Selasa, 19 March 2019 | 8:34am
PELANCONG sanggup mencari keseronokan dengan ‘bersemuka’ dengan buaya tembaga gergasi dalam sangkar kecil dan hanya dipisahkan plastik nipis sebagai perlindungan.
PELANCONG sanggup mencari keseronokan dengan ‘bersemuka’ dengan buaya tembaga gergasi dalam sangkar kecil dan hanya dipisahkan plastik nipis sebagai perlindungan.

Sangkar maut

BERGAMBAR dan menyaksikan ribuan buaya beraksi di Taman Buaya Langkawi, adalah suatu perkara lazim dalam kalangan pelancong yang bertandang ke Pulau Mahsuri.

Melihat petugas memberi buaya makan, selain jurulatih profesional meletakkan kepala dalam mulut sang bedal, juga dianggap perkara biasa kerana ia menjadi rutin harian untuk dipersembahkan kepada pengunjung setiap hari.

Namun, pemandangan pelancong ‘berani mati’ yang sanggup diletakkan dalam sangkar kecil di dalam air, sambil menyaksikan buaya tembaga bersaiz gergasi berenang di sisi.

Sekali sang bedal itu mengangakan mulutnya seolah-olah ingin membaham mangsa di dalam sangkar berkenaan, adalah sesuatu yang luar biasa dan bukan semua orang berhati kering sanggup beraksi seperti mereka.

Pelancong yang rata-ratanya warga asing sanggup mencari keseronokan dengan membahayakan diri sendiri apabila rela ‘bersemuka’ dengan buaya tembaga gergasi dalam sangkar kecil dan hanya dipisahkan plastik nipis sebagai perlindungan.

Sekiranya pelancong itu tidak bernasib baik, sangkar berkenaan pecah terkena libasan ekor buaya, mati katak jawabnya.

Pastinya pemandangan sama dapat disaksikan di Darwin Australia, dikenali sebagai Cage of Death atau sangkat maut, antara lokasi tumpuan pelancong yang berkunjung ke negara berkenaan.

Pelancong berjiwa kental akan berada di atas tebing sangkar untuk melihat semua buaya berkumpul sebelum diturunkan ke dalam kolam yang dipenuhi puluhan sang buaya gergasi.

Pada masa sama, pelatih buaya memberi makanan kepada reptilia itu untuk mereka berkumpul di dalam air apabila pengunjung berpeluang menyaksikan daripada dekat, sang buaya yang hanya sejengkal sahaja jaraknya bersebelahan sangkar dan pelindung plastik.

Adakah anda berani meniru aksi berbahaya pelancong berkenaan?

CAGE of Death atau sangkat maut antara lokasi tumpuan pelancong.
CAGE of Death atau sangkat maut antara lokasi tumpuan pelancong.

Buaya tembaga gergasi itu diberi makan bangkai ayam, daging lembu dan ikan sebagai umpan agar reptilia ganas itu sentiasa mengelilingi sangkar.

Pengunjung pasti cemas melihat buaya berkenaan dengan rakus menyambar habuan di depan mata.

Jantung pasti berdegup kencang melihat aksi rakus buaya gergasi mematahkan tulang ayam, lalu membaham masuk ke dalam mulutnya yang ternganga luas. Pelancong pula hanya berada tidak sampai semeter daripada buaya lapar yang sedang menjamah makanannya.

Deria bau buaya sangat sensitif kepada manusia. Andai kata terhidu bau manusia di dalam sangkar kecil bersebelahannya, mungkin reptilia berdarah sejuk itu beranggapan pelancong berkenaan adalah sebahagian daripada sajiannya. Sanggupkah anda berada di dalam Cage of Death?

“Ia pengalaman yang sangat hebat! Apabila saya masuk ke dalam sangkar buaya dan berada di dalam air, saya tidak menjangka, ia memberi pengalaman di luar jangkaan, ia amat menakjubkan apabila buaya bersaiz begitu besar, berada betul-betul bersebelahan saya.

“Walaupun perlu berbelanja besar, tapi ia amat berbaloi,” kata pelancong dari Jerman, Nellie Winters.

Cage of Death dikendalikan oleh Crocosaurus Cove yang memiliki tujuh ekor buaya tembaga termasuk satu pasangan yang membiak bersama dinamakan William dan Kate.

Namun, ada dua buaya paling berbahaya dan menakutkan di sini, dikenali pasangan Chopper dan Axel.

Destinasi ini berjaya menarik pelancong dari serata dunia sejak beroperasi pada 2011. Crocosaurus Cove juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mandi-manda bersama anak buaya dan memberi mereka makan menggunakan joran.

FAKTA NOMBOR

• 5 meter - panjang buaya tembaga
• RM574 - bayaran seorang untuk ‘bersemuka’ dengan buaya.

Berita Harian X