Ahad, 23 Jun 2019 | 7:00am
SUASANA yang menarik perhatian kanak-kanak. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
LALUAN dari Genting Premium Outlet menaiki Awana Skyway menuju ke puncak Genting. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
GENTING Premium Outlet (GPO). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Genting Highlands puncak keriangan sepanjang masa

Tidak perlu runsing mengeluarkan belanja yang besar khususnya tiket penerbangan mahupun hotel yang bertaraf lima bintang, jika hanya sekadar untuk merasai percutian ala Las Vegas.

Cukup sekadar memandu sejauh 50 kilometer (km) dari Kuala Lumpur sambil menghirup udara segar merentasi banjaran Titiwangsa menuju ke ‘Puncak Keriangan’. Genting Highlands, Pahang .

Ia adalah destinasi paling praktikal jika anda buntu untuk membawa anak-anak bergembira khususnya pada musim cuti sekolah, memandangkan Resort World Genting (RWG) memperkenalkan Genting Highlands Heros Adventurous Holiday bermula 25 Mei lalu hingga 30 Jun ini yang berlangsung di sekitar kota keriangan itu, khususnya di Skytropolis Indoor Theme Park.

PINTU gerbang ke Taman Tema Skytropolis. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pelbagai pengisian dijalankan bagi memberi keseronokan maksimum kepada ibu bapa yang membawa anak bercuti termasuk aktiviti permainan taman temanya, membeli-belah, makan, bergambar, menonton persembahan eksklusif dan menghirup udara segar.

Bercuti bersama keluarga

Naib Presiden Taman Tema RWG , Sanjay Nadarajah, berkata bermula Mei hingga November ini pihaknya menjangkakan 60,000 hingga 80,000 pengunjung setiap hari akan berkunjung ke lokasi itu selepas menyusun kembali pengisian terbaharu sempena musim cuti sekolah menerusi Genting Highlands Heroes Adventurous Holiday.

Katanya, terdapat beberapa acara yang berlangsung dari Mei hingga November termasuk Genting Highlands Heroes Adventurous Holiday (berakhir 30 Jun ini), ulang tahun ke-80 Batman (berakhir 10 Julai 2019), persembahan Imaginatricks (berakhir November 2019) dan Festival Durian Genting 2019 (berakhir 16 September 2019) yang ratanya memberi pengalaman berbeza buat pengunjung.

PERMAINAN yang digemari remaja. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

“Kami akan menamatkan musim cuti sekolah dengan penjenamaan semula dan pembinaan kembali Genting Highlands Heroes selepas mula diperkenalkan sejak tahun 1990-an untuk memastikan pengalaman yang lengkap untuk keluarga dan kanak-kanak.

“Antara yang menarik, kanak-kanak boleh berinteraksi dengan enam maskot haiwan Genting Highlands yang disukai di galeri bertema dengan permainan dan perarakan sehingga 30 Jun.

“Maskot dalam bentuk Callie (naga), Allie (gajah), Tabby (harimau), Joe (orang utan), Geno (dinosur) serta tambahan terbaharu Benny (beruang matahari) yang akan membuat penampilan khas di Skytropolis Indoor Theme Park dan Genting Highlands Heroes Adventurous Holiday di Pavilion.

“The Pavilion akan diubah menjadi hutan bercahaya, dihiasi dengan lampu bioluminescent ungu, biru, merah jambu dan hijau,” katanya.

PERMAINAN yang digemari remaja. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Sertai pesta durian

Beliau berkata, terdapat juga bengkel pewarnaan digital, tarian, rama-rama maya serta Genting Highlands Heroes Parade pada jam 3 petang setiap hari.

“Pengunjung jangan lepaskan peluang untuk datang ke Pesta Durian Genting. Bersempena musim durian bermula Mei lalu, Pesta Durian Genting dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari sehingga 16 September depan bertempat di Boulevard.

“Tiga pengeluar durian terkenal Malaysia iaitu Durian Republic, May Jie Gohtong Trading dan Weng Fatt Orchard yang bakal membawa durian jenis Black Thorn, Musang King, D24, Tekka dan Udang Merah serta produk sampingan

“Pengeluar produk kelapa terkenal di Jonker Street, Fatimah Product Enterprise turut menyertai pesta ini dengan lebih 50 tan kelapa turut dibawa kepada pengunjung,” katanya.

LALUAN melintasi pelbagai permainan di dalam Taman Tema Skytropolis. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Persembahan akrobatik memukau

Lebih menarik turut disediakan persembahan akrobatik daripada Imaginatricks yang akan membawakan menunjukkan kehebatan gabungan silap mata, akrobatik, tarian, meluncur dan komedi bermula 25 Mei lalu hingga 10 November depan.

Ia menjanjikan persembahan yang memukau oleh kumpulan kreatif Agosta Artist Co dari Russia yang berpengalaman lebih 35 tahun.

“Sempena ulang tahun ke-80 tahun superhero komik Batman, Genting membawakan persembahan di Syksymphony dari 10 Mei hingga 10 Julai depan.

“Judul yang diberi nama The Call is Out' adalah persembahan audio visual pertama yang mengisahkan sejarah keluarga Batman bersama musuhnya seperti Joker, Penguin, Catwoman, Poison Ivy, Two Faces dan ramai lagi dalam persembahan epik ini.

“Persembahan ini dibawakan oleh Warner Bros Consumer Products dan pelbagai aktiviti hiburan lain diadakan sepanjang tarikh itu,” katanya

Info

Genting Highlands Resort

* Terletak di atas bukit dengan ketinggian 2,000 meter di atas paras laut

* Yang turut menempatkan hutan berusia 100 juta tahun di sekelilingnya.

* Pusat keriangan ini memiliki suhu sederhana sejuk tidak melebihi 25 darjah Celsius (°C)

* Suhu sering menjunam ke bawah hingga 14°C secara tahunan.

* Menempatkan banyak hotel dari kos sederhana hingga bertaraf lima bintang

* First World Hotel mempunyai sejumlah 7,351 bilik dan terbesar di dunia.

* Memadamkan rekod MGM Grand Las Vegas hotel terbesar dunia dengan 6,118 bilik.

* Ada pusat membeli-belah, Genting Premium Outlet (GPO)

* Keluasan GPO lima hektar (55,741 kaki persegi)

* Kos GPO RM200 juta menempatkan lebih 100 kedai berjenama antarabangsa.

Berita Harian X