Ahad, 4 Ogos 2019 | 10:30am
Nikmati pemandangan indah serata dunia dengan teknologi VR.

'Percutian' warga emas dengan teknologi VR

MUSTAHIL warga emas yang tidak lagi mampu berjalan melancong ke negara luar, melainkan ada insan sudi membawa jelajah serata dunia.

Jika ada, keseronokannya tidak sama kerana faktor usia dan tahap kesihatan tidak memberangsangkan menyukarkan pengembaraan.

Bagi warga emas di Jepun yang tidak mampu berdiri mereka boleh mengembara ke serata dunia tanpa perlu meninggalkan kerusi roda, mengecop pasport dan belanja banyak.

Namun, pengalaman indah boleh dinikmati hanya menerusi kecanggihan teknologi realiti maya atau ‘Virtual Reality’ (VR).

Teknologi VR itu menerusi peralatan seakan kaca mata yang menyimpan visual video pengembaraan negara luar secara menyeluruh.

Idea menghasilkan teknologi VR itu dicetuskan oleh seorang ahli terapi dari Universiti Tokyo, Kento Toshima.


Teknologi VR membawa warga emas mengembara.

Pada awalnya, Toshima mengembara ke serata dunia dengan merakam video tempat menarik ketika melancong untuk ditunjuk kepada warga emas di bawah jaganya.

Dengan cara itu warga emas dapat meningkatkan kegembiraan dan keseronokan apabila melihat rakaman video bagi memenuhi keinginan melihat dunia luar secara realiti.

“Saya menunjukkan video pengembaraan secara menyeluruh dengan pandangan 360 darjah menggunakan teknologi VR .

“Menerusi visual VR itu mereka boleh bersiar-siar, mencuci mata menyaksikan keindahan alam ‘sekeliling’. Ternyata, apabila mereka menikmati pengalaman itu sekali gus memberi semangat serta motivasi kepada mereka,” katanya.

Toshima yang bertugas sebagai pegawai ahli makmal di universiti berkenan menjalani projek diketuai oleh pensyarah Atsushi Hiyama.

Fokus bidang pengajian berkaitan ‘geron-informatics’, iaitu menerapkan teknologi maklumat dan komunikasi untuk warga emas.

Beliau berkata, projek mengembara VR diperkenalkan sebagai terapi terbaik untuk sesi pemulihan fizikal serta kemudahan bagi penjagaan kejururawatan untuk warga emas.

Mereka bersama-sama mewujudkan teknologi VR itu bagi menyokong masyarakat berusia di Jepun.

Menariknya, mereka turut mengajar warga emas merakam dan menyunting video 360 darjah hasil pengembaraan ke negara luar supaya dapat diberikan kepada rakan yang kurang sihat dan tidak boleh bergerak.


Golden Gate Bridge di California juga destinasi menarik untuk dikunjungi.

Kota Paris antara lokasi utama tumpuan pelancong dunia.

Hiyama berkata, 90 peratus orang berusia lebih 65 tahun di Jepun sangat aktif dan menyertai komuniti secara aktif.

“Ketika menghadiri sesi temu bual kami bertemu rakan sekelas berusia antara 53 hingga 90 tahun yang mempelajari teknologi VR ini selama kira-kira setahun.

“Antaranya, Takeshi Maki yang sudah berusia 82 tahun memaklumkan dia sudah melancong ke Hawaii bersama dengan kamera 360 darjah miliknya,” katanya.

“Takeshi Maki mempunyai kawan tidak boleh melancong kerana sudah berusia lebih 80 tahun. Menunjukkan video diambil kepada kawannya, mereka sangat teruja dan seronok.

Hiyama berkata, kebanyakan warga emas pada usia sebegini tidak boleh mengembara, jadi, VR ini sangat membantu meningkatkan keseronokan mereka,” katanya.

Beliau berharap ‘percutian’ VR ini dapat membantu pesakit warga tua yang mempunyai masalah kesihatan pergerakan badan meningkatkan kecergasan pada minda.

“Tidak banyak perkara yang menarik buat mereka yang hidup antara 80 hingga 90 tahun ini dialami secara peribadi. Apabila melihat VR, ia seakan membawa mereka ke tempat dengan suasana dan pengalaman berbeza tepat di depan mata.

“Perkara paling menarik berlaku di depan mata saya ialah apabila lihat mereka yang tidak boleh berdiri, mampu berdiri dengan sendirinya kemudian berjalan perlahan-lahan ketika berada di alam VR itu,” katanya.

152 dibaca
Berita Harian X