Ahad, 9 Februari 2020 | 9:56am
Pandangan dari atas kawasan ‘Dickson Street’ bakal dibangunkan di Port Dickson.
Pandangan dari atas kawasan ‘Dickson Street’ bakal dibangunkan di Port Dickson.

Dickson Street bakal jadi tumpuan pelancong

Port Dickson, Negeri Sembilan terkenal dengan kawasan pantai yang cantik dan serta menjadi tumpuan pengunjung dari pelbagai lokasi termasuk pelancong luar negara.

Setiap hujung minggu dan cuti sekolah daerah itu dipenuhi pengunjung untuk merehatkan minda dan ada yang singgah semata-mata untuk menikmati pelbagai jenis makanan.

Bagi memastikan daerah itu mendapat kunjungan berlipat kali ganda kerajaan negeri, pihak industri pelancongan dan individu mengambil pelbagai inisiatif supaya merasa berbaloi ke sana.

Ketika ini tiada lokasi strategik yang boleh jadi tumpuan pengunjung membeli-belah di samping memberi peluang usahawan menjual pelbagai barangan bercirikan warisan budaya Negeri Sembilan.

Menyedari kekurangan itu, Dickson Street akan dibangunkan di kawasan lapang bersebelahan Hotel D’Wharf Hotel dengan menempatkan kira-kira 200 usahawan.

Lokasinya di tepi laut akan dibangunkan bagi mewujudkan tapak perniagaan yang pastinya menjadi tumpuan pelancong atau pengunjung yang datang ke Port Dickson.

Pengarah Urusan Dickson Street Sdn Bhd, Michael Chong berkata, idea bagi membangunkan satu kawasan strategik yang dinamakan ‘Dickson Street’ bagi merancakkan kedatangan pelancong ke Port Dickson.

“Daerah ini itu sudah dikenali pengunjung luar dan dalam negara tetapi masih tiada satu lokasi yang menyediakan tapak perniagaan yang menjadi tumpuan untuk membeli-belah.

“Oleh itu, kita mahu wujudkan kawasan dengan keluasan kira-kira dua hektar bagi menempatkan 200 tapak niaga berukuran 10 x 10, iaitu berupa kedai kontena dan dilengkapi kemudahan serba moden,” katanya.

Beliau berkata, projek ini yang dijangka bakal siap dan mula beroperasi pada pertengahan April depan dengan kos anggaran RM4 juta turut menerapkan pelbagai jenis kebudayaan dan tradisi tempatan.

“Sebanyak 120 premis akan menjual pelbagai jenis makanan tradisi dari 13 buah negeri dalam Malaysia manakala 80 premis lagi akan menjual pakaian, cenderamata, kraftangan dan pelbagai lagi produk.

“Kita juga menyediakan pentas untuk pelbagai persembahan kebudayaan, pertunjukan permainan tradisional seperti gasing, congkak dan dimeriahkan lagi dengan persembahan muzik dari kumpulan buskers,” katanya.

Michael berharap ‘Dickson Street’ akan diiktiraf sebagai satu produk pelancongan yang akan membantu menaikkan ekonomi negeri itu.

“Inilah objektif kami, mahu turut berkongsi peluang perniagaan kepada warga tempatan dan kepada mereka yang berminat sudah boleh mendaftar untuk berniaga di sini.

“Saya percaya ‘Dickson Street’ setanding dengan konsep yang sama di negara luar yang berjaya menjadi tumpuan pengunjung malah ia lebih menarik kerana lokasinya di tepi laut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri, Choo Ken Hwa berkata, ‘Dickson Street’ akan mengembalikan kegemilangan Port Dickson satu ketika dahulu.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu membantu merancakkan ekonomi terutama di kawasan yang sering menjadi tumpuan pengunjung bagi merealisasikan idea mewujudkan lokasi seperti ‘Dickson Street’.

“Saya percaya ‘Dickson Street’ akan menjadi lokasi tumpuan setiap pengunjung yang datang ke Port Dickson sama ada untuk beriadah atau memberi peluang perniagaan kepada orang tempatan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X