Ahad, 7 Julai 2019 | 10:00am
Penulis dan rakan bergambar kenangan di tanda batu di puncak Hallasan. - NSTP/Abdul Razak Raaff
Pendaki dapat menikmati pemandangan seperti di alam fantasi jika mendaki musim sejuk. - NSTP/Abdul Razak Raaff

Panorama persis alam fantasi

Umpama poskad. Itu gambaran boleh saya serta empat lagi rakan ungkapkan sepanjang pendakian menuju puncak Gunung Halla atau biasanya dipanggil Hallasan.

San bermaksud gunung dalam bahasa Korea dengan dahan dan ranting pokok pain dilitupi salji dan langit membiru memberi pemandangan menakjubkan.

Menelusuri laluan jejak (trail) berbatu, tangga kayu dengan kiri dan kanan didambakan pemandangan pergunungan memutih, kehijauan pokok disaluti salji dan ais serta pelbagai formasi batuan mewujudkan suasana mendamaikan dan tenang persis di alam fantasi.

Momen unik dan berharga itu sering menjadi dambaan pendaki ke Hallasan, namun keadaan mikro cuaca di pergunungan tertinggi di Korea Selatan itu yang membawa angin kuat dan hujan menjadikan ia berlaku dalam masa singkat.

Nasib menyebelahi kami kerana dapat menikmati momen itu. Hallasan adalah antara ikon pelancongan Korea Selatan dan mendaki Hallasan pada musim sejuk perlu ada dalam senarai komuniti pendaki.

Di sini menyajikan pemandangan unik dan istimewa, selain dapat rasai pengalaman mendaki dan menuruni laluan dilitupi ais serta perubahan cuaca drastik.

"Bukan senang mahu dapat momen macam ni...nasib kita beruntung kerana cuaca baik, tiada hujan walaupun angin kuat. Memang rezeki dapat menikmati pemandangan cantik sebegini...tiada gambar seindah lukisan," kata rakan pendaki, Azri Che Mukhtar dan Mohd Faizol Abdul Aziz sambil masing-masing merakam pelbagai gambar menerusi kamera dan telefon.


Mendaki Hallasan pada musim sejuk memberi pengalaman berbeza yang menarik kepada pendaki. - NSTP/Abdul Razak Raaff

Langit biru dan pemandangan pergunungan memutih umpama dalam poskad. - NSTP/Abdul Razak Raaff

Kami berlima memulakan pendakian kira-kira jam 6.30 pagi waktu tempatan di pintu rimba menerusi Gwaneumsa trail sejauh 8.7 kilometer (km) di bahagian utara Hallasan National Park.

Laluan jejak itu lebih curam dan perlu menaiki tangga tinggi dan mengharungi dua jambatan berbanding laluan lain iaitu Seongpanak trail (9.6 km) di timur, Eorimok trail (barat laut) dan Yeongsil trail (barat daya).

Perjalanan kami ke puncak selama kira-kira lima jam itu melalui laluan jejak berbatu di selang seli laluan berkayu yang landai mengharungi hutan pokok renek sejauh 3.2 km.

Laluan jejak itu juga cantik dan diselenggara dengan baik sekali gus memudahkan pendaki mengatur langkah.

Cabaran mendaki ketika musim sejuk ialah tiupan angin yang membawa kabus selain kesejukan apabila menyapa tubuh masih terasa walaupun sudah memakai beberapa lapis baju dan jaket serta sarung tangan.

Selepas mengharungi laluan jejak yang landai dan tiba di jambatan Tamnagyegok Makgyo, pendaki perlu menaiki tangga curam, selain mendaki laluan berbatu sejauh 1.7 km termasuk melalui kawasan rehat Tamnagyegok Valley Shelter.

Perjalanan ke puncak diteruskan selepas melalui laluan jejak 1.1 km sehingga sampai ke kawasan rehat Gaemideung, kawasan lapang tanpa ada pondok disediakan untuk pendaki berehat seketika sambil memperbetulkan pernafasan dan merenggangkan otot masing-masing.


Sebahagian laluan jejak Gwaneumsa Trail sepanjang 8.7 kilometer yang menjanjikan pemandangan menarik musim sejuk. - NSTP/Abdul Razak Raaff

Sebahagian laluan jejak Gwaneumsa Trail sepanjang 8.7 kilometer yang menjanjikan pemandangan menarik musim sejuk. - NSTP/Abdul Razak Raaff

Laluan berkayu diliputi salji menuju ke puncak Hallasan. - NSTP/Abdul Razak Raaff

Kami kemudiannya perlu berjalan sehingga 1.4 km untuk sampai ke Samgakbong Shelter, yang turut menyediakan kemudahan tandas dan ruang rehat.

Pendaki perlu berada di sini sebelum jam 12.30 tengah hari dari pintu rimba, kemudian dibenarkan meneruskan perjalanan ke puncak.

Di Samgakbong kami turut berehat dan mengeluarkan bekalan makanan, minuman dan memanaskan badan daripada cuaca semakin sejuk.

Kawasan rehat itu turut digunakan pendaki lain untuk memeriksa semula bahan keperluan pendakian ke puncak.

Pendaki perlu memakai kasut berpaku ketika mendaki di laluan berais atau bersalji.

Kami melalui lereng gunung ada tanda amaran bahaya batu jatuh, tetapi pihak pengurusan taman negara itu melengkapkan kawasan dengan dua lapisan jaring pagar sebagai langkah keselamatan.


Maklumat mengenai topografi laluan jejak Gwaneumsa Trail sepanjang 8.7 kilometer sehingga ke puncak. - NSTP/Abdul Razak Raaff

Kemudian, kami melalui jambatan Yongjingak Hyunsugyo dan pendakian selepas mula memacak hingga sampai ke puncak dengan jarak 1.3 km.

Penulis dan rakan juga perlu mengejar masa untuk sampai ke puncak sebelum jam 2 petang mengikut waktu ditetapkan sebelum diarahkan turun oleh renjer yang berada di situ.

Nasib kami berlima memang bertuah kerana ketika berada di puncak, cuaca panas dan sesekali angin menolak kabus dan melihat tasik di kawah. Hallasan asalnya terbentuk daripada letusan gunung berapi yang sudah tidak lagi aktif ketika ini.

Daripada menara pandang di puncak itu dapat dilihat bandar Seogwipo dengan jelas. Terdapat dek kayu dan berpagar kayu melihat pemandangan kawah selain ada batu tanda dalam bahasa Korea, yang bermaksud Kawasan Perlindungan Alam Semulajadi Gunung Halla dan Tasik Rusa Putih (Baek Kruk Nam - tasik kawah gunung berapi yang mempunyai diameter 600 meter dan ukur lilit 3 km).

Selepas puas bergambar, kami meneruskan menuruni gunung di laluan sama. Kami sampai ke pintu rimba kira-kira jam 6.30 petang dan bergegas ke pejabat Taman Negara Hallasan yang tutup jam 7 malam untuk minta sijil dengan bayaran 1,000 won (RM3.60).

FAKTA

Mengenai Hallasan

• Terletak di Pulau Jeju

• Gunung tertinggi di Korea Selatan.

• Ketinggian 1,950 meter dari paras laut

• Bawa peralatan asas mendaki seperti headlamp, raincoat, tongkat dan makan ringan.

• Masa mendaki musim sejuk 6 pagi; musim bunga 5.30 pagi, musim panas 5 pagi.

• Terdapat 1,800 flora dan 4,000 fauna di gunung.

Berita Harian X