Isnin, 9 Julai 2018 | 1:24pm

Kesan alahan termakan cacing dalam tin sardin

Cacing dalam tin sardin? Geli dan meloyakan mendengarnya, apatah lagi kalau individu termakan. Apa pula kesannya pada kesihatan kalau termakan ?

Justeru, isu beberapa jenama sardin dalam tin diimport dari China mengandungi cacing dilaporkan baru-baru ini, wajar diperdebatkan termasuk kemungkinan ia menjejaskan kesihatan kepada pengguna.

Lantas ramai mendesak Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan pembekal menarik balik bekalan secara serta-merta.

Ini berikutan cacing, spesies anisakis yang terkandung dalam ikan sardin itu boleh menyerang manusia hingga menyebabkan penyakit anisakiasis.

Pakar Penyakit Berjangkit dan Perubatan Dalaman UiTM Private Specialist Center (UPSC), Dr Mohd Yazli Yuhana, berkata cacing jenis itu berisiko menyebabkan komplikasi kesihatan.

Beliau berkata, kesan lain termasuk menjejaskan sistem pertahanan badan selain reaksi terhadap cacing hingga membawa kepada kesan alahan.

"Alahan dilihat apabila larva cacing mula menembusi lapisan perut dan usus, berisiko menyebabkan kesakitan dan komplikasi kecederaan dalaman," katanya.

Dr Mohd Yazli, berkata bagaimanapun manusia bukan 'tuan rumah' semula jadi cacing anisakis ini boleh bertahan lama di dalam perut dan usus manusia.

Tidak perlu dikhuatiri kerana cacing ini juga tidak boleh membiak di dalam perut manusia.

"Apabila larva daripada ikan sardin ini masuk ke dalam perut ia akan terus menembusi lapisan perut dan kemudian membiak menjadi cacing matang.

"Memandangkan manusia bukan 'tuan rumah' semula jadi haiwan ini, proses kematangan larva terencat, menyebabkan cacing mati dalam badan manusia," katanya.

Bagaimanapun, impak terhadap manusia, Dr Mohd Yazli menjelas, sepanjang proses itu sehingga cacing mati, badan individu akan bertindak balas dan menyebabkan beberapa gejala tertentu.

Beliau berkata, gejala paling kerap berlaku adalah kegatalan pada bahagian kerongkong sejurus selepas termakan larva cacing berkenaan.

"Apabila larva sampai ke perut, berlaku kesan sakit perut, loya dan muntah dalam tempoh satu hingga lapan jam selepas menikmati hidangan berkenaan.

"Seandainya cacing berjaya menembusi usus dalam tempoh lima hingga tujuh hari, gejala lebih serius berlaku seperti usus tersumbat hingga menyebabkan komplikasi seperti sakit perut serius dan cirit-birit berdarah," katanya.

Dr Mohd Yazli berkata, individu yang sudah termakan sardin yang dipercayai sudah tercemar dinasihat segera menjalani pemeriksaan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Prosedur rawatan disediakan bergantung kepada lokasi cacing itu berada. Adakalanya cacing dibuang melalui kaedah teropong perut. Kaedah lain termasuk mengambil ubat jika lokasi cacing sukar dikenal pasti.

Beliau berkata, secara keseluruhannya penyakit lain berisiko menyerang pengguna tegar makanan dalam tin adalah sejenis penyakit berkaitan saraf, botulism yang disebabkan pencemaran makanan dengan toksin daripada kuman clostridium botulinum.

"Saya sarankan supaya pengguna memastikan produk makanan tin dimasak dengan sempurna. Kebersihan juga aspek penting perlu diutamakan pengusaha makanan dalam tin kerana membabitkan keselamatan pengguna," katanya.

Kesannya:

* Kualiti makanan sudah dicemari bakteria seperti Clostridium botulinum membiak.

* Makanan yang sudah rosak menghasilkan toksin (botulism) menyebabkan komplikasi kesihatan hingga membawa maut.

* Pilih tuna atau sardin yang ditinkan di dalam air untuk menikmati kebaikan sepenuhnya.

* Pilih protein tanpa lemak

* Tiada tiada kandungan garam tambahan.

* Tuna dan sardin segar mempunyai sumber asid lemak omega-3 dan protein.

* Kaya mineral seperti selenium, magnesium, niasin, potasium, vitamin B6 dan B12.

* Pastikan sardin dimasak pada suhu 70 celsius.

* Cacing akan mati sekiranya sardin ini disejuk beku dalam tempoh tiga hari.

Berita Harian X