Ahad, 11 Ogos 2019 | 10:00am
COGAN agama (kiri) dan Cogan Alam.

Pameran Raja Kita, ungkap sejarah institut diraja

Penampilan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada istiadat pertabalan baginda berdua, pada 30 Julai lalu, mencuri tumpuan rakyat.

Segak Al-Sultan Abdullah dengan tengkolok diraja ‘Dendam Tak Sudah’ dan pending dipakai bersama tali bengkung dan samping dan disempurnakan dengan muskat iaitu baju seakan-akan ‘jaket hitam bersulam benang emas’ disarung kemas.


TENGKOLOK sampin dan Pending Diraja.

Gaya Tunku Azizah dilengkapkan perhiasan kalung dan gendik diperbuat daripada enam dan berlian dari London sebagai alat kebesaran wajib dipakai ketika majlis pertabalan, menambah keanggunan.

Semua aksesori dipakai kedua-dua baginda itu adalah penambah seri menjadi sebahagian daripada regalia alat Kebesaran Diraja dari Istana Negara.

Aksesori itu pakai antara 198 koleksi peribadi Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta alat kebesaran diraja yang dipamerkan pada Pameran Raja Kita, bermula Selasa lalu.

Pameran di Muzium Diraja, Istana Negara Lama, di Kuala Lumpur diadakan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu, baru-baru ini.

Pengarah Muzium Diraja, Miti Fateema Sherzeella Mohd Yusoff, berkata pameran itu dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut kegemaran pengunjung merangkumi aspek sejarah, artistik, hobi dan peribadi baginda berdua.

Katanya, fokus utama pameran membuktikan kebenaran mengenai sejarah dan latar belakang institusi diraja.


PERSALINAN semasa istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

“Pameran ini menghimpun koleksi 100 peratus barangan asli tanpa menyajikan barangan replika seperti pameran sebelumnya. Kami mendapat perkenan mempersembahkan empat persalinan pakaian yang memilik sejarah tersendiri baginda.

“Ia termasuk pakaian ketika Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI; Istiadat Pemasyhuran Tengku Puan Pahang sebagai Tengku Ampuan Pahang ke-5; Istiadat Pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang Ke-6 dan terbaharu pada Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI.

“Baginda secara peribadi menawarkan empat persalinan berkenaan dipamerkan untuk tatapan umum,” katanya.

Untuk pertama kali, gendik diraja dan kalung diraja dipamerkan sehingga 13 Ogos ini.

Katanya, rugi jika orang ramai tidak mengambil kesempatan melihat barangan kebesaran diraja yang kebiasaannya disimpan kemas di Istana Negara.

Malah, kali pertama pintu dewan Mesyuarat Raja-Raja Melayu turut dibuka kepada umum yang selama ini hanya boleh dimasuki oleh sembilan sultan mewakili negeri.


KALUNG istimewa buat bayi TAFF.

“Selain itu, ramai tidak tahu kalung dipamerkan itu akan dihadiahkan Tunku Azizah buat semua bayi yang selamat dilahirkan menerusi teknik IVF menerusi Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) yang ditubuhkan. Bagi saya ia pengiktirafan besar Raja Permaisuri Agong kepada rakyat,” katanya.

Alat kebesaran Yang di-Pertuan Agong

1) Tengkolok Diraja

* Raja Melayu memakai kain ditenun sutera diikat dengan pelbagai ikatan di ulunya, sebagai pakaian kebesaran.

* Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan mengikut negeri.

* Kain ulu dinamakan 'Tengkolok' dan Tengkolok Diraja dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong pada Hari Pertabalan, Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi.

* Bahagian depan tengkolok dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas, diperbuat daripada emas putih, di tengah bintang lambang kerajaan.

2) Pending Diraja

* Seakan-akan kerongsang dipakai dan dipakai di tengah pinggang (pusat).

* Diperbuat daripada emas sepuluh

* Rekaannya unik bersulamkan permata delima.

* Di tengah pending tertera lambang kerajaan Persekutuan.

* Pending dipakai bersama tali bengkung dililit pada pinggang baginda.

3) Muskat Diraja

* Pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Pegawai Istiadat Istana Negara.

* Pakaian berasal dari muskat iaitu sebuah negara Islam berhampiran Iran.

* Muskat pakaian rasmi pegawai kerajaan Kedah.

* Dipakai pada pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga, diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ketika baginda menjadi Perdana Menteri pertama.

* Baju ini diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam

* Sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya melambangkan bunga kebangsaan negara.

Alat kebesaran untuk Raja Permaisuri Agong

1) Gendik Diraja

* Gendik adalah bahasa istana bermaksud tiara.

* Hiasan hiasan hulu bagi Raja Permaisuri Agong.

* Perhiasan diperbuat daripada emas putih bertakhta penuh dengan batu permata berlian bermotifkan awan larat.

* Di tengah motif awan larat terdapat anak bulan dan bintang diperbuat daripada emas putih.

* Gendik dipakai Raja Permaisuri Agong pada istiadat kebesaran Diraja dan ketika berlangsungnya majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

* Boleh diasingkan menjadi loket dan kerongsang.

2) Kalung Diraja

* Rantai leher diperbuat daripada emas putih bertakhta penuh dengan permata berlian.

* Sebahagian pelengkap pakaian kebesaran dipakai Raja Permaisuri Agong.

* Kalung diasingkan menjadi sepasang subang, kerongsang dan kerabu.

Info

------

* Pameran di Balairong Seri Muzium Diraja Kuala Lumpur (Istana Negara Lama)

* Bermula 5 Ogos - 5 November ini.

* Dibuka jam 9 pagi - 5 petang.

* Tiket Pameran Raja Kita : percuma

* Tiket Muzium Diraja : RM5 (Tempatan) dan RM10 (Antarabangsa)

Berita Harian X