Isnin, 28 Ogos 2017 | 11:42pm
Ben Ariffin, menunjukkan komik Flash yang diterbitkan DC Comics pada 1960-an yang dijual pada harga RM4,500.

Empat generasi jual barang antik

PETALING JAYA: Dek kerana sering mengikut ayahnya ke pasar karat atau kedai barangan lusuh untuk urusan jual beli di zaman kanak-kanak, timbul minat Ben Ariffin, 52, untuk mewarisi perniagaan ayahnya di Georgetown, Pulau Pinang suatu hari nanti.

Ben Ariffin berkata, bagi memantapkan ilmu perniagaan dan minatnya, beliau bekerja dengan bapa saudara yang memiliki perniagaan membeli serta menjual perabot lama.

"Saya membantu pak cik di kedai perabot lama miliknya. Daripada situ, saya belajar selok belok perniagaan dan mengenali pembekal yang berpotensi.

"Apabila ayah menyerahkan kedainya, saya meneruskan legasi keluarga kami. Menurut ayah, beliau mewarisinya daripada datuk yang diturunkan oleh moyangnya sebagai peniaga barangan lusuh.


PASAR barangan antik dan barangan koleksi jarang ditemui yang mula beroperasi sejak 19 tahun lalu di Amcorp Mall diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai "flea market" terbesar di bawah satu bumbung di negara ini.

"Saya adalah generasi keempat penjual barangan antik dan menganggap ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan," katanya kepada BH ketika ditemui di "Flea Market" terbesar di Malaysia, di Amcorp Mall, baru-baru ini.

Antara barangan antik yang terdapat di gerai Ben Ariffin ialah koleksi komik lama, perabot, jam, barangan porcelin dan karpet daripada Timur Tengah.

"Gerai saya menjual barangan koleksi dan antik dari Asia Tenggara serta Eropah. Terdapat juga koleksi komik Marvels dan DC daripada tahun 40-an yang dianggap paling bernilai.

"Contohnya komik "Flash" dari zaman "Silver Age" (1960-an) yang dijual pada harga RM4,500 dan ada peminat membelinya," katanya yang memiliki 4,000 koleksi komik dari dalam dan luar negara," katanya.

Katanya, ramai beranggapan membeli barangan 'second hand' suatu pembaziran, sebenarnya satu kesilapan kerana apabila ia menjadi 'rare' atau sukar ditemui, nilainya menjadi tinggi.


Antara barang jarang ditemui yang dijual di Amcorp Mall yang menjadi penarik orang ramai.

"Barangan antik mempunyai nilai sentimental yang tinggi selain menjanjikan pulangan lumayan.

"Selepas tempoh tertentu, barangan antik yang kita beli itu boleh dijual semula dengan harga lebih tinggi," katanya yang menceburi bidang perniagaan antik sejak lebih 30 tahun lalu.

Atas minatnya yang mendalam terhadap barangan antik, Ben Ariffin memiliki sebuah restoran berkonsepkan antik di Seksyen 13 Shah Alam.

"Di Ben's Art Cafe, apa saja barangan di dalamnya termasuk kerusi dan meja antik adalah untuk dijual. Jika ada pelanggan yang berminat untuk membelinya selepas mereka makan di situ, mereka boleh memilikinya pada harga yang setimpal," katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, perniagaan barangan antik juga membabitkan pelanggan dari luar negara yang sanggup datang ke Amcorp Mall semata-mata mahu mendapatkan barangan antik yang mereka minati.

"Kebanyakan pelancong dari luar negara suka beli setem dan duit lama," katanya.

Berita Harian X