Ahad, 16 Februari 2020 | 9:08am
KRU penerbangan yang tidak sihat seharusnya tidak dibenarkan bekerja. - Foto hiasan
KRU penerbangan yang tidak sihat seharusnya tidak dibenarkan bekerja. - Foto hiasan

Jangkitan virus dalam pesawat

Coronavirus baharu (COVID-19) yang melanda rakyat di China, khususnya di bandar raya Wuhan, Hubei bukan sahaja jangkitannya menular ke beberapa negara di dunia sehingga menjejaskan industri pelancongan.

COVID-19 terus tersebar sehingga diisytihar sebagai darurat kesihatan global, susulan penemuan kes di hampir 24 negara lain seluruh dunia.

Lantas China menutup semua pintu masuk sempadannya sebagai tindak balas segera membendung penularan wabak coronavirus, mengakibatkan banyak bandar ditutup, menyekat aktiviti pelancongan dan menghentikan rangkaian pengangkutan.

Biarpun begitu, banyak negara mengesahkan wabak terbabit sedang menular di negara mereka dengan pelbagai usaha diambil bagi mengelaknya tersebar dengan lebih teruk.

Bagaimanapun, kebimbangan tetap wujud terutama membabitkan pengangkutan udara yang dilihat sebagai antara sumber penyebaran jangkitan pada masa depan.

Sejak penularan wabak yang bermula pada Disember tahun lalu, kebanyakan syarikat penerbangan termasuk British Airways mengambil tindakan drastik membatalkan penerbangan sama ada dari atau ke China tetapi beberapa perkhidmatan masih berlepas dari negara itu termasuk ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Risiko tempat duduk dalam pesawat

Malah, ada yang membayangkan berkemungkinan berlaku kesan yang lebih parah disebabkan pemanasan global dan penyebaran wabak melalui udara.

Mungkin lebih tepat dikatakan adalah ketika penerbitan laporan kajian pada dua tahun lalu mengenai 'Pergerakan Lingkah laku dan Transmisi Penyakit Pernafasan Ketika Penerbangan Antara Benua', yang boleh dikaitkan secara khusus dengan COVID-19.

Kajian dilakukan Universiti Emory, Atlanta di Amerika Syarikat (AS) dan diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS), boleh dijadikan sebagai rujukan terbaik untuk memilih tempat duduk dalam pesawat bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit.

"Perjalanan udara menjadi punca proses penyebaran jangkitan berlaku dengan cepat," tulis laporan itu.

Hasil pengumpulan 229 sampel persekitaran menerusi 10 penerbangan, kajian itu mendapati penumpang yang duduk di bahagian tingkap pesawat, kurang dijangkiti virus manakala mereka yang duduk bersebelahan individu dijangkiti virus atau di barisan bersebelahannya, memiliki risiko tinggi untuk dijangkiti.

"Penumpang yang duduk dalam barisan yang sama, kira-kira jarak antara dua kerusi daripada individu yang dijangkiti, mempunyai kebarangkalian 80 peratus dijangkiti virus.

"Bagi penumpang lain, kebarangkalian untuk mereka dijangkiti adalah pada kadar tiga peratus," menurut laporan itu.

Amaran pada anak kapal

Berdasarkan kajian pergerakan penumpang ketika berada dalam pesawat, 38 peratus penumpang tidak pernah meninggalkan kerusi masing-masing.

Sementara itu, 13 peratus meninggalkan kerusi sebanyak dua kali dan 11 peratus mendapati penumpang kerap meninggalkan kerusi mereka.

Penumpang yang duduk berhampiran tingkap pesawat paling kurang meninggalkan kerusi mereka sekali gus kurang berinteraksi dengan individu yang dijangkiti virus berkenaan.

Pengkaji turut memberi amaran bahawa anak kapal yang dijangkiti virus terbabit, boleh menyebarkannya kepada kira-kira 4.6 penumpang setiap pesawat.

"Oleh itu, tindakan utama yang perlu diambil adalah dengan tidak membenarkan kru penerbangan itu bekerja jika mereka tidak sihat," menurut laporan itu lagi.

Kadar jangkitan lebih cepat

Kajian terbabit menggunakan kadar jangkitan pada 0.018 per minit dengan individu yang dijangkiti iaitu kira-kira empat kali lebih cepat berbanding insiden 38 daripada 54 penumpang dijangkiti virus berkaitan influenza ketika menunggu selama empat jam setengah dalam ruang tertutup untuk menaiki pesawat pada tahun 1977.

Kajian itu juga mendapati penumpang yang duduk di kerusi berhampiran tingkap pesawat mempunyai kebarangkalian jangkitan tidak melebihi 0.5 peratus apabila individu yang dijangkiti duduk di kerusi bahagian lorong, manakala penumpang yang duduk di kerusi tengah dan lorong mempunyai kebarangkalian dijangkiti sebanyak 0.9 peratus.

Justeru, kajian itu mencadangkan supaya pengembara sentiasa mempraktikkan kebersihan tangan dengan lebih kerap.

Sementara itu, pakar kesihatan, Dr Richard Dawood, berkata keadaan kabin pesawat yang kering suatu ketika dahulu meningkatkan risiko penumpang terdedah kepada jangkitan melalui udara.

Katanya, penumpang akan lebih terdedah kepada jangkitan virus yang diketahui cepat membiak dalam tempat yang kurang kelembapan. - Agensi

Berita Harian X