Ahad, 3 Februari 2019 | 8:12pm
Ariana Hamzah, 33, tertarik dengan kereta sorong bayi antik buatan Jepun yang turut dijual di Pasar Lambak KL 2019. - NSTP/Asyraf Hamzah
Kereta lama turut dijual di Pasar Lambak KL 2019. - NSTP/Asyraf Hamzah

Barang 'rare, vintage' imbas memori terus dicari

ADA menggelarnya barang ‘rare’, vintage’ klasik atau antik, namun apa sahaja nama yang diberikan, namun barangan yang dipamer dan dijual di pasar lambak istimewa ini memiliki nilai sentimental terutama bagi pengumpul barangan lama.

Pelbagai pilihan barang vintage ini boleh didapati di Pasar Lambak KL (PLKL) kini menjadi tumpuan terutama warga kota setiap hujung minggu.

Kehadiran mereka bukan sekadar kunjungan kosong, banyak pengisian mampu diperoleh termasuk mendapatkan maklumat sesuatu barangan yang digunakan sejak era tahun 1950an hingga 1990-an.

Namun selepas melalui proses penjenamaan semula, aktiviti ini mula dikenali sebagai bazar, ‘flea market’, jualan but kereta atau car boot sale. Operasinya tetapi sama sebagai pusat perdagangan yang dianjurkan secara santai.

Kini warga kota Kuala Lumpur, berpeluang berkunjung ke pasar yang sama namun mempunyai keunikan tersendiri kerana peniaga di sini hanya menawarkan barangan antik atau lazimnya digelar sebagai klasik dan antik bersifat ‘vintage’ dan sukar diperoleh.

Berkunjung ke pasar Pasar Lambak KL 2019 (PLKL 2019) pastinya menjanjikan pengalaman hebat. Beroperasi dua hari seminggu, Sabtu dan Ahad, kehadiran mereka bukan sekadar kunjungan kosong, banyak pengisian diperoleh.


Pengunjung ramai tertarik dengan barangan antik yang dijual di Pasar Lambak KL 2019. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pengunjung terutama generasi muda berpeluang memperoleh maklumat sesuatu barangan yang digunakan pada era tahun 1950-an hingga 1990-an.

Informasi mengenai kaedah jualan menerusi pasar lambak boleh diperoleh, juga aktiviti jualan yang diamalkan masyarakat setempat sebelum ini.

Beroperasi di kawasan perumahan Hulu Klang, Selangor itu, PMKL 2019, membawa anak muda ke satu era yang pernah dilalui ibu bapa serta datuk dan nenek mereka sebelum ini.

Pengunjung rambang mata

Meninjau tapak jualan itu juga, pengunjung pastinya rambang mata melihat dan memilih pelbagai barangan vintage. Rata-rata pasti teruja menatap sesuatu barang yang diklasifikasikan sebagai klasik.

Barangan seperti aksesori motosikal, kereta sorong bayi, tin minyak, basikal, botol minuman, perhiasan rumah, jam, pakaian mahupun kereta dan motosikal lama antara dipamer dan dijual di situ.


Antara barangan seperti jam antik turut dijual di Pasar Lambak KL 2019, Garage KL. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pastinya pengunjung berusia 50 tahun ke atas berpeluang menggamit nostalgia mengenainya yang menceritakan pelbagai kisah suka duka.

Bagi generasi muda, mereka bertuah kerana masih berpeluang menimba pengalaman memenuhi kotak minda selain memperkaya perbendaharaan ilmu dengan menjana pengetahuan baharu. Mereka belajar mengenal barangan keperluan harian yang digunakan generasi terdahulu.

Di sini, pengunjung menyaksikan 50 peniaga membawa bersama barangan yang mempunyai keunikan tersendiri. Pembeli boleh tawar-menawar.

Setiap satunya mempunyai cerita, tidak hairan walaupun ada sesetengah barangan itu dijual pada harga tinggi sekali pun peminatnya sanggup membayar semata-mata hasrat untuk memilikinya tercapai.

Peminat, peniaga tawar-menawar

Penganjur PLKL 2019, Saifulnizam Nasir, 34, berkata inisiatif mewujudkan pasar itu bertujuan memberi manfaat kepada pelbagai pihak khususnya generasi baharu terhadap barangan antik.


Saifulnizam menyusun barangan lama untuk dijual di Pasar Lambak KL 2019. - NSTP/Asyraf Hamzah

Bagi Saifulnizam, barangan lama harus disusun cantik untuk menarik perhatian pengunjung. - NSTP/Asyraf Hamzah

Saifulnizam menunjukkan baju kanak-kanak berjenama antarabangsa yang digilai peminat motosikal berkuasa besar. - NSTP/Asyraf Hamzah

Beliau berkata, pada awalnya dia hanya membuka peluang peniaga menjual kenderaan dan motosikal lama atau vintage, namun usaha itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga dan berkembang kepada pasaran barangan lain.

Katanya, dia akaun Facebook dengan nama Yellow Kombi Vintage yang menggalakkan sesiapa yang mempunyai barangan lama menyertai kami untuk memeriahkan aktiviti di sini,” katanya.

“Acara itu menjadi medan perkongsian semua pihak dan memberi manfaat peminat barangan lama, generasi muda, penjual, peniaga dan keluarga bersama-sama melihat apa yang ada di pasar lambak barangan lama terbesar diadakan di negara ini.

“Lokasi ini sesuai dikunjungi semua bagi membolehkan mereka belajar sesuatu yang baharu dalam hidup selain mengimbau semula penggunaan peralatan masyarakat lama.

“Malah tempat ini sesuai untuk acara berkeluarga dan membawa anak bersiar-siar, selain menikmati makanan di The Garage KL. Penjual dan peminat boleh berurusniaga dan bertukar-tukar idea serta tip menjaga barangan lama, “ katanya.

Bagi Peniaga, Nasir Mahmod, 33, memiliki ratusan barang aksesori motosikal pelbagai jenama, melihat pengunjung yang datang ke kedainya bukan peminat motosikal saja.

Pilihan koleksi peribadi

“Ini membuktikan barang lama tidak kira apa saja jika dipamerkan pasti pengunjung terpegun, selain berminat mendapatkan maklumat mengenainya.


Peniaga, Nasir Mahmod, menunjukkan cukai jalan lama dan palam pencucuh antik yang dijualnya di Pasar Lambak KL 2019. - NSTP/Asyraf Hamzah

Selain aksesori motosikal lama, Nasir turut menjual pelbagai barang lama seperti kaset, majalah, pelekat jenama, kasut dan banyak lagi. - NSTP/Asyraf Hamzah

“Memiliki dan menjual barang lama ini adalah sumber pendapatan dan kebanyakan saya mendapatkannya di bengkel lama di kawasan kampung dan pedalaman. Jika tahu di mana ada barang motosikal lama pasti saya pergi walaupun di seluruh negara.

“Malah saya membeli motosikal lama yang sudah tidak boleh digunakan, membaikinya dan menjual kepada sesiapa yang berminat untuk dijadikan koleksi peribadi mereka,” katanya.

Mengagumi barang lama ini juga sebahagian daripada minat suri rumah Ariana Hamzah, 33 yang mula mencintai barangan berkenaan selepas suaminya sering membawa pulang barang antik ke rumah.

“Tidak kira apa saja barang, asalkan dia pernah digunakan pada zaman dulu pasti suami membawanya pulang. Pada saya mulanya memang kita sebagai suri rumah tidak menggemarinya kerana membuatkan rumah berselerak.

“Namun selepas barangan itu dibersihkan dan memahami kesukaran mendapatkannya, saya menghargai usaha berkenaan, jatuh cinta dengan barang antik.

”Sebelum ini saya bekerja sebagai Artis Budaya dan kerap ke luar negara, setiap kali terjumpa barang lama di sana, pastinya saya membelinya. Malah apabila pulang ke kampung di Sabah, kami tidak ketinggalan mencari barang lama hingga ke pelusuk kampung.

“Antara barang lama yang paling kami sayang ialah van transporter kombi yang model tahun 1981,” katanya.


Plat kenderaan lama dari luar negara turut dijual. - NSTP/Asyraf Hamzah

Info Pasar Lambak KL 2019

• Berlangsung di The Garage KL, Hulu Klang, Selangor.

• Acara diadakan setiap minggu Sabtu dan Ahad sepanjang 2019 bermula dari jam 5 petang hingga lewat malam.

• Terdapat lebih 50 gerai menjual barangan lama termasuk motosikal dan kereta.

• Jualan tapak untuk berniaga ditetapkan dengan harga RM30.

• Sebarang pertanyaan boleh melayari facebook Yellowkombivintage.

Berita Harian X