Sabtu, 17 November 2018 | 8:01pm
KEPUASAN terserlah pada wajah peserta sebaik selesai melakukan terjunan BASE dari ketinggian 300 meter. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PELBAGAI aksi ditunjukkan peserta ketika melakukan terjunan BASE ketika menyertai KL Tower International Jump Malaysia 2018. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Terjun menara, cabar maut

• TERJUN dari puncak menara pada ketinggian 300 meter dengan tempoh beberapa saat sahaja untuk membuka payung terjun sebelum mendarat, ibarat menentukan saat hidup atau mati.

• Tidak hairanlah aksi berbahaya terjun pada altitud rendah itu sinonim digelar mencabar maut, sekali gus memberi kepuasan kepada penggemar sukan ekstrem terjunan BASE.

• Terjunan BASE membabitkan penggunaan payung terjun untuk melakukan lompatan pada ketinggian tertentu

• Lesen atau kebenaran diperlukan untuk melakukan terjunan ini

• BASE dibentuk akronim empat kategori atau objek tetap yang menjadi pilihan melakukan terjunan iaitu ‘building’ (bangunan), ‘antenna’ (antena), ‘span’ (jambatan) dan ‘earth’ (tebing tinggi).


AKSI selamba ditunjukkan peserta ketika melakukan terjunan BASE, seolah-olah mencabar maut. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din


PEMANDANGAN menarik sempat dirakam ketika peserta KL Tower International Jump Malaysia 2018 melewati Menara KL. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Hati kering serta tidak gentar akan maut yang mungkin menunggu, itu antara kriteria dimiliki peminat sukan ekstrem terjunan BASE yang terbukti memiliki jiwa cukup kental.

Walaupun menyedari risiko tinggi aktiviti itu, rata-rata penerjun tidak sedikit pun goyah, malah dilihat berseronok menghayati saat melakukan terjunan seolah-olah tiada sekelumit pun rasa bimbang dalam hati masing-masing.

Itu pengalaman dilihat sendiri penulis ketika menyaksikan 140 peserta melakukan lompatan dari tebing Sky Deck di Menara Kuala Lumpur (KL), yang memiliki ketinggian 300 meter, sebelum mendarat sempurna di lapangan terbuka berdekatan menara.

Selamba dan tidak sedikit pun riak gentar kelihatan pada raut wajah mereka, sebaliknya masing-masing begitu teruja melakukan aktiviti ekstrem itu seolah-olah hanya terjun dari atas katil ke bawah sahaja.

Menara KL menjadi pilihan penerjun BASE dari seluruh dunia apabila tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai platform terjunan BASE tertinggi di Malaysia.

Kehadiran 140 penerjun itu pada 1 Oktober lalu, bersempena penganjuran kali ke-18 ulang tahun Menara KL, malah sokongan serta penyertaan memberangsangkan daripada peminat sukan ekstrem itu menjadikan terjunan BASE di menara telekomunikasi itu diangkat sebagai acara tahunan


PELBAGAI aksi ditunjukkan peserta ketika melakukan terjunan BASE ketika menyertai KL Tower International Jump Malaysia 2018. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din


PENERJUN mempunyai beberapa saat sahaja selepas melakukan terjunan untuk membuka payung sebelum mendarat. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Destinasi pilihan sukan ekstrem

Penganjuran di Menara KL itu menawarkan kepada peminat sukan terjunan BASE dari seluruh dunia untuk melakukan lompatan, sekali gus meletakkan Malaysia dalam peta pelancongan antarabangsa sebagai destinasi pilihan acara sukan ekstrem.

Bagaimanapun hanya mereka yang mempunyai lesen, kemahiran dan pengalaman sahaja dibenar melakukan lompatan dari Sky Deck mengambil kira risiko sukan itu yang amat tinggi.

Penerjun BASE hanya mempunyai beberapa saat untuk menarik tali payung terjun sejurus ‘berlepas’ dari landasan terjunan dengan mengharapkan kederasan angin, payung terjun kembang sempurna, mendarat selamat, sekali gus memperoleh kepuasan.

Selain Malaysia, peserta lain termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Austria, Ireland, England, Belanda, Perancis, Australia, Mexico, Belgium, Portugal, Switzerland, Brazil, Finland, Denmark dan Jepun.

Pelancong turut diberi peluang menyaksikan aksi penerjun menerusi Sky Deck dengan berlatarbelakangkan panorama bandar raya KL, khususnya Menara Berkembar PETRONAS (KLCC), seolah-olah jaraknya hanya sejengkal sahaja daripada badan peserta.


PELBAGAI aksi ditunjukkan peserta ketika melakukan terjunan BASE ketika menyertai KL Tower International Jump Malaysia 2018. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din


PENONTON turut berpeluang menyaksikan secara dekat aksi terjunan berisiko dari Sky Deck Menara KL yang memiliki ketinggian 300 meter. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pengalaman 1,300 kali terjun

Peserta tempatan, Haziq Azlan, 30, mengakui tidak mampu menyembunyikan perasaan takut setiap kali berada di landasan terjunan, walaupun berpengalaman melakukan 1,300 kali atau ‘skydiving’ (terjun udara) atau terjun payung dari pesawat dan 330 terjunan BASE.

Beliau yang menyertai 140 penerjun yang merebut peluang melakukan terjunan dari Sky Deck Menara KL itu bagaimanapun berjaya ‘melupuskan’ ketakutan dalam dirinya berteraskan beberapa faktor.

“Saya jadi berani sebab pakai payung terjun, selain status kelengkapan itu yang terbukti selamat kerana dibeli dari syarikat yang diiktiraf kualitinya. Malah setiap kali melakukan terjunan, saya sendiri yang akan melipat atau menggulung payung terjun berkenaan untuk memperoleh keyakinan diri.

“Faktor agama juga tidak diketepikan terutama dalam memastikan diri sentiasa tenang. Saya akan pastikan jika masuk waktu solat, saya sembahyang dulu, baru terjun. Ia membuatkan kita bertambah tenang dan yakin.

“Selepas terjun, masuk saat keenam atau lebih dikenali ‘free fall time’, saya tarik tali payung terjun dan InsyaAllah saya akan mendarat selamat dengan izin Tuhan.” katanya.


PELBAGAI aksi ditunjukkan peserta ketika melakukan terjunan BASE ketika menyertai KL Tower International Jump Malaysia 2018. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din


PENERJUN biasanya melipat sendiri payung masing-masing sebagai jaminan keyakinan terhadap aspek keselamatan peralatan. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bukan mahu tunjuk hebat

Haziq berkata, aktiviti terjunan BASE yang membabitkan altitud terjunan rendah sebenarnya lebih ekstrem berbanding terjunan udara, didorong beberapa faktor.

“Selain altitud lompatan yang rendah, kewujudan objek di sekeliling turut mencetus risiko. Status penerjun yang dibekalkan satu payung terjun tanpa payung gantian juga berisiko sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Katanya, bagi melayakkan individu melakukan terjunan BASE, peserta wajib mempunyai lesen dari Persatuan Payung Terjun Amerika Syarikat (USPA) dan sekurang-kurangnya berpengalaman melakukan terjunan udara dari pesawat sebanyak 200 kali.

“Bagi saya, berjaya melakukan terjunan BASE bukan bertujuan menunjukkan kehebatan kepada peserta lain, sebaliknya kepuasan untuk diri sendiri.

“Kami tidak menghiraukan pemandangan sekeliling apabila terapung di awangan, yang penting berpeluang untuk terjun. Itu antara matlamat sukan ekstrem ini,” katanya yang bertugas sebagai jurulatih sukan payung terjun.

Beliau yang pernah melakukan terjunan BASE di Sibu di Sarawak selain Batu Caves di Selangor dan Krabi di Thailand, mengakui selagi diberi keizinan dan tubuh sihat akan meneruskan aktiviti itu.


PEMANDANGAN menarik sempat dirakam ketika peserta KL Tower International Jump Malaysia 2018 melewati Menara KL. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

INFO:

KL Tower International Jump Malaysia 2018

• 300 meter - ketinggian Sky Deck dari paras bumi

• 22 tahun usia Menara KL

• 140 penerjun BASE terbabit

• Peserta mewakili 20 negara

• Menara KL adalah menara telekomunikasi ketujuh tertinggi dunia

• 421 meter - ketinggian Menara KL dari paras bumi

Berita Harian X