Ahad, 21 Julai 2019 | 10:00am
Rumah Bot yang membawa peserta Kembara Media Perak membelah Tasik Temenggor menuju ke Hutan Royal Belum. - NSTP/Azhar Ramli

Hutan Belum kekal dara

Serba-serbi di Hutan Belum, Hulu Perak tampak menarik. Pemandangan indah, damai dengan bebas menghirup udara segar yang menyamankan.

Sebaik rumah bot berlabuh dari jeti Royal Belum Amanjaya, Perak membelah kawasan tadahan air empangan Tasik Temenggor yang berada di kawasan seluas 152 kilometer persegi, menuju Royal Belum, fikiran terus menerawang melihat panorama hutan penuh kehijauan .

Ternyata perjalanan lebih dua jam macam-macam dirasai, angin lembut dari tasik yang menampung 6,050 juta meter padu air itu terasa kedinginan.

Di sini dapat disaksikan keindahan alam sekitar, hidung menghidu udara segar, telinga mendengar bunyian alam, tangan dan lidah menyentuh serta merasa hidupan alam.

Bila fikiran menjadi tenang, secara tidak langsung pernafasan teratur apatah lagi menghirup oksigen 100 peratus tanpa pencemaran.

Ranger Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohd Yusri Abdullah Sani, menjelaskan Hutan Royal Belum wujud sejak 130 juta tahun lalu, iaitu lebih tua daripada usia hutan Amazon di Brazil.


Mohd Yusri memberi taklimat kepada peserta Kembara Media Perak 2019 mengenai perkampungan Royal Belum. - NSTP/Azhar Ramli

Kawasan ini dilindungi oleh Perbadanan Taman Negeri Perak supaya kekal sebagai warisan semula jadi tanpa disentuh pencemaran.

“Kehidupan di sini sangat indah, malah oksigen yang kita sedut segar dan dapat dirasakan sehingga ke dalam paru-paru.

“Tiada sebarang pembangunan dibenarkan, malah kemudahan rumah bot untuk aktiviti pelancongan dihadkan d dengan pengeluaran 35 permit sahaja.

“Ini bagi mengelakkan pencemaran udara dan air di kawasan Tasik Temenggor dan Pulau Banding di sekitar Taman Negara Royal Belum ini,” katanya.

Penulis bersama rakan media yang mengikuti program Kembara Media Perak 2019 (KMP2019) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), baru-baru ini, tidak menyesal berada di sini.

12 lokasi menarik

Menaiki rumah bot Casuarina 1 dengan tiga dek pelbagai aktiviti boleh dilakukan sepanjang pakej dua hari satu malam menyusuri tasik yang mempunyai kedalaman lebih 100 meter itu.


Rumah Bot yang membawa peserta Kembara Media Perak membelah Tasik Temenggor menuju ke Hutan Royal Belum. - NSTP/Azhar Ramli

Di sini pengunjung boleh melakukan bermacam-macam aktiviti di dalam rumah bot seperti berbeku, karaoke dan tidur di bilik berhawa dingin, pengunjung dapat melakukan banyak aktiviti lain di luar rumah bot. Antaranya memancing pelbagai spesis ikan seperti sebarau, toman, kelah dan lampam.

Pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti mandi air terjun di 12 lokasi menarik, aktiviti merentasi hutan, berkhemah, berkayak, berakit, melihat spesis burung enggang, menghayati kehidupan fauna dan flora.

Ziarah kampung Orang Asli

Terokai aktiviti kemasyarakatan termasuk menziarahi perkampungan Orang Asli kaum Jahai di Sungai Klewang.


Perkampungan orang asli kaum Jahai di Kampung Sungai Klewang, Royal Belum. - NSTP/Azhar Ramli

Kanak-kanak orang asli kaum Jahai di kampung Sungai Klewang. - NSTP/Azhar Ramli

Mereka antara masyarakat teramai mendiami hutan Royal Belum daripada 600 hingga 800 dari pelbagai perkampungan dan kaum Orang Asli yang hidup tanpa sebarang kemudahan asas seperti elektrik dan sumber air paip.

Orang Asli di sini dipisahkan dengan perjalanan dua jam ke jeti sebelum menaiki kenderaan darat untuk ke pekan Gerik bagi membeli keperluan asas.

Tarikan lain seperti menjejak bunga Rafflesia, merentasi hutan ke Santuari Ikan Sungai Ruok dan bermandi-manda bersama spesis ikan di air terjun sungai berkenaan. Ini termasuk dapat melihat hidupan liar mahupun melawat Salt Licks yang menjanjikan keseronokan tersendiri.


Aktiviti mandi bersama ikan di air terjun Sungai Rouk. - NSTP/Azhar Ramli

Info Hutan Royal Belum

• Keluasan 290,000 hektar

• Terletak di Hulu Perak

• Royal Belum diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh Kerajaan Perak pada 17 April 2007

• Keluasan kawasan diwartakan 117,500 hektar.

• Hutan Royal Belum memiliki lebih 100 kehidupan mamalia di dalamnya.

• 10 spesies burung Enggang yang boleh dilihat pada sesuatu musim antara Julai hingga September.

• Perkampungan Orang Asli Sungai Klewang dihuni 36 keluarga dari kaum Jahai.

• Sungai Ruok antara air terjun yang popular dari 12 lokasi air terjun di Hutan Royal Belum.

Empat kem yang dibenarkan untuk aktiviti perkhemahan:

• Kem Sungai Kenarong

• Kem Sungai Tiang

• Kem Sungai Kejar

• Kem Sungai Papan

926 dibaca
Berita Harian X