Ahad, 30 Jun 2019 | 11:39am
BANGUNAN lama kekal ciri istimewa desa di Cotswolds. - Foto BH, ihsan BERNAS

Nyaman di desa Cotswolds

PERUBAHAN jadual penerbangan yang sudah dirancang pada akhir Mac kepada 2 April lalu, membawa kami mengembara ke perkampungan Inggeris terbesar di England yang menjadi tempat kedua tumpuan pelancong di dunia, iaitu Cotswolds meninggalkan kenangan manis.

Perancangan awal ke Belanda untuk menikmati keindahan taman bunga Kuekenhof dibatalkan saat akhir kerana masalah penginapan, membawa kami menjelajah Cotswolds di bumi England pada musim bunga, baru-baru ini.

Penulis bersama 30 peserta rombongan berpeluang menjelajah Cotswolds merangkumi enam daerah, iaitu Gloucestershire, Oxfordshire, Wiltshire, Somerset, Worcestershire dan Warwickshire.


MENGAMBIL peluang berada di bandar akademik ini, kami melawat Oxcis ataupun Oxford Centre for Islamic Studies. - Foto ihsan BERNAS


PENULIS abadi kenangan di bandar Cotswolds. - Foto ihsan BERNAS


ALIRAN jernih sungai segarkan persekitaran. - Foto ihsan BERNAS

Perjalanan satu kumpulan yang agak ramai terdiri daripada kakitangan dan mahasiswa program pengajian lepasan ijazah Fakulti Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), begitu meriah sepanjang pengembaraan. Masing-masing teruja menyaksikan keadaan geografi begitu indah.

Bentuk muka bumi dengan bukit-bukit kecil di sepanjang 145 kilometer (km) dan diselangi aliran sungai kecil di seluruh kawasan yang menjadi lokasi kedua paling ramai pengunjung selepas London.

Pemandangan hebat memaparkan perkampungan tradisional Inggeris indah lagi nyaman. Jumlah populasi sekitar 90,000 dan kebanyakannya masih aktif dengan aktiviti pertanian dan penternakan biri-biri, selain perusahaan ladang rumput ternakan atau pastura.

Tempat ini terkenal sekitar abad ke-13 sehingga ke-15 dengan penternakan biri-biri yang menghasilkan bulu tebal dan berkualiti. Bagi masyarakat di England bulu biri-biri Cotswolds adalah yang terbaik serta bermutu tinggi.

Hasil pendapatan perniagaan bulu biri-biri memberi peluang penduduk setempat menikmati kehidupan lebih selesa. Keselesaan itu diterjemahkan menerusi pembinaan rumah mewah dan gereja yang menjadi sebahagian daripada seni binaan indah di sini.

Pada masa ini Cotswolds menduduki tempat kedua tumpuan pelancong selepas London.

Kembara bermula pada awal pagi ke daerah Oxford juga dikenali sebagai pusat akademia. Penempatan di kawasan ini masih kekal bercirikan zaman pertengahan Saxon dengan penggunaan batu asas Cotswolds, iaitu limestone atau batu kapur.

Singgah di Corner of Ship Street penuh dengan deretan kedai buku, cenderamata dan kedai makan. Mengambil peluang berada di bandar akademik ini, melawat Oxcis ataupun Oxford Centre for Islamic Studies.

Perjalanan diteruskan dengan meneroka Bourton-in-the-Water, dikenali sebagai Venice Cotswolds di kampung Bourton-in-the-Water. Asyik menikmati aliran deras Sungai Windrush di tengah kampung ini menjadi tempat tumpuan jurufoto kerana keunikannya diselangi dengan jambatan kukuh hasil buatan daripada batu kapur Cotswolds yang asli.

Menarik di sini ialah muzium motor yang mempamerkan kereta daripada jenama Jaguar, Land Rover dan Austin, serta himpunan motosikal berjenama England.

Selain deretan kedai unik seperti Cotswolds Distillery, Woollen Mill, Waterfront Tea Room, The Looking Glass Antiques, The Costwolds Perfumes dan The Crafts turut menjadi tumpuan pengunjung hotel penginapan sentiasa penuh dengan tetamu seluruh dunia.

Menyusuri sungai Windrush sepanjang hampir dua kilometer di kampung ini memberikan udara yang nyaman dengan suhu sekitar 10 hingga 14 darjah celcius. Suhu sejuk ini benar-benar mewujudkan rasa lapar kami, dan singgah di kafe Bakery on the Water menghirup kopi dan juga skon England.

Kami bertolak ke tempat penginapan sebelum meneruskan kembara ke Stow-on-the-Wold, Gloucestershire.

Pekan kecil Stow-on-the-Wold, terletak di bahagian tengah Cotswolds di Gloucestershire, terkenal dengan minuman teh atau kopi bersama dengan roti Inggeris. Menyusuri jalan Digbeth atau ‘Duck Bath’.

Sebahagian besar bangunan di pekan kecil ini dibina daripada batu kapur Cotswolds berwarna kelabu kekuningan dan kekukuhannya seperti piramid di Mesir.

Selain terdapat deretan kedai teh dan kopi, pekan ini juga terkenal dengan bahan kraftangan yang sangat halus buatannya terutama pakaian, perkakasan dapur dan juga kelengkapan bilik tidur dengan rekaan tema Inggeris.

Kembara kami diteruskan ke bahagian utara Cotswolds dan yang paling terkenal, iaitu Stratford upon Avon di Warwickshire. Kawasan ini dikaitkan dengan tempat kelahiran William Shakespeare serta tempat tinggal keluarganya.

Terdapat lima bangunan yang masih kukuh dan dijaga sempurna kerajaan England. Antaranya Hall’s Croft dan Nash House yang juga tempat tinggal anak perempuan dan cucu Shakespeare.

Di kawasan sama juga terletaknya kediaman ibu Shakespeare iaitu Mary Arden House dan Anne Hathaway Cottage, rumah isteri Shakespeare. Semua rumah ini berusia lebih 400 tahun dan masih dibuka kepada pelancong dan dikenakan bayaran antara tiga hingga 10 pound (RM15 hingga RM50)

Stratford upon Avon menyediakan lebih 140 kedai terdiri daripada kedai buku dan sebahagian besar buku ialah buku hasil tulisan serta sejarah mengenai Shakespeare.

Antaranya ialah Macbeth, Romeo and Juliet, A Midsummer Night's Dream, Antony and Cleopatra, The Winter's Tale dan sebagainya di kedai buku Shakespeare. Di sini juga terdapat dewan teater Royal Shakespeare yang digunakan untuk persembahan teater terutamanya hasil karya Shakespeare.

Selain kedai buku, ada banyak kedai cenderamata yang popular di sini, iaitu kedai biskut mentega shortbread. Sebagai lanjutan kepada perkampungan tradisional Inggeris Cotswolds, di bahagian hujung jalan Henley terdapat sungai Avon yang menyediakan khidmat mendayung perahu.

Secara purata dalam setahun sejumlah dua hingga tiga juta pelancong mengunjungi Cotswolds, kelebihan empat musim di England menyumbang kepada keunikan Cotswolds.

Perubahan musim sejuk, musim bunga, musim panas dan musim luruh memberikan tarikan berbeza kepada pengunjung dan Cotswolds menerima pengunjung paling ramai dalam musim bunga dan musim luruh.

Mengambil peluang atas kelebihan ini untuk menikmati anugerah keindahan bumi ciptaan Allah yang sangat mengagumkan Cotswolds, perkampungan Inggeris yang dijaga rapi oleh komuniti setempat, bersih, indah dan nyaman.

Fakta Cotswolds

* Terletak 160 kilometer dari kota kosmopolitan London

* Keluasan hampir 40 kilometer (km) lebar dan 145 km panjang.

Lokasi tumpuan

* Ladang lavender Cotswolds

* Taman aboretum Westonbirt

* Spa dan pusat dandanan diri SPA Thermae

* Istana istana Sudeley, dan ladang anggur Woodchester.

240 dibaca
Berita Harian X