Sabtu, 11 Ogos 2018 | 11:46am

Ramai pesakit mental enggan dirawat

Setiap kali berlaku jenayah keganasan atau pembunuhan, ramai akan mengaitkan pelakunya mengalami penyakit mental.

Mereka berpendapat pesakit mental seorang yang ganas dan berbahaya sehingga boleh mencederakan atau membunuh.

Hakikatnya, majoriti jenayah tidak dilakukan oleh pesakit mental, malah risiko mereka melakukan jenayah amat rendah berbanding individu normal.

Pakar Psikiatri, Hospital Putrajaya, Dr Ahmad Rostam Md Zin, berkata kebanyakan kes, jenayah berlaku akibat pelbagai faktor bukan sahaja berpunca daripada penyakit mental.

Katanya, stigma mengaitkan pesakit mental ganas dan hilang kewarasan menyebabkan ramai penghidap penyakit mental enggan atau gagal mendapatkan rawatan.

“Ramai menolak atau marah apabila diminta mendapatkan rawatan psikiatrik kerana tidak mahu dilabel sebagai sakit mental.

Mereka juga tidak mahu dianggap tak berguna kepada keluarga dan masyarakat, selain sukar mendapat kerja,” katanya di Jabatan Psikiatri, Hospital Putrajaya, baru-baru ini.

Dr Ahmad Rostam berkata, semua penyakit mental berada pada tahap teruk sehingga tidak boleh berfungsi walaupun ada beberapa peratus sahaja yang teruk.

Majoriti yang datang berjumpa doktor mengalami kemurungan, keresahan, serangan panik, fobia, stres dalam perkahwinan, gagal mengawal kemarahan, hiperaktif dan penggunaan bahan terlarang.

“Penyakit mental yang teruk seperti skizofrenia adalah rendah malah skizofrenia terbahagi kepada dua jenis, positif dan negatif,” katanya.

Penghidap skizofrenia positif mengalami delusi atau halusinasi dan ada kecenderungan melakukan sesuatu di luar kawalan yang boleh membahayakan diri atau orang lain.

Bagi skizofrenia negatif, hanya duduk diam dan tidak boleh buat termasuk makan perlu dihidang, enggan keluar rumah, tidak mahu bekerja dan tidak mengganggu orang lain.

Perkembangan pesat perubatan hari ini, pesakit mental boleh dirawat termasuk menjalani hidup seperti orang lain dan kembali bekerja.

Ahli keluarga khususnya, perlu memberikan sokongan kepada pesakit untuk tampil mendapatkan rawatan sewajarnya berbanding mengurung atau berjumpa bomoh.

“Sehingga ini, lebih 400 pakar di semua hospital di seluruh negara yang bersedia merawat pesakit.

“Pesakit tidak perlu malu atau risau rekod mereka didedahkan kepada majikan kerana semuanya dirahsiakan dan hanya didedahkan sekiranya mendapat kebenaran bertulis daripada pesakit, itupun di dalam bentuk laporan kesihatan,” katanya.

Mengenai perlakuan jenayah yang ada berpendapat ia ada kaitannya masalah mental, Dr Ahmad Rostam berkata, sebenarnya banyak faktor lain yang mempengaruhi tingkah laku mereka.

Mengikut data Kementerian Kesihatan kebanyakan kes itu disebabkan individu dipengaruhi penyalahgunaan dadah seperti mengambil pil estacy, syabu atau ice.

“Dadah menyebabkan individu cenderung menjadi agresif atau ganas sehingga boleh menjadi pembunuhan kejam,” katanya.

Jenayah kejam termasuk membunuh ahli keluarga terdekat juga boleh berlaku disebabkan pengaruh alkohol, dendam atau marah hingga mereka hilang kewarasan dan sanggup melakukan apa sahaja, tetapi bukan masalah sakit mental.

Sekiranya pelaku mengalami masalah mental dan disabitkan dengan jenayah, mereka tidak terlepas daripada hukuman.

Individu yang melakukan jenayah perlu melalui proses undang-undang lebih ketat termasuk dihantar ke institusi forensik psikiatri seperti Tanjung Rambutan untuk proses mengenal pasti kemungkinan menghidap penyakit mental.

“Pemantauan ke atas pelaku akan dijalankan selama 24 jam. Pelaku tidak boleh berpura-pura sakit mental semata-mata mahu terlepas daripada hukuman.

“Kalau sah sakit mental, kajian pula akan dijalankan mempunyai kaitan atau didorong oleh penyakit dialami,” katanya.

Info

* Kriteria penyakit mental:

1. Durasi penyakit

- Kemurungan selama dua minggu secara berterusan tanpa rehat.

- Skizofrenia selama enam bulan

2. Kehilangan fungsi sebagai seorang individu, ahli keluarga, pekerja atau ahli masyarakat.

3. Mempunyai semua kriteria di atas.

*Sakit mental merujuk kepada beribu masalah psikiatri

-paling popular kemurungan, skikofrenia dan bipolar.

* Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015

-29.4 peratus penduduk di Malaysia mengalami isu kesihatan mental (1/3 daripada rakyat Malaysia):

*Usia:

1. Dewasa muda -16 sehingga-19 tahun (paling tinggi).

2. 19 sehingga 24 tahun

3. 24 sehingga 29 tahun.

421 dibaca
Berita Harian X