Isnin, 12 Ogos 2019 | 12:43pm
LUKISAN mural durian di Flat Taman Seri Indah. - Foto Aswadi Alias

'Mutiara' tersembunyi di Balik Pulau

CUKUPLAH hanya dikaitkan dengan durian, kelebihan bandar Balik Pulau sebenarnya lebih dari sekadar sinonim dengan raja buah itu dan sudah tiba masa 'mutiara' yang tersembunyi di sebalik pulau itu dikomersialkan kepada umum.

Nasib sahaja adanya penganjuran Festival Balik Pulau (BPF) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), diadakan baru-baru ini.

Jika tidak, tentu sahaja masih ramai pelancong di luar sana tidak tahu akan 'khazanah' yang tersembunyi di Balik Pulau dan pastinya ia adalah satu kerugian buat mereka yang sukakan sebuah pakej percutian lengkap.

Dari makanan ke produk ekopelancongan , seni dan budaya malah kecantikan semula jadi semuanya ada di Balik Pulau, iaitu sebuah kawasan berkeluasan 122.79 kilometer (km) dengan populasi penduduk 530,242 orang.

Timbalan Menteri MOTAC, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata besar harapannya untuk melihat Balik Pulau ditransformasikan sebagai sebuah bandar mesra pelancongan yang diwarnai lukisan mural dan kelebihan tarikan ekopelancongan.

Buat permulaan iaitu pada penganjuran kali pertama BPF biar pihaknya 'meneroka pasaran' dahulu dengan menampilkan lapan lukisan mural termasuk empat daripadanya sengaja dilukis di flat kos rendah bagi merakyatkan seni itu.

"Bersempena dengan BPF, Balai Seni Negara menampilkan enam artis dengan tiga daripadanya adalah anak tempatan untuk melukis empat mural di flat kos rendah bagi menceriakan Balik Pulau, sekali gus mengetengahkan artis tempatan.

"Kenapa pilih flat kos rendah adalah kerana kita mahu mendedahkan kepada anak muda daripada mereka menghadap gajet atau terbabit dalam aktiviti tidak sihat, baik mereka minat terhadap lukisan.

"Kita mahu menunjukkan bahawa seni itu adalah inklusif dan tidak semestinya untuk golongan berada...kadang-kala artis yang lahir dari keluarga miskin lebih kreatif kerana melikis dengan jiwa, " katanya ketika ditemui pada penganjuran BPF, di sini, baru-baru ini.

Mural dipaparkan ialah lukisan durian di Flat Taman Seri Indah; lukisan ikan laga di Flat Lily; lukisan taman di Flat Balik Pulau dan lukisan bangau di Flat Taman Seri Genting.

Sebelum ini, bandar Balik Pulau turut diserikan dengan empat lukisan mural daripada artis jalanan Rusia, Julia Volchkova, yang juga seorang graduan dalam ijazah dalam seni dan reka bentuk di Universiti Seni Nizhnevartovsk di Siberia.

Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, berkata beliau menyifatkan percubaan pihaknya dalam acara lukisan mural untuk menaikkan seri bandar ini berjaya apabila ia mendapat tempat malah sudah menjadi tular di laman sosial.


BALIK Pulau kaya dengan produk ekopelancongan. - Foto Aswadi Alias

Beliau merancang merancakkan lagi acara sama pada penganjuran BPF tahun hadapan termasuk mengadakan pertandingan lukisan mural dalam kalangan artis tempatan dengan tawaran hadiah lumayan.

Puas menatap lukisan mural, pelancong di Balik Pulau pastinya ingin menyaksikan tasik meromiktik iaitu mempunyai air laut dan air tasik yang terdapat di Taman Negara Pulau Pinang yang boleh dilihat dari kawasan itu.

Muhammad Bakhtiar berkata, tasik meromiktik adalah sebahagian daripada tarikan di kawasan ini yang turut menampilkan keindahan hutan paya bakau menaiki sampan.

"Kita cuba sedaya upaya untuk melindungi kawasan hutan paya bakau ini yang pernah berjasa kerana melindungi sebahagian kawasan di Balik Pulau ketika diancam tsunami pada 2001 dulu.

"Hutan ini adalah sebahagian daripada 160 hektar hutan paya bakau di Pulau Pinang dan kita akan melakukan pelbagai kaedah promosi selain menaik taraf jeti dan tandas di sini, " katanya.

Pelancong yang berkunjung di sini juga turut disediakan pakej berbasikal sejauh 21 kilometer (km) melalui laluan kampung, tepi pantai dan sawah di kawasan sekitar Balik Pulau yang pastinya mampu menyegarkan pandangan mata.

Tidak sah jika tidak dikaitkan dengan durian, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Ahmad Husni Ahmad Basri, pula berkata buah itu sememangnya menjadi juara yang bertindak sebagai faktor penarik utama dalam meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke sini.

Beliau berkata, durian Balik Pulau disifatkan antara yang terbaik berikutan kedudukan ladang raja buah itu yang berhampiran air laut dengan pengaruh air masin menambah kesedapan rasanya.


BALIK Pulau kaya dengan produk ekopelancongan. - Foto Aswadi Alias

"Di sini kebanyakan adalah dusun tradisional bagi perusahaan durian Balik Pulau namun terdapat juga ladang moden yang dipajak dan diusahakan untuk durian kahwin seperti udang merah.

“Kebanyakan mereka lebih selesa untuk menjualnya secara terus kepada pelanggan.

"Tourism Malaysia bekerjasama dengan pemilik ladang dan menyediakan platform untuk agensi pelancongan dengan menawarkan pakej makan durian di lapan buah hotel, dan pelancong boleh membeli pakej itu di hotel mereka sejak Mei lalu, " katanya.

Produk pelancongan durian Balik Pulau ini amat berjaya apabila sehingga kini ia berupaya meningkatkan jumlah penginapan pelancong ke Pulau Pinang khususnya dari Taiwan, Hong Kong, China dan Korea yang memang 'menggilai' raja buah itu.

"BPF belum cukup muat untuk menarik kunjungan pelancong baharu, namun ia berupaya untuk menambahkan jumlah hari kunjungan pelancong sedia ada yang datang ke Pulau Pinang untuk turut singgah ke Balik Pulau.

"Kita percaya dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga kali penganjuran BPF, ia mampu berdiri sendiri dan mampu menjadi acara bertaraf antarabangsa untuk menarik kunjungan pelancong baharu ke sini, " katanya.


BALIK Pulau kaya dengan produk ekopelancongan. - Foto ihsan pembaca

INFO

Balik Pulau

* Keluasan 122.79 kilometer (km)

* Penduduk: 530,242 orang

Festival Balik Pulau

* Antara pengisiannya ialah Festival Kesenian Balik Pulau

* Demonstrasi kraf dan pertandingan permainan tradisional.

* Pertandingan masakan tradisi

* Melukis mural

* Bicara usahawan seni budaya.

Fenomena meromiktik

* Fenomena bermusim berlaku apabila beting pasir terbentuk di tepi pantai akibat tindakan angin dan ombak.

* Beting pasir menghalang pergerakan air laut masuk ke dalam tasik hingga membentuk lagun bermusim.

533 dibaca
Berita Harian X