Ahad, 4 Ogos 2019 | 10:31am
Kota Sarang Semut yang terletak berhampiran dengan Daerah Pendang. - NSTP/Amran Hamid

Sejarah Kota Sarang Semut

ADAKAH wujud sebuah kota yang didiami oleh tentera semut seperti mana yang digambarkan masyarakat dulu di pekan kecil yang diberi nama Kota Sarang Semut?

Mungkin tidak ramai generasi hari ini mengetahui sejarah di sebalik nama Kota Sarang Semut yang terletak di Mukim Sala Kechil, Daerah Kota Setar, Kedah.

Namun begitu, terdapat versi berbeza dikaitkan dengan kewujudan nama pekan itu unik ini. Pekan kecil dengan keluasan 2,000 meter persegi pernah dikaitkan dengan bahasa Langkasuka iaitu Kota Sereng Semet bermaksud kota yang ditinggalkan askar.

Penghulu Mukim Sala Kechil, Aminuddin Ahmad, 45, berkata dalam versi lain pula, Kota Sarang Semut dikatakan wujud ketika kerajaan Siam menyerang Kedah.

Tempat ini dijadikan antara kubu tentera Sultan Kedah untuk mempertahankan negeri dari diserang tentera Siam.

“Ketika pembinaan kubu, tempat ini dipenuhi sarang semut. Oleh demikian tentera yang berkubu di sini menamakan tempat ini dengan nama Kota Sarang Semut.

“Bagaimanapun, cerita dari mulut ke mulut ini tidak dapat dipastikan kesahihannya,” katanya.

Kota Sarang Semut adalah pekan kecil dengan kedudukannya terletak di selatan daerah Kota Setar bersempadan daerah Yan dan Pendang di Kedah.


Deretan rumah kedai lama di Pekan Kota Sarang Semut. - NSTP/Amran Hamid

Jarak perjalanan dari pusat bandar Alor Setar mengambil masa antara 20 hingga 30 minit dengan kereta manakala perjalanan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui susur keluar tol Pendang hanya mengambil masa antara lima hingga 10 minit.

Kota itu dikelilingi pemandangan sawah padi, berdekatan Gunung Jerai, pemandangannya menarik kerana berlatar belakangkan sawah padi terbentang luas dan keindahan Gunung Jerai. Pemandangan lebih memukau terutamanya pada waktu senja.

Sambil menyaksikan pemandangan indah, pelancong ke kota itu rata-rata akan singgah ke gerai bagi menikmati sajian makanan laut popular antaranya mi ketam dan gulai kari ikan segar.

Antara gerai popular di situ dan menjadi tumpuan pelancong ialah Kedai Gulai Ikan Nyoq-nyoq Pak Om dan Mee Ketam Kry Mamak..

Selain datang menyaksikan pemandangan, pelancong terutama kaki pancing tidak melepaskan peluang memancing melalui Jeti Kuala Sala yang terletak sekitar tiga kilometer dari pekan berkenaan.

Selain itu, pelancong juga dapat melihat kesan sejarah Terusan Wan Mat Saman yang juga terusan terpanjang di Malaysia.


Sawah padi yang menjadi punca pendapatan kebanyakan penduduk di Kampung Pisang, Kota Sarang Semut . - NSTP/Amran Hamid

Selari dengan perkembangan dan penempatannya, tempat itu mempunyai lapan kampung malah terdapat beberapa nama kampung yang unik dan pelik antaranya Kampung Bakar Sampah, Kampung Pulau Jerat dan Kampung Pengkalan Bot.

Aminuddin berkata, pembangunan kota terbabit berkait rapat dengan struktur geografi yang terletak di selatan Alor Setar, yang juga pintu masuk dari selatan ke daerah Kota Setar.

Jajaran perhubungan jalan raya meletakkan Kota Sarang Semut di tengah-tengah antara Sungai Petani dan Alor Setar.

“Sungai Petani adalah antara pusat perindustrian di Kedah manakala Alor Setar pula pusat pentadbiran kerajaan negeri. Secara tidak langsung, Kota Sarang Semut menerima kelebihan kesan pembangunan memberangsangkan,” katanya.


Dataran Usahawan yang terdapat di Pekan Kota Sarang Semut. - NSTP/Amran Hamid

Info Kota Sarang Semut

• Anggaran penduduk - 3,000 hingga 4,000 orang

• Keluasan - 4,000 meter persegi (4km)

• Laluan Terusan Wan Mat Saman sepanjang 2.5 km

• Sereng bermaksud askar tinggal

• Semet pula membawa maksud askar semua

• Terdapat lapan kampung di kota itu

Berita Harian X