisyen.

IKAN Piranha di Aquaria KLCC antara yang menarik untuk diketahui habitatnya.- Foto Nurul Syazana Rose Razman
IKAN Piranha di Aquaria KLCC antara yang menarik untuk diketahui habitatnya.- Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ketua piranha atau ikan dominan lazimnya akan makan dulu umpan berkenaan. Selepas memastikan makanan itu selamat dan tidak mendatangkan bahaya atau memudaratkan, barulah piranha yang lain makan.

Piranha sangat sensitif dengan bau darah. Giginya pula amat tajam hingga mampu mencederakan jari manusia hanya dengan satu gigitan. Tingkah lakunya juga sangat berbahaya.

Pengunjung pasti terpesona melihat pelbagai spesies ikan berenang dalam tangki silinder ditempatkan di tepi tangga ruang pameran.

Menariknya, tangki silinder ini dibina berdasarkan habitat sebenar Tasik Kenyir iaitu tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara berkeluasan 260,000 hektar.

Hampir semua spesies ikan yang terdapat di Tasik Kenyir, ditempatkan dalam tangki silinder.

Mamalia semi akuatik seperti memerang memiliki adaptasi khas seperti bulu yang lebat dan bentuk badannya padat.

Habitat memerang adalah tasik dan sungai. Fakta menarik mengenai memerang, mamalia itu adalah spesies kedua paling bijak selepas ikan lumba-lumba.

Justeru, akuarium memerang dipenuhi pengunjung cilik untuk melihatnya bermain bola dan bersalaman dengan jurulatihnya.

PEMANDANGAN dalam akuarium gergerasi - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PEMANDANGAN dalam akuarium gergerasi - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Fakta nombor

* 5,000 spesies

hidupan marin dipamerkan

* 18,182 meter persegi

keluasan ruang pameran

* 90 meter

panjang akuarium

berbentuk U dikenali Living Ocean

* RM46

bayaran masuk dewasa

(pemegang MyKad)

Info

Aquaria KLCC

* Terletak di Kompleks Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur City Centre, Kuala Lumpur

* Akuarium bertaraf antarabangsa

* Mempamerkan pelbagai hidupan marin dan haiwan semi akuatik dari Malaysia serta seluruh dunia dalam habitat buatan

* Akuarium menyimpan empat ekor jerung spesies sand tiger shark

* Didatangkan dari Afrika Selatan dan berpotensi menyerang manusia

* Jerung di akuarium lazimnya diberi makan ikan kecil seperti tilapia dan rohu

* Piranha spesies red-bellied dan sejenis ikan air tawar yang mendiami sungai di Amerika Selatan terutama perairan Amazon

Berita Harian X