Ahad, 30 Jun 2019 | 9:01am
RAIS Azmi mendukung anak buahnya, Aisy Hafiy sambil memberi penerangan kepada Muhammad Bakhtiar mengenai koleksi lukisan beliau. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Ilham seni pikat pengunjung asing

PAMERAN seni lukisan bertemakan kehidupan masyarakat setempat dilihat sebagai sebahagian aktiviti menarik perhatian pelancong yang begitu menghargai kreativiti pelukis.

Keindahan seni yang bersifat subjektif itu juga sebahagian daripada produk pelancongan yang memiliki nilai komersial yang tinggi.

Menyedari wujudnya peluang pasaran dalam menarik pelancong asing, institusi kewangan dan perbankan berwibawa, RHB Banking Group (RHB) menganjurkan pameran lukisan edisi ketiga - Art with Heart (AWH) 2019.

Pameran bertemakan Diversity & Inclusivity berlangsung di ruang legar Bangsar Shopping Centre (BSC), Jalan Maarof, Kuala Lumpur dilihat sebagai inisiatif menyemarakkan industri pelancongan, terutama dalam menjayakan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).


MUHAMMAD Bakhtiar (tengah) diiringi Khairussaleh Ramli (kanan) meninjau pameran lukisan yang bertemakan Diversity & Inclusivity di BSC. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman


PAMERAN lukisan Diversity & Inclusivity mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang meminati karya seni halus. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman


ANTARA koleksi lukisan Rais Azmi yang bertemakan keseorangan atau kesepian.. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Pameran 100 koleksi lukisan itu berlangsung sejak mulai 24 lalu hingga hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar yang merasmikan pameran berkenaan baru-baru ini, memuji usaha RHB mengetengahkan AWH sebagai sebahagian karya hebat menarik pelancong menerusi pameran lukisan.

Beliau berkata, usaha meningkatkan industri seni perlukan promosi berterusan. Tidak boleh harapkan pengunjung tempatan semata-mata.

“Ini kerana masyarakat kita kurang minat menyaksikan pameran lukisan di pusat seni. Kekurangan itu perlu diatasi dengan memilih lokasi yang sesuai.

“Apabila pameran seni dianjurkan di pusat beli-belah, pengunjung terutama ibu bapa boleh membawa anak mereka ke situ dan menyaksikan hasil seni yang dipamerkan.

“Secara tidak langsung minat mencintai seni dapat dipupuk dalam diri anak-anak seawal usia,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli.

Pelukis muda, Ahmad Rais Azmi dengan nama pena Rais Azmi, 26, berkelulusan Ijazah Sarjana Seni Halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM), berpeluang mempamerkan hasil seni yang diilhamkan menerusi lukisan minyak di atas kanvas.

Pelukis muda ini memilih tema keseorangan atau kesepian, sekali gus menjadikan anak buahnya, Aisy Hafiy Mohd Suhaidi, tiga tahun, sebagai inspirasi dalam menghasilkan karya.

“Saya melihat karya seni halus mempunyai masa depan yang besar kerana berupaya menarik pengunjung terutama pelancong ke negara ini.

“Usaha ini membantu menjana ekonomi setempat menerusi jualan hasil seni. Hari ini saya bersyukur apabila Timbalan Menteri tertarik dengan karya seni yang dihasilkan, Alhamdulillah,” katanya.

Berita Harian X