Ahad, 5 April 2020 | 11:48am

Kota bersejarah lengang

TIADA suara hon kenderaan. Tiada hilai ketawa pelancong. Tiada kelibat pelancong tempatan dan asing berpusu-pusu mencuba merakamkan gambar kenangan sama ada secara swafoto atau dirakamkan oleh sahabat-handai.

Yang ada hanya suara detik jarum Menara Jam di Bangunan Stadthuys di Bandar Hilir, Melaka yang dibina penjajah Belanda yang kini sudah berusia 134 tahun.

Keheningan suasana di sekitar bangunan serba merah itu tetap dinodai oleh dentuman jarum jam setiap kali ia menunjukkan waktu yang tepat selama 24 jam.

Ini sekali gus menjadikan suasana di sekitar bangunan bersejarah itu tidak sunyi untuk seketika.

Tiada suara pelancong bergembira menikmati pemandangan bangunan serba merah di sekitar Bangunan Stadthuys, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berkuat kuasa pada 18 Mac lalu berikutan penularan wabak COVID-19.

Usahkan suara pelancong, suara deruman enjin kenderaan yang lazimnya memenuhi suasana persekitaran kawasan tumpuan pelancongan itu juga tidak kedengaran berikutan ketiadaan pelancong yang menghabiskan waktu untuk hadir dan menghayati seketika detik sejarah ketika Melaka di bawah jajahan takluk Belanda pada 1641.

Segala-galanya sunyi dan sepi.

Menara Jam setinggi kira-kira 15 meter yang dibina pada 1886 itu lazimnya menjadi tumpuan pelancong untuk mengabadikan memori bahawa mereka pernah hadir di lokasi yang bersejarah itu.

Kini segala-galanya sudah tiada lantaran ancaman wabak COVID-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan PKP bagi memastikan wabak berkenaan tidak menular dan menyebabkan lebih banyak kematian ramai nyawa.

KOTA AFAMOSA sepi tanpa pelancong. NSTP/Hassan Omar
KOTA AFAMOSA sepi tanpa pelancong. NSTP/Hassan Omar

Bangunan A Famosa yang dibina penjajah Portugis selepas menakluki Melaka pada 1511 yang menyebabkan berakhirnya zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka.

Batu lama tersergam kukuh itu tidak lagi menyimpan kenangan pelancong yang gemar menghayati sejarah silam kerana COVID-19.

Sama di dataran di halamannya yang bersambung dengan halaman Bangunan Memorial Perisytiharan Kemerdekaan.

BANGUNAN Stadthuys dan persekitarannya di Bandar Hilir lengang. NSTP/Hassan Omar
BANGUNAN Stadthuys dan persekitarannya di Bandar Hilir lengang. NSTP/Hassan Omar

Bangunan dibina pada 1911 yang digunakan untuk kegiatan sosial golongan atasan pada zaman penjajahan Inggeris sebelum dijadikan memorial pada 31 Ogos 1985 itu juga amat kaku tanpa dihiasi pergerakan pelancong keluar masuk bangunan.

Yang kelihatan hanya sebuah basikal dikayuh lelaki 'Gerago' (gelaran diberikan kepada masyarakat Portugis di Melaka) melintasi dataran berkenaan.

Berhampiran dengan Kota A Famosa dan memorial berkenaan ialah Dataran Pahlawan yang pernah menjadi saksi peristiwa penting Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, membuat pengumuman pada 20 Februari 1956 mengenai tarikh kemerdekaan Malaya ditetapkan pada 31 Ogos 1957.

Ia kini amat berbeza dengan keadaannya yang dipenuhi pengunjung sama ada pelancong tempatan atau asing atau mereka yang menghabiskan waktu membeli-belah di kompleks beli-belah di sekitar padang berkenaan.

Tiada seorang pun yang kelihatan duduk di bangku sekeliling padang itu untuk menikmati minuman atau makanan atau sekadar untuk menikmati pemandangan serta suasana di sekitar padang serba yang menghijau itu.

Alunan dondang sayang terhenti

Begitu juga keadaannya dengan Sungai Melaka yang sebelum ini berfungsi sebagai antara destinasi pelancongan menarik melalui aktiviti 'Melaka River Cruise' (MRC) yang disediakan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Tiada pelancong tempatan berusia 12 tahun ke atas yang ingin membayar RM25, mahu pun kanak-kanak tempatan berusia dua hingga 12 tahun yang mahu menghulur RM15 atau penuntut institusi pengajian tinggi yang sengaja mahu menghabiskan RM20 atau pelancong asing yang berhasrat membelanjakan RM30 untuk menaiki bot menyusuri sungai itu.

Andai sebelum ini jarak sepanjang lima kilometer Sungai Melaka tidak pernah sunyi daripada dilalui bot milik PPSPM yang berulang alik membawa pelancong menikmati pemandangan di tebing kiri dan kanan sungai itu, kini segalanya sudah sepi.

Akur industri pelancongan terjejas

Jonker Walk di seberang jambatan Sungai Melaka atau kira-kira 200 meter dari Bangunan Stadthuys tidak terkecuali daripada sepi tanpa pelancong, terutama mereka yang gemar mengumpulkan barangan antik.

JONKER Walk atau Jonker Street yang digemari pelancong asing untuk mendapatkan barangan antik kini sunyi. NSTP/Hassan Omar
JONKER Walk atau Jonker Street yang digemari pelancong asing untuk mendapatkan barangan antik kini sunyi. NSTP/Hassan Omar

Segala keadaan itu menjadikan Melaka yang berjaya menarik kunjungan kira-kira 18 juta pelancong sepanjang kempen Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019, terpaksa menerima hakikat jumlah pelancong tahun ini sudah pasti jauh lebih rendah daripada angka berkenaan.

COVID-19 bakal mendorong kerajaan negeri memikirkan semula sasaran untuk menarik 20 juta pelancong ke Melaka pada tahun ini yang sebelum ini dikatakan menjadi sasaran realistik sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) tetapi ia amat sukar untuk direalisasikan berikutan pembatalan kempen itu oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan pada 18 Mac lalu.

Semoga Allah SWT melindungi rakyat negara ini daripada wabak yang bukan setakat mengancam nyawa, malah keseluruhan ekonomi, politik dan sosial manusia sejagat.

Berita Harian X