Ahad, 23 Jun 2019 | 11:00am
AKTIVITI luncur udara di Bukit Maras,Terengganu. - Foto Aswadi Alias

Pesona Bukit Maras dari udara

Ramai yang gemar menyertai aktiviti pelbagai lasak termasuk menyertai sukan luncur udara atau ‘paragliding’.

Antara lokasi menarik untuk aktiviti itu adalah di Bukit Maras, Kuala Terengganu yang menjanjikan pengalaman menakjubkan pada ketinggian 329 meter dari paras laut itu. Lantas ia menjadi tarikan baharu pelancong yang bercuti di negeri pantai timur.

Peluncur udara dan pengunjung Bukit Maras berpeluang menyaksikan pemandangan sawah padi dan jajaran pantai sekitar Batu Rakit membabitkan dua daerah di Kuala Terengganu ke Kuala Nerus.

Sekiranya cuaca baik, pemandangan dari bukit itu lebih menarik kerana berpeluang melihat keunikan bentuk beberapa pulau popular iaitu Pulau Kapas, Pulau Bidung dan Pulau Redang di depan mata.

Setiausaha Persatuan Luncur Udara Terengganu (PLUT), Anuar Ngah, berkata aktiviti luncur udara ini memang menyeronokkan kerana dapat melihat pemandangan alam dari sudut berbeza.

Namun, melakukan aktiviti luncur angin ini perlu ada keyakinan dan keberanian terhadap ketinggian.


PENERJUN perlu bermain dengan angin dan mengawal payung sebelum mendarat di atas padang di kaki bukit. - Foto Aswadi Alias

Apa yang mencabar ialah penerjun perlu bermain dengan angin dan mengawal payung sebelum mendarat di atas padang di kaki bukit.

“Angin yang kuat membantu menerbangkan payung tetapi jika kekurangan angin, payung tidak dapat berkembang dengan baik sekali gus penerjun boleh jatuh.

“Penerjunan dengan kelengkapan seberat 10 kilogram hanya mengambil masa 15 hingga 20 minit bergantung kepada kelajuan angin. Ketika itu, penerjun yang boleh menjadi penumpang atau dipanggil tandem boleh membuang rasa takut kepada ketinggian,” katanya.


AKTIVITI luncur udara memang menyeronokkan kerana dapat melihat pemandangan alam dari sudut berbeza. - Foto Aswadi Alias

Indah dari puncak

Beliau yang ditemui ketika Ekspresi Media Kenyir 2017 anjuran Tourism Malaysia ke Bukit Maras, baru-baru ini, berkata bukit berkenaan diterokai PLUT dua tahun lalu dan dibuka kepada orang awam untuk aktiviti mendaki dan berkhemah di puncaknya.

Bukit itu dimajukan sebagai pusat rekreasi dan taman pertanian dengan faktor lokasi di jaluran utama bukit yang terdapat di Daerah Kuala Nerus.

Keunikan dan keindahan dilihat dari puncak memang sesuai dijadikan kawasan riadah dan ekstrim meluncur sekali gus ia dijadikan lokasi paragliding dan salah satu produk pelancongan negeri.

Sebelum menuju ke puncak bukit untuk melakukan aktiviti ekstrim, terlebih dulu, pengunjung perlu meredah laluan tanah merah yang berlubang-lubang dan berliku sejauh sejauh 2.3 kilometer (km).


PENGUNJUNG perlu meredah laluan tanah merah yang berlubang-lubang dan berliku sejauh sejauh 2.3 kilometer (km) menuju ke puncak Bukit Maras. - Foto Aswadi Alias

Perjalanan mencabar

Penulis yang mengikuti pengembaraan rasa bagai dilambung ombak, dan sebilangan rombongan kami menjerit kerana kenderaan berkenaan merentasi cerun tinggi dengan kecuraman kira-kira 45 hingga 50 darjah.

Jawatankuasa Hiking Maras Committee (HMC) PLUT, Muhd Rushdi Samsudin, mengakui perjalanan menaiki puncak bukit selama 15 minit memang mencabar.

Namun, ia tidak mungkin berjaya tanpa kepakaran pemandu pacuan empat roda dari Persatuan Terjoh 4x4 Kuala Terengganu.

Selain aktiviti sukan paragliding, pengunjung Bukit Maras boleh berehat santai, malah boleh memilih untuk berkhemah ataupun tidur di dalam hammock dalam suasana yang nyaman.

Kedatangan pengunjung ke sini antara 500 hingga 1,500 orang yang mengikuti pendakian dan berkhemah pada waktu malam.

“Mereka teruja dan pastinya memberikan 1001 kenangan manis termasuk pengalaman bermalam di sini dan menyaksikan matahari terbit.

“Keindahan melihat sinaran matahari terbenam dari Batu Biruk yang terletak di bahagian belakang bukit juga memberikan kenangan manis yang sukar dilupakan,” katanya.

Pengunjung tidak perlu takut jika berlapar kerana terdapat gerai kecil yang menyediakan makanan dan minuman untuk pendaki terutama buah tembikai segar yang ditanam penduduk kampung.

Peserta Ekspresi Media Kenyir 2019 yang mengikuti kunjungan itu bagaimanapun dijamu pelbagai sajian kuih muih tradisional enak seperti keropok lekor, pulut tebu, lepat ubi, sata, otak otak selain air kelapa dan tembikai sebagai santapan petang.


PESERTA media bergambar kenangan di atas Bukit Maras. - Foto Aswadi Alias

INFO:

Bukit Maras

* Terletak di daerah Kuala Nerus dengan jarak 20 kilometer (km) dari pusat bandar KT

* Jarak 8 km dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud

* Ketinggian 329 meter dari paras laut

* Harga promosi paragliding : RM150

* Untuk menjadi penumpang atau dipanggil tandom.

* Peserta perlu mengisi isi borang pelepasan dan keberanian untuk terbang

* Penerjun perlu memakai kasut

* Kawasan puncak bukit yang selesa boleh berkhemah sehingga 500 hingga 1,500 orang pada satu masa.

* Kerjasama ditubuhkan antara Hiking Maras Committee (HMC), Jawatankuasa Penaja Pengurusan Kelestarian (JPKL) BUkit Maras yang menggabungkan penggiat rekreasi sukan mendaki dan komuniti setempat bagi menguruskan kehadiran pengunjung awam.

* Antara aktiviti utama : -

- Puncak bukit : pendakian, perkhemahan, night walk dan paragliding

- Trek denai : mendaki melalui trek denai merentasi dusun buah-buahan, pancur dan kawasan ekosistem gua kelawar

- kaki bukit : perniagaan oleh penduduk kampung

* aktiviti rekreasi yang diadakan antaranya Tandem Paragliding Kabak Bukit Maras,Merdeka Nighyhike, Terengganu Virtual Hills Challange , Monsoon Hike & Camping dan Terengganu Nature Talk.

439 dibaca
Berita Harian X