Ahad, 6 Oktober 2019 | 5:25pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando’s Malaysia dan Singapura, Mac Chung Lynn (tengah) perkenalkan pemenang kategori Seni Halus, Choo Ai Xin (kiri) serta pemenang kategori Seni Digital, Yau Boon Han selepas Majlis Perasmian Pameran Seni YOUthReka Nando's Malaysia di Galeri Prima, Bangsar. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

12 pelukis pamer 50 hasil seni di Galeri Prima

KUALA LUMPUR: Sejumlah 50 hasil seni kreatif 12 artis muda tempatan bertemakan ‘Expand your PERi-meters’ mengisi ruang galeri untuk tatapan semua sempena Pameran Seni YOUthReka berlangsung di Galeri Prima, Jalan Riong, Bangsar sehingga 9 Oktober ini.

Semua pelukis adalah alumni tiga tahun Pertandingan Seni tahunan YOUthReka anjuran rangkaian restoran makanan Nando’s Malaysia yang sebelum ini dinobatkan sebagai juara serta pemenang saguhati.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando’s Malaysia dan Singapura, Mac Chung Lynn, berkata selari tema pameran, artis muda diberikan kebebasan menghasilkan karya tanpa kekangan bagi membolehkan mereka mengilhamkan seni kreatif.

“Setiap artis mempunyai keunikan tersendiri, pameran ini sebagai inisiatif membuka peluang mereka menyerlahkan kreativiti dan bakat sedia ada.

“Ilham kreatif yang dipamerkan antaranya lukisan dan seni cetak digital mahupun seni tradisional menggunakan akrilik, minyak, cat air dan pensil warna.

“Pameran turut menampilkan hasil tenunan dan sulaman serta arca tanah liat, akrilik dan plaster,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Tonjol seni kreativiti

Beliau memperkenalkan YOUthReka sejak 11 tahun lalu, berkata pihaknya menyediakan platform bagi membolehkan pelukis muda menonjolkan personaliti sebagai insan seni yang mampu pergi jauh dalam industri kreatif.

Pemenang utama YouthREKA Nandos Competition 2018, Choo Ai Xin, 23, teruja mempamerkan hampir 10 koleksi kerja tangannya pada pameran berkenaan kerana ingin menggalakkan masyarakat menghargai alam sekitar.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu memilih kategori seni halus unik, menampilkan beberapa koleksi tangan antaranya lukisan tar jalan raya, kulit pokok kering, simen, dinding bangunan lama dan permukaan dengan tekstur objek asal.

“Inspirasi menghasilkan koleksi diambil daripada metafora kehidupan sekeliling dekat dengan manusia tetapi elemen itu sering abaikan. Benda di sekeliling mempunyai nilai seni dan keunikan selain pelengkap kehidupan tanpa disedari.

“Malangnya sering terlepas pandang malah manusia mengambil kesempatan ke atas alam sekeliling,” katanya yang turut mempamerkan gelas putih dengan bekas minuman 30 individu berbeza,” katanya.

Sementara itu Yau Boon Han, 28, pernah memenangi tempat pertama kategori seni digital pada 2016 memaparkan hampir 10 koleksi lukisan digital. Lukisan mengisahkan kehidupan seorang lelaki yang ingin mencari ketenangan dalam kesibukan kota.

Katanya, beliau memilih konsep lukisan digital bagi memberi kemudahan kepadanya yang sering bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Ilham tanpa sempadan

“Melukis menerusi peranti digital nampak sukar tetapi banyak memudahkan saya. Bekerja dalam bidang jualan, pergerakan menyukarkan saya membawa barang keperluan melukis seperti kertas lukisan, berus serta bahan mewarna. Sebaliknya hanya membawa buku lakaran bersaiz kompak dan pen saya boleh mencurahkan kreativiti tanpa batasan.

“Hasil lakaran pula dipindahkan ke dalam laptop dan menyiapkan seni lukisan apabila ada masa terluang. Saya luangkan masa kira-kira tiga jam sehari selepas waktu kerja untuk berkarya. Bagi menyiapkan lukisan lengkap pula mengambil masa selama lima hari,” katanya.

Selain Ai Xin dan Boon Han yang diberi peluang pada pameran itu, 10 lagi artis yang memenangi kategori saguhati turut tampil pada pameran berkumpulan.

Mereka yang terbabit mempamerkan hasil kreativiti masing-masing antaranya Naim Harith Saiful Bahrin dan Ong Cai Bin.

Semua koleksi boleh dilihat pada pameran seni berkenaan, berlangsung selama lima hari bermula 5 hingga 9 Oktober ini.

Bagi Naim Harith Saiful Bahrin, 23, berkata beliau mengambil ilham perjalanan hidup dilalui setiap hari. Makanan dan orang sekeliling adalah subjek kehidupan, elemen itu diambil menggunakan platform digital untu untuk dipaparkan.

Cheong See Min, 25, pula tidak menafikan seni lukis tidak terbatas atas helaian kertas semata-mata malah boleh dicurahkan pada fabrik menerusi konsep tenunan dan sulaman.

Katanya, seni tenunan lebih sukar kerana bermain dengan helaian benang untuk mengilhamkan lukisan. Tempoh masa untuk menyiapkan seni sulaman atas fabrik memakan masa berbulan lamanya tetapi apabila siap memberi kepuasan maksimum.

Bagi mereka yang faham, hasil kerja seni yang saya pelajari di Taiwan ini sangat rumit malah memerlukan ketelitian yang tinggi.

Bagi Ong Cai Bin, 30, pula agak agak gementar menempuh alam pada usia sebegini. Memikirkan bakal menempuh kehidupan lebih mencabar iaitu alam perkahwinan serta berhubungan bersama keluarga lebih besar.

“Perasaan diterjemahkan pada seni seramik. Antara hasil seni mengenainya seramik bayi dibalut kain bedung. Ini simbolik kehidupan saya selepas memasuki usia 30 tahun,” katanya.

INFO Pameran YOUthreka 2019

• Anjuran Nando’s menerusi kerjasama dengan galeri seni kontemporari tempatan, Artemis Art.

• Terbuka kepada umum secara percuma

• Waktu pameran 5 hingga 9 Oktober 2019,

• 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

• Semua hasil karya seni dipaparkan boleh dibeli

Berita Harian X