Isnin, 25 Februari 2019 | 10:05am
Lokasi riadah seisi keluarga popular di Cameron Highlands. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Sejukkan badan di Lata Iskandar

PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands, Pahang tidaklah begitu jauh sekitar dua jam lebih sahaja, namun anda berpeluang menikmati pemandangan memukau sepanjang laluan di kiri dan kanan jalan.

Ada dua jalan menuju ke Cameron Highlands, iaitu dari Tapah jalannya berliku-liku dan sempit serta banyak kenderaan. Laluan lain dari Simpang Pulai, perjalanannya agak jauh, tetapi lebih selamat dan selesa.

Sekiranya menggunakan laluan Tapah-Cameron Highlands terutama pada hujung minggu ataupun musim cuti persekolahan, jalan berkenaan sesak dengan deretan kenderaan, terutama bas pelancong dan teksi sewa.

Destinasi yang jaraknya hanya 500 meter (m) untuk dituju, sekiranya terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas, boleh mengambil masa sehingga satu hingga dua jam.

Bagi melancarkan perjalanan, penulis selesa memilih laluan Tapah-Cameron Highlands untuk ke tanah tinggi kerana ingin menikmati keindahan flora dan fauna yang tersaji dalam hutan simpan kekal di sepanjang perjalanan.

Kesesakan semakin ‘parah’ apabila ramai pengunjung memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk membeli petai segar atau barangan kraf yang dijual oleh masyarakat Orang Asli di sepanjang laluan menuju ke Cameron Highlands.


Masyarakat Orang Asli menjual pelbagai barangan di sepanjang laluan menuju ke Cameron Highlands. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Justeru, kesabaran amat dituntut untuk menempuh kesesakan yang berlaku, terutama Jumaat dan Sabtu.

Sudahlah jalannya sempit, laluan dua lorong, bertukar menjadi selorong sahaja.

Hati panas membara apabila kenderaan berat seperti lori tangki minyak dan yang membawa muatan balak menggunakan laluan sama bergerak perlahan, menambahkan lagi ‘sengsara’ di sepanjang perjalanan.

Namun, pada pertengahan perjalanan menghala ke Cameron Highlands dari Tapah sekitar daerah Batang Padang, anda boleh merehatkan minda dan ‘menyejukkan’ badan selepas terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas di Air Terjun Lata Iskandar, iaitu antara destinasi percutian popular di Perak selepas Lata Kinjang.

Airnya sejuk dan mengalir deras sangat sesuai dengan lokasinya berhampiran tanah tinggi dan dikelilingi alam semula jadi yang masih belum terusik.


Swafoto bersama keluarga tampil panorama mempesona - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Berkunjung ke Air Terjun Lata Iskandar, anda bukan sahaja boleh menikmati kesejukan airnya, tetapi panorama indah mempesonakan.

Lokasi ini sesuai untuk keluarga yang membawa anak kecil mandi-manda kerana kebanyakan kolam tadahan air terjunnya tidak dalam, hanya separas pinggang.

Walaupun keadaan di situ nampak tenang dan selamat untuk anak kecil, ini tidak bermakna ibu bapa boleh bersembang panjang atau leka mengambil gambar tanpa mempedulikan keselamatan anak mereka bermandi-manda.

Ini bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini atau terjatuh memandangkan tempat itu agak sesak, terutama pada waktu puncak hujung minggu atau cuti am.

1836 dibaca
Berita Harian X