Ahad, 19 April 2020 | 10:01am
Mohd Amir, Siti Herdawati rindu untuk meredah hutan, mendaki gunung akur dengan PKP. Foto/Mohd Amir Hafiz
Mohd Amir, Siti Herdawati rindu untuk meredah hutan, mendaki gunung akur dengan PKP. Foto/Mohd Amir Hafiz

Kaki 'hiking' gian mendaki gunung

Kerinduan jelas dirasai penggemar aktiviti luar seperti meredah hutan, sungai, mendaki gunung dan hiking ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila aktiviti mereka kini tidak dapat diteruskan seperti biasa.

Bagi pasangan suami isteri, Mohd Amir Hafiz Abd Rahman, 37, dan Siti Herdawati Hamidun, 37, yang meminati aktiviti ‘hiking’, mereka mula merindukan suasana hutan yang dirasakan seakan sudah sebati dengan jiwa mereka.

Pasangan ini , mereka berasa sedikit resah ketika ini kerana tidak dapat melakukan kegiatan yang kebiasaannya dilakukan mereka sekurang-kurangkan sekali dalam sebulan.

Amir yang juga jurugambar sambilan berkata, beliau mula berjinak-jinak dengan aktiviti lasak itu iaitu pada 2012 dianggap sudah sebati dengan dirinya.

MINAT hiking sudah sebati dengan jiwa sudah menakluki banyak gunung di Malaysia. Foto/Mohd Amir Hafiz
MINAT hiking sudah sebati dengan jiwa sudah menakluki banyak gunung di Malaysia. Foto/Mohd Amir Hafiz

Katanya, pada pada tahun sama, beliau berjaya menakluki puncak Gunung Santubong, Sarawak yang mempunyai ketinggian 810 meter.

"Pengembaraan kami suami isteri bermula pada tahun lalu apabila saya menyertai sebuah kelab hiking di bawah syarikat saya sedang bekerja ketika di Kuala Lumpur yang membuka penyertaan dari luar.

"Ketika itu saya mengajak isteri mendaki Gunung Siku, Cameron Highlands, walaupun tiada pengalaman, dia cuba melakukan pendakian pertamanya," katanya.

MERANCANG mendaki gunung selepas lama tidak melakukan aktiviti berkenaan. Foto/Mohd Amir Hafiz
MERANCANG mendaki gunung selepas lama tidak melakukan aktiviti berkenaan. Foto/Mohd Amir Hafiz

Amir berkata, dari situ isterinya seorang guru mula meminati aktiviti pendakian dan sering mengikutinya melakukan pendakian bukit dan gunung di seluruh negara.

"Pada awalnya, saya nampak isteri sedikit perlahan sepanjang pendakian pertamanya, namun sepanjang pendakian dia sudah mula merasakan keseronokan dan bila sampai puncak baru dia tahu kepuasan apabila dapat melihat keindahan alam dari puncak gunung," katanya.

Katanya, atas minat yang sama dalam aktiviti itu, mereka mengambil peluang mengabadikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-12 di puncak Gunung Kinabalu, Sabah yang ditakluki mereka pada Disember lalu.

Amir berkata, ada kala mereka turut membawa tiga anak mereka yang berusia 11, 7 dan 3 tahun bersama-sama dalam aktiviti pendakian.

TIGA anak juga cenderung mengikut jejak langkah ibu bapanya mendaki gunung. Foto/Mohd Amir Hafiz
TIGA anak juga cenderung mengikut jejak langkah ibu bapanya mendaki gunung. Foto/Mohd Amir Hafiz

Katanya, bagi aktiviti bersama anak, mereka lebih memilih mendaki bukit memandang trek yang lebih mudah dan ketinggian yang rendah berbanding gunung.

"Antara bukit yang kami pernah kami bawa anak-anak bersama adalah seperti Bukit Botak di Puncak Alam, Bukit Melati di Negeri Sembilan dan Bukit Broga di Semenyih, kami juga pernah bawa anak kecuali yang bongsu ke Gunung Angsi di Negeri Sembilan," katanya.

Beliau dan isteri baru sahaja pulang mendaki Gunung Rajah di Bentong Pahang, pada awal Mac lalu.

Beliau berkata, seterusnya mereka merancang untuk meneruskan aktiviti dengan pendakian Gunung Buah di Genting Highlands yang dijangka pada 28 Mac lalu.

AKTIVITI mendaki gunung kerap dilakukan bersama rakan. Foto/Mohd Amir Hafiz
AKTIVITI mendaki gunung kerap dilakukan bersama rakan. Foto/Mohd Amir Hafiz

Katanya, bagaimanapun, rancangan itu terpaksa ditangguhkan sementara berikutan arahan PKP.

"Memandangkan kami sudah terbiasa dengan suasana hutan, apabila PKP ini, kami mula rasa rindu bau hutan, air sungai, alam semula jadi dan kawan-kawan pendaki yang lain.

"Jadi, untuk melepaskan gian terhadap aktiviti ini, saya dan isteri sering menonton filem berkaitan hiking seperti Wild, Everest dan sebagainya," katanya.

Amir berkata, biarpun tidak dapat meneruskan aktiviti itu seperti biasa, beliau masih melakukan latihan seperti aktiviti senaman bagi mengekalkan stamina.

"Kami sentiasa berhubung dengan ahli kumpulan pendakian yang lain, bertanya khabar dan saling ingat-mengingati untuk sentiasa menjaga kesihatan dan stamina diri supaya selepas ini tidak ada yang 'pancit'," katanya.

Sementara itu, bagi Herdawati, biarpun selepas ini beliau terpaksa menghentikan seketika aktiviti pendakian kerana sedang hamil, namun masih teringin untuk melakukan aktiviti itu.

"Kalau rindu itu datang, saya akan membelek-belek balik gambar kami ketika melakukan pendakian atau kemas-kemas barang hiking.

SITI Herdawati menyarung siap berpakaian hiking di dalam rumah apabila terasa tiba-tiba rasa rindu mahu mendaki gunung. Foto/Mohd Amir Hafiz
SITI Herdawati menyarung siap berpakaian hiking di dalam rumah apabila terasa tiba-tiba rasa rindu mahu mendaki gunung. Foto/Mohd Amir Hafiz

"Sekali-sekala, saya akan sarung pakaian hiking dan tunjuk pada suami, kalau dah biasa hiking ni memang akan rasa gian, kaki rasa tak sedap bila lama tak mendaki," katanya.

Berita Harian X