Ahad, 14 Julai 2019 | 10:00am
Persembahan ‘Wheel of Suspense’ oleh The Gerlings mendebarkan jantung. - Foto Hafiz Sohaimi

Pelagak ngeri tunjuk aksi

Jantung berdebar-debar ketika tujuh pelagak ngeri dari Amerika Latin cuba membentuk piramid dengan memijak galah digalas rakan mereka sambil meniti kabel sepanjang lebih 12 meter yang direntang pada ketinggian kira-kira 20 meter.

Empat orang dengan setiap dua daripadanya menggalas galah sebagai asas di bahagian bawah, dua lagi di atas dan seorang di puncak.

Bergerak perlahan dan sekata dengan isyarat suara, berlatar belakangkan imej bukit-bukau menghijau, kereta kabel dan irama mendebarkan, mereka akhirnya berjaya tiba ke penghujung pelantar dengan penuh bergaya.

Persembahan hebat dan mencabar itu mendapat tepukan gemuruh penonton persembahan Imaginatricks yang memenuhi ruang di Genting International Showroom.


Tarian perancis. - Foto Hafiz Sohaimi

Ketua kumpulan akrobatik, The Gerlings dari Columbia yang dikenali sebagai Juan, berkata piramid manusia itu antara rekod dunia yang pernah tercipta dalam sejarah pertunjukan sarkas malah memenangi pingat gangsa pada Monte Carlo International Circus Festival pada 2017.

“Saya menyertai kumpulan akrobatik ini sejak tujuh atau lapan tahun lalu dan kami berlatih setiap hari untuk melakukan pelbagai aksi di atas kabel termasuk piramid manusia yang cukup mencabar.

“Ia sememangnya sangat mencabar dan ramai rakan yang tidak yakin sama ada kami boleh melakukannya tetapi terbukti kami sudah berjaya malam ini,” katanya.

Beliau mengakui paling mencabar mengenai pertunjukan malam itu adalah ia berbeza dengan pertunjukan di sarkas yang biasa dilakukannya.


Peluncur ais, Aleksander Popov dan Elena Efaeva beraksi di atas ais buatan. - Foto Hafiz Sohaimi

Pertunjukan teater di atas pentas berbeza dengan sarkas daripada segi kapasiti pentas dan ketinggian bumbung yang lebih rendah.

“Kerjasama antara semua ahli kumpulan amat penting untuk menjayakan pertunjukan yang sangat berbahaya ini kerana sedikit kesilapan boleh mengundang maut.

“Kami sedar perlu berdepan dengan pelbagai risiko tetapi rasa takut itu diatasi dengan kepercayaan rakan kerana masing-masing mempunyai kemahiran dan minat tersendiri,” katanya.

Selain piramid manusia, Juan dan kumpulannya juga turut mempamerkan persembahan roda besi atau ‘Wheel of Suspense’ yang cukup menakjubkan penonton.


Piramid dibentuk oleh tujuh pakar akrobatik pada persembahan Imaginatricks mencipta rekod dunia di Resort World Genting. - Foto Hafiz Sohaimi

Empat ahli berlari-lari di dalam empat roda yang berpusing laju dan sesekali mereka berlari ligat di atas luar roda seakan-akan hamster.

Persembahan itu juga turut mendapat pingat emas pada Monte Carlo International Circus Festival dan Wujiao International Circus Festival pada 2017.

Aksi pasangan peluncur ais Russia, Aleksander Popov dan Elena Efaeva yang meluncur ais buatan menggunakan plastik di atas pentas.

Elena yang pernah mewakili Russia di kejuaraan peringkat antarabangsa, mengakui meluncur di atas ais buatan itu agak mencabar.

“Selain saiznya yang lebih kecil berbanding ruang pertandingan yang lazimnya dua kali lebih besar, ia diperbuat daripada plastik.

“Kami cuba meluncur sebaik mungkin dan dengan pergerakan yang sama seperti berada di ais sebenar,” katanya.

Popov berkata, mereka sudah dilatih meluncur ais sejak kecil iaitu ketika berusia antara tiga hingga empat tahun, turut mengakui pertunjukan di atas pentas teater itu lebih mencabar.


Felfoldi Tamas menunjukkan kemahiran melambung dan mengawal bola keranjang. - Foto Hafiz Sohaimi

Penonton turut teruja menonton 18 pemain bola keranjang dari Hungary yang menjaringkan gol dengan aksi akrobatik.

Gaya bersahaja Felfoldi Tamas yang melambung lebih tiga bola turut menarik perhatian.

“Ini adalah satu-satunya versi bola keranjang di dunia yang beraksi di atas pentas teater. Saya menyertai pasukan bola keranjang Hungary dan pernah menyertai acara NBA dan FIBA sejak 15 tahun lalu.

“Menyertai pertunjukan teater sejak lapan tahun lalu dan merasa bangga dapat membuat pertunjukan di negara ini,” kata Felfoldi.

Debaran penonton hilang seketika dengan kemunculan pelawak dari Ukraine, Oleksii Krasnykh yang cukup mencuit hati.


Pelawak, Oleksii Krasnykh. - Foto Hafiz Sohaimi

Graduan dari Variety and Circus Academy of Ukraine, Kiev, ini pernah memenangi Grand Prix Festival Badut Comediada pada tahun 2015 dan terkenal dengan bakat dalam pentomin dan meniru bunyi.

Imaginatricks adalah persembahan yang menggabungkan akrobatik terbaik dunia, atli bola jaring, peluncur ais, pelawak, penyanyi dan penari dengan berlatar belakangkan musikal yang memukau, diterbitkan oleh Agosta Artist Co, arahan Abraham Kostanian.

INFO

  • Pertunjukan bermula: 25 Mei lalu - 24 Mei 2020.
  • Tiket: - RM96 hingga RM196
  • Pakej tiket termasuk bilik bermula RM339 sehingga RM1,142.
  • Berita Harian X